Isnin, Disember 27, 2010

Masjid Niujie, Beijing China

Ruang solat Lelaki
 Alhamdulillah, minggu lepas kami diberi rezki oleh Allah untuk berkunjung ke negara yang sering disebut dalam bidalan "tuntutlah ilmu hingga ke negeri China". Setelah hampir separuh abad hidup bernegara bersama satu bangsa komuniti ke 2 terbesar di Malaysia, Cina, kini aku berpeluang melihat lebih dekat asal usul dan tamadun mereka.

Beijing ibu negara China memiliki penduduk 20 juta orang manakala lebih 200 ribu daripadanya adalah beragama islam. Walau bagaimanapun keprihatinan penganut islam di Beijing tentang menegakkan syiar islam maka terdapat beberapa buah masjid yang dipelihara rapi hingga saat kini. Dalam kunjungan ini aku sempat singgah di tiga buah masjid di Beijing. Masjid yang lain akan paparkan di antry lain.
 
 Pengenalan kepada Masjid Niujie di atas ada tertampat di tembok di laluan masuk ke kawasan masjid. Oleh kerana pemandu pelancong tidak beragama islam maka pengetahuannya terhadap sejarah masjid ini hanya sedikit. Walau pun begitu beliau (Mr Li, lebih gemar dipanggil Ali) agama islam dan setiap waktu solat telah di atur dalam jadual lawatan.
 Ruang solat masjid mempunyai ciri ciri grafik cina. Tidaklah luas sangat dimana sesuai dengan jumlah penduduk islam yang sedikit.
Hiasan di ruang mehrab masjid.
 Daripada gambar di atas kita dapat merasakan bahawa masjid ini dibina sejak beratus tahun yang lepas. Hasil yang dipaparkan dapat menggambarkan usia sejarah masjid tersebut.
Mimbar
 
 Terdapat susunan meja dan kerusi diruang tepi kiri dan kanan masjid. Agak agaknya mungkin digunakan untuk jemaah mempelajari ilmu agama atau belajar al Quran daripada guru.
Siling masjid
Ruang solat jemaah wanita agak jauh dari dewan solat lelaki.
Anakku Syazwan
Apa yang tercatat adalah berkenaan sejarah pembinaan Masjid Niujie. Kalau anda boleh mambaca manderin bolehlah baca di bawah ini.
Sejarah binaan masjid
terletak disebelah gambar atas
 


 

Pelan lokasi kawasan masjid
Pemandangan pekan Niujie
Risalah Masjid Niujie
Risalah
Walaupun amat seronok berkunjung ke tempat tempat sejarah dan tempat menarik di Beijing, adalah tidak bermakna kunjungan tersebut sekiranya kita tidak dapat berkunjung ke Masjid Niujie. Masjid ini antara masjid yang terkenal di beijing. Walau pun begitu banyak yang perlu dilakukan oleh umat islam dalam mengagongkan islam dibumi yang penduduk islamnya terlalu minoroti dan diperintah oleh kerajaan bukan islam.

Khamis, Disember 16, 2010

Drama Kita Sekarang

 
Do, Re, Me maupun  Pendekar Bujang Lapok, aku lebih rela menontonnya berbanding kebanyakan drama drama tv masa kini. Bosan, meluat, jumud kepala otak. Cinta cinta cinta. Yang lebih mencemburukan hati apabila watak watak ahli agama sering digambarkan sebagai orang kalah dalam sebarang adegan pertembungan samada pertembungan pendapat, tindakan atau keputusan. Maksudnya jika ada ahli agama mengecam sekumpulan yang kontra terhadap agama, di akhrir cerita ahli agama pasti akan memohon maaf kepada kumpulan tersebut.

Kalau ada dalam drama itu ibubapa yang cenderong kepada agama yang sering membebel terhadap anaknya, pasti diakhirnya ibubapa itu digambarkan tersalah mengambil tindakan terhadap anak.

Amat sukar melihat akhiran cerita di mana mat mat rempit, bekas bohsia, kaki disko, penagih konsert, kaki minuman keras, memohon maaf kepada kumpulan agama yang sepatutnya diberi imej baik dalam setiap adegan.


