Aku kerap ke Kg Medan sebab ramai kaum keluarga tinggal di sini. Masjid ini sudah beberapa kali disinggahi. Pernah juga bersolat jumaat di sini. Perubahan hari demi hari masjid ini menunjukkan akan pertambahan jemaah yang datang ke masjid.
Gambar gambar ini aku ambil sekitar tahun 2011. Tidak mustahil sehingga ditahun 2013 masjid ini telah dibesarkan lagi. Fenomena masjid di Selangor menerima kunjungan jemaah yang mendadak selepas tahun 2008 tidak dapat disangkal oleh ramai orang. Ramai yang berkata program program masjidnya bertambah dan agak tersusun jika dibandingkan dengan sebelum ini.
Baru baru ini aku berkunjung ke Bandar Baru Bangi dan singgah berjemaah maghrib di Masjid Bandar Baru Bangi. Aku lihat jemaah berpusu pusu datang seolah olah suasana solat jumaat ditempat aku kini. Selepas selesai solat aku lihat diluar masjid penuh dengan kenderaan. Aku terpaksa menunggu agak lama untuk beredar disebabkan keadaan jalan tersekat disebabkan banyaknya kenderaan. Kebiasaannya kesesakan jalan amat memeritkan tetapi kesesakan di masjid agak mengharukan diri ini. Betapa jika rumah Allah diutamakan dalam kehidupan maka terpancarlah syiar islam pada sesuatu tempat itu.
Oleh kerana teruja dengan kemakmuran masjid itu maka kami sekeluarga mengambil keputusan utk menginap di hotel yang berhampiran dengan masjid tersebut. Esoknya ada kulian suboh Ustaz Halim Din.
Dalam pada ramai pihak mendakwa masjid dipolitikkan oleh kerajaan Selangor, natijahnya masyarakat mendekati masjid. Masjid menjadi makmur. Program program masjid mendapat sambutan ramai. Syiar islam nampak terpancar menunjukkan islam disanjung oleh masyarakat setempat.
Cuma fahaman sekular sahaja yang ingin memisahkan agama dengan politik. Sedangkan islam sebaliknya di mana agama, politik, perniagaan dan pendidikan tidak boleh diasingkan. Semestinya bergerak seiring bagi membentuk kehidupan dan pembangunan yang seimbang.
Apalah maknanya perjuangan yang seolah menjaga kesucian masjid sehinggakan ungkapan yang berbaur politik tidak bolih diucapkan dimasjid. Masjid dikawal dan ceramah khusus untuk ustaz ustaz terpilih sahaja. Jumlah ceramah sekadar berkahak ditangga sahaja. Masjid menjadi suram. Jumlah tiang lebih ramai daripada jumlah jemaah. Tahi cicak bertaburan. Duit tabung banyak tetapi kedekut untuk menggaji pencuci membersihkan masjid. Nak harapkan semua tok siak buat. Zaman sekarang bukan zaman tok siak cuci tandas tetapi zaman di mana tok siak mampu menggantikan bilal untuk azan. Zaman bilal mampu menggantikan imam untuk solat berjemaah. Duit tabung berlambak tetapi aktiviti kosong. Kariah yang memerlukan bantuan tersisih. AJK masjid tidak boleh bersikap seperti zaman tahun 46 dahulu.
Semoga siapapun yang akan mentadbir Selangor selepas ini, masjid masjid mesti dimartabatkan kedudukannya. Jika kini kedudukannya agak terbela maka janganlah hendaknya selepas PRU13 ini akan terabai. Ya Allah maka kau menangkanlah manusia yang ikhlas hatinya untuk membela agamaMU dalam PRU 13 ini. Kau menangkan juga parti yang ikhlas perjuangannya untuk memperkembangkan agama Islam di bumi Malaysia ini. Dan kau gerakkanlah tangan aku untuk memangkah orang yang menperjuangkan agamaMU. Amiin