Jumaat, Disember 21, 2012

Masjid Pulau Melaka (Masjid Tok Guru) Kelantan

  
 Aku ambil peluang menginap berhampiran Masjid Pulau Melaka dalam kunjungan ke Kelantan kali ini. Walaupun disebut Pulau Melaka sah orang tetap faham bahawa tempat tersebut bukan di Melaka, tetapi di Kelantan. Tersohor kerana di situlah tempat tinggalnya seorang manusia agung di zaman ini yang di panggil Tok Guru Nik Abdul Aziz, Menteri BesarKelantan. Tidak perlulah aku mengulas panjang akan keistimewaan Menteri Besar ini berbanding Menteri Besar yang lain. Sekadar menyebut beliau layak digelar pemimpin tulin yang mampu untuk memimpin rakyat hidup selamat aman dan damai didunia dan akhirat.
 Aku duduk di Penginapan Permai yang jaraknya lebih kurang 250 meter daripada Masjid Tok Guru. Satu tempat penginapan yang cukup selesa dan sewa berpatutan dan boleh untuk di promote kepada orang lain.
 Alhamdulillah kunjungan aku tidak menghampakan di mana aku berjaya bersua Tok Guru di masjid ini. Sempat berimamkan  dan mendengar tazkirah beliau. Melihat beliau membuat kadang kala kita lupa yang beliau merupakan seorang Menteri Besar kepada sebuah negeri. Orang yang berkeupayaan tinggi memimpin di jalan dunia dan juga memimpin kejalan akhirat.

Bertuahlah sebuah parti mempunyai seorang pemimpin yang berkeliber yang mampu membawa imej baik kepada parti. Terbayang pulak di fikiran sekiranya semua menteri besar BN bersifat seperti Tok Guru aku gerenti sudah barang tentu PAS gigit jari PRU13 nanti. Kalau pula semua menteri UMNO bersifat separuh pun sifat Tok Guru aku jamin esok PAS terpaksa dibubarkan. Orang akan berbondong bondong ke pejabat UMNO mendaftar jadi ahli. Laungan azan mengjutkan aku daripada lamunan sejenak itu.

 Sebelah kanan gambar di atas tu adalah rumah Tok Guru. Agak agak ada tak menteri kita yang mahu duduk macam ni. Rasanya Adun pun belum tentu mahu. Di sinilah kekuatan peribadi orang berugama yang perlu kita cari untuk menjadi tauladan kepada sebuah kehidupan yang sementara. Itulah sebabnya sehingga kini aku beranggapan bahawa barang sesiapa yang mengatakan Tok Guru orang yang korupsi atau makan rasuah sesungguhnya dia adalah dari golongan orang gila.

 Sesuatu yang menarik perhatian aku selepas kuliah subuh aku melihat ramai bapa mendukung bayi masing masing untuk memohon Tok Guru memotong jambul anak mereka. Walupun aku lihat Tok Guru dalam keadaan kurang sihat tetapi beliau tidak menghampakan hajat para bapa itu. Satu persatu kepala bayi diusap dan dibacakan doa serta rambutnya digunting oleh Tok Guru. Sekiranya anda bakal menimang cahaya mata ambillah peluang bayi anda didoakan oleh para ulamak. Malangnya aku tidak merakamkan majlis tersebut.
 
 Gambar di atas adalah gambar di dalam masjid. Masjid yang sederhana besar tetapi mempunyai jemaah yang ramai. Jemaah datang daari kariah lain atau dari negeri lain seperti aku juga.
 
 
 
  Bersebelahan masjid terdapat Maahad Darul Anuar.
 Semoga Tok Guru dapat menyumbang tenaga untuk agama bangsa dan menubuhkan kerajaan Islam. Kerajaan yang mampu untuk membawa kemakmuran dalam kehidupan didunia dan di akhirat.


Rabu, November 21, 2012

Bolasepak Yang Menghampakan

http://edyesdotcom.blogspot.com
Ha Ha Ha, patut atau tak patut pasukan bolasepak Malaysia ditertawakan setelah seri dengan pasukan Bangladesh, aku dah tergelak dahulu apabila melihat tajuk berita di atas. Bila diteliti betul betul baru ku tahu ianya sekadar sindirin sinis buat jurulatih tersebut.