Sesuaikah watak bersongkok, tapi...?

Perbuatan dengan kerap menonjolkan ahli agama mempunyai imej kurang baik ataupun berada di situasi keliru dalam drama atau filem akan menyebabkan akhirnya suatu hari nanti ahli agama akan dipandang sinis di sisi masyarakat. Manakala golongan yang tidak cinta kepada agama akan menjadi sanjungan hasil daripada watak watak mereka yang diberi imej baik dalam drama atau filem. Kita takut ini menghakis minat masyarakat bukan islam mendekati islam. Lebih dasyat lagi masyarakat islam sendiri akan memandang golongan warisan ulama tersebut sebagai pengacau kepada kebebasan hidup mereka.

Jumaat, Disember 10, 2010

Balang Pusaka

Bukan balang sebarang balang, balang peninggalan arwah datuk. Balang ini diberi oleh mak cik aku setelah ia menutup operasi kedai runcitnya di Kampung Sungai Bil. Beliau telah berpindah ke kampung sebelah Kg Sungai Dara dan tidak mampu lagi mengurus kedai tersebut sementelah pula memikul tugas sebagai guru takmir yang mengajar ilmu agama dari surau ke surau.

Lebih kurang 40 tahun dahulu balang ini digunakan oleh datuk ku untuk menyimpan barang yang diperniagakan seperti biskut biskut atau gulu dan lain lain. Kini aku masih memikirkan apakah yang sesuai untuk dijadikan balang ini. Nak buat penyimpan gula, agak terlalu besar. Aku bukan pemborong gula yang suka sorokkan gula. Sorok pun boleh banyak mana.. Harga gula tetap mengancam. Mungkin untuk menjamin harga barangan pengguna di Malaysia pada paras minimum, konsep satu barang satu menteri kena diwujudkan. Menteri kelapa, menteri telur, menteri tepung dan menteri menteri ......Mungkin boleh menimbulkan sedikit kepercayaan rakyat akan kewibawaan mereka.
Amat sukar bagi kita melihat balang kaca yang sebesar ini. Balang ini memang masih cantik lagi cuma penutupnya yang dibuat daripada zing sudah berkarat. Perlu di gosok dengan kertas pasir dan disembur cat untuk memulihkan kecantikannya.

Rabu, Disember 08, 2010

Masjid Kampung Raja, Parit. Perak

 Aku singgah lagi di sini. Kali ni nak dikongsikan tentang Masjid Kampung Raja. Masjid terletak di antara pekan Parit dengan pekan Tanjung Blanja. Masjid sungguh selesa samada ruang solat atau pun laman persekitarannya.

Perasmian masjiddisempurnakan oleh Raja Nazrin seperti yang tercatat di atas.
Tatatertib Di dalam Masjid seperti dalam gambar ini boleh dilihat di setengah setengah masjid sahaja. Walaupun zahirnya nampak sudah lama tetapi masih jelas untuk dibaca. Ianya kemungkinan adalah hasil tulisan tangan. Walau bagainmanapun ianya boleh diperolehi di pasaran sekarang dengan tulisan rumi.

Setiap jemaah hendaklah memahami setiap adab yang dinyatakan dalam poster tersebut bagi mendapat keberkatan sepanjang berada di dalam masjid. Sehinggakan langkah memasuki masjid pun boleh menjadi ibadah buat kita jika kita mengambil berat akan ilmu tersebut. Sebaiknya semua masjid mengambil anisiatif serupa supaya ia boleh menjadi amalan setiap jemaah masjid.
Aku sempat merakamkan gambar sebahagian jemaah setelah kami selesai menunaikan solat maghrib. Semoga masjid ini mampu meningkatkat minat dan keperhatinan kariah untuk sama sama berjemaah di masjid agar ruang ruang yang masih banyak kosong akan dilimpahi suatu masa nanti. Sesungguhnya jumlah jemaah waktu maghrib adalah jumlah yang paling ramai berbanding waktu waktu lain. Bolehlah dianggarkan berapa agaknya jumlah jemaah jika waktu suboh? Wallahuaklam.

