Jumaat, Januari 29, 2016

Surau Kampung Sungai Bil Dalam Kenangan - 2


Inilah bentuk surau baru yang sedang didirikan bagi menggantikan surau lama. Alhamdulillah Allah memberikan kemudahan kepada jawatan kuasa pembinaan surau baru apabila salah seorang ahlinya mempunyai kepakaran dalam bidang binaan. Hasil usahanya amat menarik dan disepakati oleh semua ahli kariah. Moga moga ramai lagi anak kampung ini mempunyai kepakaran tertentu agar dapat menyumbang untuk pembangunkan kampung tercinta ini.
Surau lama sudah berlalu, yang tinggal hanya sejarah yang terpahat di lubuk hati penduduk masing masing. Sudah pasti adanya insan yang dilontarkan hidayah di surau lama itu. Adanya insan memohon ampun agar segala dosanya dipadamkan di situ. Ada insan yang dimuliakan Allah di situ. Dan ada juga insan yang dirindui oleh rumah Allah akan kehadirannya di situ.

Ya Allah, kau berilah keberkatan atas surau baru ini. Dengan kelahiran surau baru ini Kau lahirkan rasa cinta kami kepada rumahMU. Satukanlah hati hati kami. Kuatkanlah ukhwah kami. Lipat gandakanlah iman kami. Beri kami kekuatan untuk memaksa diri kami beramal kepada Mu. Curahkanlah kami ilmu yang membawa kami ke syurga mu. Ilmu yang dapat memberi kejayaan kepada kami di dunia dan juga di akhirat.

Semoga surau baru dapat disiapkan dalam masa terdekat ini. Agartercapai impian ahli kariah untuk menyambut Ramadhan tahun ini bersama surau baru yang tersergam indah.

Ahad, Januari 24, 2016

Allahyarhamah Makcik Robak

Seluruh Kampung Sungai Bil dirundung kesedihan dengan pulangnya kerahmatullah Makcik Robak (nama panggilan di kampung) pada pagi 24 Januari 2016. Semoga roh arwah ditempatkan bersama roh orang orang beriman.
Kepada seluruh keluarga arwah didoakan semoga tabah menghadapi saat kesedihan ini sesungguhnya setiap yang datang itu adalah ketentuan Ilahi.

Khamis, Januari 07, 2016

Surau Kampung Sungai Bil Dalam Kenangan - 1


Apabila Ketua Kampung mengumumkan bahawa permohonan pembinaan surau baru telah diluluskan maka bermakna Surau Kampung Sungai Bil akan dirobohkan bagi membolehkan surau baru didirikan di tapak lama tersebut. Surau kayu yang mula mereput dimakan bubuk dan ruang tidak mampu untuk menampung jemaah yang sekali sekala ramai terutamanya musim cuti dan Hari Raya antara alasan untuk memohon tersebut.
Surau yang menjadi lambang kepada penyatuan kariah telah banyak berjasa kepada penduduk kampung. Namun perasaan rela bercampur hiba setiap hati terpaksa dimamah bagi melihat sebuah surau baru yang lebih baik keadaannya.
Tidak dinafikan telah banyak individu berwakaf untuk surau ini. Semuanya telah dimanfaatkan samada dijual ataupun digunakan semula. Semoga Allah akan membalas jasa mereka yang mengimfakkan harta mereka ke rumah Allah ini.  
Allahyarham Zainudin, Allahyarham Zainal Abidin dan Allahyarham Sidek merupakan nama nama penting yang pernah menjadi imam surau ini. Pemergian mereka sukar dicari ganti. Usaha mereka mengimarahkan dan mentadbir surau ini sungguh besar. Kini tanggung jawab tersebut digalas oleh Hj. Badiuzzaman (Anak Allahyarham Zainudin).

Ruang solat muslimat


Ahli kariah sering mendoakan agar projek pembinaan surau baru akan berjalan lancar. Kami mengharapkan surau baru tersebut dapat digunakan pada bulan ramadhan 2016 nanti. Apa pun jawatankuasa pembangunan surau telah memilih kontraktor yang terbaik demi menjamin ianya dapat disiapkan pada waktunya.

Sementara menunggu surau baru disiapkan ahli kariah Kg. Sg. Bil telah mengubahsuai Dewan Orang Ramai bagi dijadikan surau sementara. Dengan perhatian berat oleh Ketua Kampung En. Roslan semuanya berjalan lancar. Kuliah agama dan berbagai program dapat dijalankan di sini.




Semoga dengan siapnya surau baru nanti Allah mendatangkan rahmat dan hidayahnya kepada penduduk Kampung Sungai Bil. Surau akan dapat memainkan peranannya sebagai institusi yang dapat mengerat dan menyatukan penduduk kampung atas tujuan yang satu iaitu hidupku dan matiku kerana Allah walaupun mempunyai fikrah yang berbeza.

Isnin, Januari 04, 2016

Teropong Teropong Akan Meneropong Kembali

Setahun dua kebelakangan aku amat kurang mengemaskini blog ini. Oleh itu agak banyak peristiwa atau catatan hilang luput begitu sahaja. Maklumlah kemorosotan ingatan selari dengan peningkatan usia. Sesekali ada notis masuk mengingatkan ada pengunjung meninggalkan catatan. Ohhh..Teropong Teropong masih hidup. Namun kemalasan menulis masih menghantui..
Fenomena masyarakat sekarang ini sebok melayan WhatsApp dan FB. Kalau dulu sebok menulis tetapi sekarang sebok menyembang. Kebiasaan sembangnya perkara perkara yang tidak penting pun. Maka luputlah masa dengan perkara yang kurang faedahnya.
Kini tahun 2016 aku ingin beralih semula melayan blog ini yang agak lama ditinggalkan. Insyaallah apa yang dicoretkan hari ini akan menjadi renungan kembali di silam hari sekiranya Allah masih meminjamkan nyawa.