Apapun keputusan seri dengan Bangladesh adalah satu keputusan yang tak boleh diterima oleh peminat bola sepak Malaysia. Harapan yang menggunung untuk melihat pencapaian pasukan bola agak konsisten masih belum tercapai. Kadangkala permainan agak membanggakan dan kadangkala membosankan hingga di beri taraf permainan standard estet. Sebenarnya ramai penganalisa sukan tahu di mana punca kegagalan mutu permainan pasukan Malaysia. Peminat juga tahu apa sepatutnya di lakukan oleh persatuan. Hingga saat ini cuma tindakan yang berkesan belum lagi dilaksanakan. Kita telah ketinggalan terlalu jauh kebelakang Korea yang mananya dahulu memiliki tahap yang lebih kurang sama dengan kita.

Tindakan drastik yang perlu dilakukan yang ada dalam kepala otak aku ialah tukar semua kepimpinan persatuan bolasepak Malaysia. Lantik mereka yang faham mentadbir persatuan sukan. Mentadbir persatuan sukan tidak sama dengan mentadbir persatuan kebajikan atau pertubuhan politik. Kalau mahirnya kebajikan sahaja atau politik sahaja itu tandanya mereka tidak mampu. Kita perlukan orang yang bijak, boleh buat kerja, boleh menerima pandangan dan ada vision untuk melonjakkan nama pasukan bolasepak Malaysia di persada dunia.

Jumaat, November 09, 2012

Menipisnya Ketuanan Melayu

Survival bangsa dalam sesebuah negara terletak pada kekuatan politik bangsa itu. Melihat kepada suasana politik sekarang sesiapa sahaja akur akan katuanan orang melayu semakin menipis. Bukan semua boleh menerima kenyataan ini walaupun hakikatnya jelas di mata masing masing. Kewibawaan pemimpin melayu kini terutamanya yang memegang tampuk pemerintahan sering dipertikaikan. Amanahnya, kesetiaannya, keikhlasannya, kewarakannya dan macam macam lagi agak tidak memuaskan berbanding pemimpin terdahulu. Justru aku sebagai melayu juga kini mula barasa panik memikirkan apa akan jadi kepada ketuanan melayu 10 tahun lagi atau 20 tahun lagi atau 50 tahun lagi atau semasa lahirnya cicit aku nanti. Siapakah pemimpin yang akan memimpin mereka.

Memikirkan kebarangkalian pupusnya akan kuasa kepimpinan melayu telah membawa pemikiran aku kepada sumber kuasa petrolium dalam bumi. Manusia telah sedar bahawa mereka tidak boleh lagi bergantung kepada kuasa petrolium dan gas yang ada kini sebab stok sumber ini semakin berkurang. Bagi mengatasi fenomena ini maka usaha usaha telah dilakukan bagi mencari kuasa lain sebagai alternatif kepada kuasa petrolium. Maka berpancak silatlah org kejuruteraan memerah otak berfikir. Timbullah berbagai perkataan antaranya " Renewable Energy", Tenaga Solar, Wind Turbine, Kumpulan Wang Tenaga Boleh Baharu" seperti di sini dan macam macam. Tetapi apa pula kena mengena dengan kepimpinan melayu?

Patutlah orang melayu sekarang banyak parti. Sebab mereka telah nampak akan kepupusan kuasa melayu itu jika berdiam diri seperti mereka nampak akan kepupusannya kuasa daripada petrolium. Mereka mencari kuasa dari sumber semula jadi yang mengikut fitrah alam yang tidak mungkin pupus hingga kiamat. Maka sebab itu juga ramai melayu kembali kepada fitrah politik  iaitu mencari parti yang pemimpinnya berwibawa dan berkhidmat tiada lain hanya untuk Allah.

Kita boleh menipu orang tetapi kita tidak boleh menipu kata hati kita. Apapun sangkaan manusia, Allah lebih mengetahui segalanya.