Jumaat, Disember 03, 2010

Manfaat Membaca Al-Quran

Al-Quran yang telah siap dicetak (Madinah)

Tersebut kisah seorang datuk dan cucunya tinggal di tepi sungai. Mereka adalah beragama Islam. Setiap pagi datuknya membaca al-Quran dengan suaranya yang merdu mengalunkan ayat-ayat indah Al-Quran dan menyuruhnya cucunya mengaji Al-Quran..
Pemandangan di luar Kilang Cetak Al-Quran
Didesak rasa ingin tahu,si cucu bertanya, “Mengapa Datuk selalu membaca Al-Quran? Menjadi rutin, setiap pagi?” Menurut si cucu, sukar untuk memahami kandungan ayat-ayat Al-Quran tersebut,walaupun setelah membaca terjemahannya. “Mengapa memaksakan diri membaca sesuatu yang tidak kita mengerti?”
Mendengar pertanyaan tersebut, si datuk terdiam. Dia tidak menjawab sebaliknya si datuk menyuruh cucunya mengambil air di sungai berdekatan rumah mereka menggunakan bakul bekas arang. Bakul tersebut hitam legam maklumlah bekas tempat arang.
Walaupun tidak faham dan tidak berpuas hati kerana datuknya tidak menjawab soalannya tadi, si cucu mengikut apa yang disuruh oleh datuknya iaitu mengambil air di sungai menggunakan bakul.
Tetapi setiap kali air diceduk menggunakan bakul biasalah air akan keluar dari lubang bakul yang diperbuat dari rotan tersebut.
Si cucu memberitahukan hal tersebut kepada datuknya, mustahil untuk mengambil air menggunakan bakul rotan tersebut. Tetapi datuknya menyuruhnya mencuba lagi. Dengan patuh, sang cucu kembali ke sungai dan menceduk air dengan bakul tersebut. Dapat diceduk tetapi air dengan cepat keluar balik. Cucu tersebut berfikir,si cucu memutuskan untuk berlari sambil membawa bakul berisi air tersebut. Mungkin saja setibanya di rumah masih ada air yang tersisa di bakulnya.
 

Namun begitu bakul tersebut tinggal kosong ketika si cucu sampai rumahnya. Airnya sudah keluar sepanjang perjalanannya. Tidak menerima kegagalan, sang datuk tetap menyuruh si cucu untuk kembali ke sungai dan mengambil air dengan bakul rotan tersebut.
Berkali-kali cucunya berlari dari sungai menuju rumahnya sambil membawa bakul berisi air tersebut. Dia cuba berlari dengan lebih laju, namun hasilnya tetap sama: air sungai tersebut tak pernah sampai ke rumahnya, ke hadapan datuknya. Termengah-mengah,si cucu akhirnya berkata pada datuknya bahawa benar-benar mustahil mengambil air dengan bakul rotan tersebut.

Mendengar pernyataan cucunya, datuknya tersenyum. Ia mengajak cucunya duduk dekat. Lalu berkata,”Begitulah cucuku. Maaf membuatmu penat. Memang tidak ada air yang sampai kesini. Tapi lihatlah, adakah perubahan yang dapat kau lihat pada bakul tersebut?”
Si cucu memperhatikan bakul yang dibawanya tadi untuk pertama kali. Benarlah, ia memang tidak menyedari sebelumnya karena terlalu memikirkan cara bagaimana membawa air dengan bakul tersebut, tapi bakul yang tadinya hitam legam kerana arang tersebut sekarang sudah bersih, berwarna asli seperti rotan asalnya.
“Seperti itulah membaca Al-Quran,” ucap si datuk. “Mungkin masa ini kita belum faham ertinya, belum mengerti pengajarannya. Tapi tanpa kita sedari, ayat-ayat yang selalu kita lantunkan tersebut membuat hati kita bersih dari noda-noda kehidupan, dari buruknya sifat-sifat makhluk fana yang mungkin bersemayam dalam hati kita. Amalkanlah membaca Al-Quran cucuku, sebagai alat pembersih hati.”
Si cucu masih terduduk lelah dengan nafas sedikit termengah-mengah, namun ia mengangguk faham. Rasa ingin tahunya dapat jawapan yang memuaskan hatinya, ia mendapat sesuatu yang berharga hari itu.
Ya Allah bimbinglah hambaMU ini untuk selalu membaca Firman-firman-Mu setiap hari, timbulkanlah rasa rindu di hati ini untuk selalu mengkaji kitab-Mu.  Aamiin.

Sumber cerita: email
Sumber gambar: galeri peribadi

Selasa, November 30, 2010

Ikan Ikan Sungai Bil - 3

Rupa ikan tengas
Baru baru ni ketika pulang kekampung sempatlah mandi sungai. Sambil mandi aku sempat menebar jala ke tempat tempat yang di syaki ada ikan. Disamping itu batu juga di serkap menggunakan jala tersebut. Hasilnya alhamdulillah dapat juga buat pembuka selera di tengahari minggu itu.
Kebetulan batu yang diserkap itu dihuni oleh kumpulan ikan tengas berbagai saiz. Setiap sudut jala dijaga rapi oleh anak aku untuk mengelakkan ikan daripada terlepas. Manakala aku merunjang dengan menggunakan kayu agar ikan keluar. Lihatlah hasilnya, lebih kurans sama jer saiznya.
Ikan seluang pun tidak dapat meloloskan dirinya.
Yang ini ikan selimang (Siammese algae eater). Aku percaya ramai tak kenal ikan ni. Rasa nya memang sedap jika digoreng. Keistimewaannya pada telurnya yang berwarna hitam. Apabila digoreng menjadi warna merah. Berkunjunglah ke Kg Sg Bil untuk riadah sambil menangkap ikan.


Jumaat, November 26, 2010

Kecundangnya Pasukan Hoki Malaysia


Sukan Asia di Guangzhau China 2010. Pasukan Hoki Malaysia layak diberi sekalung ucapan tahniah walaupun kalah kepada Pakistan di perlawanan akhir yang menetukan pingat emas dan perak. Ini memberi indikasi kepada pasukan lawan bahawa pasukan Malaysia masih mempunyai kekuatan dan kemampuan untuk menggugat pasukan pasukan pilihan pada masa akan datang. Kelegaan terpancar pada riak riak wajah peminat peminat hoki negara akan perkembangan ini. Kita tidak sanggup melihat kemorosotan mutu permainan hoki negara terus terusan seperti apa yang dialami oleh pasukan bolasepak negara. Sebaris dengan Korea Selatan seketika dahulu, kini Korea Selatan telah menempa nama dipersada bola sepak antarabangsa sedangkan pasukan Malaysia masih tercari cari formula ke arah itu. Untuk menguasai peringkat Asia Tenggara pun agak sukar. Pendek kata tiada apa yang ada pada bola sepak negara untuk kita banggakan.
Mengapa kita kalah? Kalau kita boleh kalahkan India tidak mustahil untuk Malaysia mengalahkan Pakistan. Sesiapa yang menonton perlawanan akhir semalam akan dapat sedikit mengulas antara puncanya. Aku tidak mahu menyentuh soal teknikal dan tektikal pasukan negara tetapi mahu melihat daripada sudut sikap pemain. Mengapa wajah wajah ketika menumpaskan India berubah ketika menghadapi Pakistan.Lihat sahaja dua gambar di atas.

Tidak salah memendekkan rambut, tetapi imej berambut pendek itu dicemari dengan sejemput jambul pula. Ini dapat digambarkan bahawa apabila sahaja layak melangkah ke akhir pasukan kita sebok dengan persiapan imej yang akan ditonjolkan nanti di padang. Lebih buruk lagi imej yang dipaparkan tidak melambangkan budaya negara kita. Mengapa tidak menumpukan sepenuhnya kepada persiapan perlawanan.