Isnin, November 05, 2012

Masjid Jame Daerah Ulu Langat, Kajang

Siapa tak kenal Kajang. Terkenal dengan bandar sate. Tidak jauh dari medan selera sate kajang tersergam sebuah masjid daerah Ulu Langat. Sebelum berpindah ke Perak aku kerap juga mengunjungi masjid ini sebab aku menetap di Bandar Baru Bangi 12 tahun lepas. Masjid ini memang ramai jemaah mungkin di sebabkan kepesatan penduduk di sekitar Kajang.
Masjid Kajang kini aku lihat seperti lain lain masjid di Selangor. Kebanyakannya kini mempunyai ramai jemaah. Mungkinkah selepas peralihan kerajaan maka masjid masjid di Selangor mendapat perhatian lebih oleh kerajaan baru sehinggakan terserlah kemakmurannya berbanding sebelum ini.
Kalau macam macam ada di masjid macam macam orang datang ke masjid. Kalau setakat ada solat jemaah kat masjid maka orang yang nak solat sahaja yang akan kemasjid. Oleh itu pelbagai program perlu ada di masjid agar pelbagai orang akan datang ke masjid. Di masjid tempat penyatuan masyarakat. bagaimana boleh bersatu jika ramai ahli kariah tidak menghadirkan diri ke masjid.
Jika berbicara soal pembangunan masjid tidak sah jika tidak mengkaitkan Datuk Ujang Bagong. Beliau merupakan seorang dermawan yang banyak menyumbang ke masjid Kajang. Siapa yang tak kenal dengan beliau yang sering menghulurkan derma ke mana mana badan sosial terutamanya sekitar Kajang.






Banyak usaha dilaksanakan demi menggalakkan masyarakat islam mendekatkan diri ke masjid. Sekiranya ia dilakukan dengan penuh tanggungjawab dan ikhlas kerana Allah kita akan lihat syiar islam itu akan terserlah.


Isnin, Oktober 29, 2012

Korban

Berapa banyak kita telah berkorban kepada Allah dan berapa banyak pula kita korbankan agama Allah. Muhasabah diri agar kita tidak terkorban.

Khamis, Oktober 11, 2012

Allayarhamah Siti Rohana Binti Abdullah

Lebih kurang pukul 10 pagi semalam aku mendapat sms dari pada teman karib yang masih bertugas bersama aku dahulu Atan memaklumkan Ana kini sedang nazak di Hospital Serdang. Beliau jugak mengajak untuk mendoakan yang terbaik untuk Ana. Ana pembantu kepada Atan. Selang setengah jam Atan menghubungi pula aku untuk memastikan aku telah menerima smsnya. Sekali lagi beliau mengjajak untuk mendoakan yang terbaik untuk Ana. Aku tidak menghubungi suaminya Tajul kerana sudah tentu beliau resah gelisah.

Lebih kurang pukul 2 PM Atan sekali lagi menghubungi aku. Kali ini suaranya agak sebak. Dengan ringkas beliau mengatakan "Ana dah tiada". Innalillahi wainna ilaihirojiun. Pada 10 oktober 2012 Ana telah mendahului kita kembali kerahmatullah. Semoga rohnya ditempatkan bersama roh roh orang yang beriman. Kepada suami Ana iaitu teman ku Tajul dan 7 orang anak, aku harap semoga kelian tabah dan sebar menghadapi ujian daripada Allah ini.

Rabu, Oktober 10, 2012

Kuatkan Amal.

Air mata hari ini air mata keinsafan. Air mata akan datang air mata penyesalan.

Jumaat, Oktober 05, 2012

Jangan Boros

Berbelanja biar berhemah bukan bermewah.

Sabtu, September 29, 2012

Masjid Al-Khairiah, Air Terjun, Trong Perak

Masjid ini terletak di tepi jalan sahaja. Berhampirannya terdapat sebuah jambatan besi. Jambatan ini agak bising apabila dilalui oleh kenderaan berat. Bagi yang tidak biasa singgah di sini ianya agak mengganggu juga sedikit. Walau bagaimanapun kelihatan kini disebelah jambatan tersebut sedang berjalan kerja kerja memperbaiki jalan. Dipercayai jambatan ini juga akan diganti dengan jambatan lain. Diharap jambatan baru nanti tidak lagi berbunyi bising yang mengganggu jemaah di masjid.

Walaupun masjid ini kecil tetapi kawasan sekelilingnya agak luas. Tiada masalah untuk projek pembesarannya di masa hadapan. Gambar di bawah adalah tempat wuduk dan tandas lelaki.
Baharu baharu ini aku berkesempatan mendengar kuliah seorang ustaz. Beliau menyatakan wang tabung keselurahan masjid dalam negeri Perak adalah sebanyak RM18 juta. Satu jumlah yang agak besar jika dinisbahkan kepada kos pengurusan masjid. Dengan jumlah sebanyak itu sepatutnya tidak ada lagi masalah tandas tidak bercuci, tandas tidak berpintu, majlis ilmu tidak ada, sistem pembesar suara tidak sempurna. Jauh lebih penting adalah wang sedekah dan wakaf orang tidak dilaksanakan tujuannya. Ini bermakna orang yang dipertanggung jawabkan seolah olah menyekat amal kebajikan orang lain. Berbalik kepada tujuan orang bersedekah ialah supaya wang sedekah itu dibelanjakan untuk kebaikan agar boleh mendatangkan pahala kepada yang bersedekah.
Pengurusan wang yang baik adalah pengurusan yang dapat mengimbang perbelanjaan dan aliran wang masuk. Sekiranya wang masuk sehingga wang tabung terkumpul dengan banyak dan perbelanjaan pula tidak secara optimum maka tidak banyak manfaat yang boleh diperolehi.

Apapun tulisan ini bukan untuk mengulas perbelanjaan yang terpamer dalam gambar di atas.

Selasa, September 04, 2012

Masjid Sultan Ahmad Shah (Lama), Pekan Pahang

Dalam kunjungan ke Pekan Pahang beberapa bulan lepas aku juga sempat singgah di masjid ini. Masjid yang digelar Masjid 10 Kubah ini terletak bersebelahan Makam DiRaja dan berhadapan dengan Sungai Pahang. Kubah yang berwarna kuning keemasan menambahkan keceriaan masjid ini.

Oleh kerana aku berada di Pekan selama sehari atas urusan menghantar rombongan perkahwinan sepupuku, maka kami menginap di Pekan. Aku juga sempat berkunjung ke masjid ini di waktu subuh.
Seperti sesetengah masjid yang aktif, masjid ini juga menganjurkan majlis kuliah suboh sempena hari cuti hujung minggu. Masjid perlu diprogram agar menjadi satu institusi yang boleh membentuk masyarakat menjadi masyarakat yang beriman kepada Allah. Oleh itu ahli yang di amanahkan untuk memegang jawatan di masjid mesti mempunyai roh masjid yang mana sentiasa memikirkan bagaimana untuk mengimarahkan masjid agar orang ramai dapat ditarik kemasjid untuk khususnya solat berjemaah.

Walaupun para jemaah yang hadir agak sedikit berbanding masjid yang besar namun sudah cukup dibanggakan kerana memang sukar untuk menarik jemaah terutamanya untuk berjemaah di waktu suboh seterusnya duduk mendengar kuliah tatkala mata masih lagi kelat untuk dibuka.
Bersebelah pagar masjid ini terdapat makam diraja dan juga perkuburan ahli kariah masjid ini. Berdasarkan jumlah kubur yang ada dapat disimpulkan bahawa kawasan ini telah lama digunakan sebagai tanah perkuburan.
Gambar di bawah makam di raja dan aku pasti ia adalah makam sultan. Aku sekadar berdiri di pintu tersebut dan menhadiahkan bacaan Fatihah kepada arwah sultan sultan yang mangkat. Terdapat beberapa kubur di dalam bangunan ini.
Di luar bangunan ini bersebelahan pintu masuk terdapat beberapa kubur kerabat di raja. Aku dapat melihat seseorang duduk di sisi kubur sambil membaca ayat suci Al-Quran. Jika diperhatikah terdapat Al-Quran di sisi beberapa kubur untuk sesiapa ingin membacakan ayat xuci untuk ahli kubur.
 Bagi yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang masjid ini boleh membacanya daripada keratan akhbar di bawah. Banyak fakta penting boleh diperolehi.
 Satu lagi perkara yang aku kagumi tentang pentadbiran masjid ini ialah sikap terbuka mereka dalam menerima kenyataan pengurusan masjid dan fahaman politik. Terdapat beberapa petikan tulisan Tuan Guru Nik Aziz yang ditampal di papan kenyataan untuk tatapan ahli kariah. Sesetaengah masjid perkara ini agak sensitif bagi fahaman mereka. Ternama sahaja sebagai ahli pembangkang pasti ditolak mentah mentah tanpa menilai apa yang diucapkan.
 
 Akhirnya marilah kita berduyun duyun kemasjid seperti bagaimana berduyun duyun orang pergi Jom Heboh. Ahli Jawatankuasa Masjid menganjurkan Jom Jemaah buat semua kita. Jika tidak kita mengisi jawatan kosong ini siapalagi? Jawan kosong ini juga pernah ditawarkan di sini dan saya percaya di mana mana pun ada tetapi mungkin tidak di iklankan tetapi sekadar memanggil 5 kali sehari melalui laungan azan. Marilah mengerjakan solat.