Sebenarnya fenomena mencari publisiti ini boleh di dapati di lain lain bidang sukan. Yang pastinya pencapaian yang dimiliki pasti tidak akan sampai ke mana. Sejarah fesyen rambut pemain negara bukan isu baru. Mungkin faktor ini dilihat kecil tetapi dalam pertandingan peringkat tertinggi yang mana kemampuan pasukan hampir sama, faktor kecil boleh menjadi penentu kepada keputusan perlawanan. Semoga isu kecil kecilan sebegini yang tidak menjadi salah kepada etika bersukan tetapi sumbang kepada budaya kita perlu dipantau oleh badan bertanggung jawab dalam sukan.

Selasa, November 23, 2010

Masjid Padang Gajah, Trong. Perak


Aku pernah singgah di sini. Bukan sekali tetapi dah banyak kali jugak. Tentu kawan kawan akan kata, "tentulah sebab kau balik rumah mertua lalu di situ". Memanglah betul tetapi masjid ni seolah olah ada aura untuk menarik kita singgah di sini. Nak kata cantik, tak cantik mana, nak kata bersih memang bersih jugak. Lihatlah gambar kat bawah ni, binaannya menarik di samping persekitaran yang luas untuk jemaah.
Halaman masjid yang luas dihiasi dengan taman yang sederhana kelengkapannya sudah cukup untuk menyerikan persekitarannya. Ada pondok juga untuk sesiapa berehat sambil menjamu selera. Walaupun nampak lama tapi ajk masjid masih mempunyai anisiatif untuk memelihara kebersihannya.
Gambar di bawah melihatkan ruang tambahan yang baru bagi menampung jumlah jemaah yang meningkat dari masa ke semasa.

Dalam kawasan masjid ini juga terdapat madrasah untuk keperluan anak anak tempatan mendalami ilmu agama.
Sekiranya anda melalui laluan Beruas ke Trong, anda akan berjumpa masjid ini. Sila silakanlah singgah sekurang kurangnya bagi mendirikan solat sunat tahiyyatul masjid.


Sabtu, November 20, 2010

Seri Iskandar - Institut Latihan KEMAS

 Apa ada diSeri Iskandar? Jika pertanyaan itu dilontarkan, antara jawapannya KEMAS. Bukan jawapannya kena kemas tetapi di Seri Iskandar terdapat Institut Latihan KEMAS (ILK). Seri Iskandar antara tempat yang bertuah kerana lokasinya terpilih untuk pembinaan ILK. Jumlah ILK diMalaysia tidak banyak hanya 2 sahaja iaitu ILK Seri Iskandar dan ILK Kuantan.
  
Selain dua institusi latihan bertaraf institut yang dimiliki Jabatan Kemajuan Masyarakat terdapat lagi 4 pusat latihan iaitu:
Pembinaan ILK Seri Iskandar dilihat sebagai pemangkin kepada usaha membangunkan masyarakat kearah pembangunan agama bangsa dan negara khususnya daerah Perak Tengah.

 Fungsi ILK seharusnya tidak lagi terkongkong dengan latihan bercorak tradisi. Pandangan negatif terhadap KEMAS selama ini yang disifatkan berperanan menanamkan sifat cenderong kepada sesuatu parti perlu dikikis. Jika tidak masakan ada pemimpin parti lawan berkata: "Jika BN dapat dikalahkan, semua organisasi akan dikekalkan kecuali KEMAS. Kita akan lihat semula fungsinya" Sesuai dengan  kemegahan institut ini, profesionalisma  pelatih perlu disemai bagi mendepani masyarakat yang lebih kritis kepada pembangunan rohani dan jasmani. Membangunkan, mengasuh dan mendidik melalui konsep berfikir perlu dipraktikkan demi melahirkan masyarakat pandai dan cerdik ilmu dunia dan akhirat.
ILK Seri Iskandar mempunyai beberapa kemudahan yang boleh disewa oleh lain lain agensi. Antaranya Dewan Besar, Bilik Kuliah, Asrama dan lain lain. Untuk maklumat lanjut anda boleh layari laman sesawang ILK Seri Iskandar.