Sabtu, September 29, 2012

Masjid Al-Khairiah, Air Terjun, Trong Perak

Masjid ini terletak di tepi jalan sahaja. Berhampirannya terdapat sebuah jambatan besi. Jambatan ini agak bising apabila dilalui oleh kenderaan berat. Bagi yang tidak biasa singgah di sini ianya agak mengganggu juga sedikit. Walau bagaimanapun kelihatan kini disebelah jambatan tersebut sedang berjalan kerja kerja memperbaiki jalan. Dipercayai jambatan ini juga akan diganti dengan jambatan lain. Diharap jambatan baru nanti tidak lagi berbunyi bising yang mengganggu jemaah di masjid.

Walaupun masjid ini kecil tetapi kawasan sekelilingnya agak luas. Tiada masalah untuk projek pembesarannya di masa hadapan. Gambar di bawah adalah tempat wuduk dan tandas lelaki.
Baharu baharu ini aku berkesempatan mendengar kuliah seorang ustaz. Beliau menyatakan wang tabung keselurahan masjid dalam negeri Perak adalah sebanyak RM18 juta. Satu jumlah yang agak besar jika dinisbahkan kepada kos pengurusan masjid. Dengan jumlah sebanyak itu sepatutnya tidak ada lagi masalah tandas tidak bercuci, tandas tidak berpintu, majlis ilmu tidak ada, sistem pembesar suara tidak sempurna. Jauh lebih penting adalah wang sedekah dan wakaf orang tidak dilaksanakan tujuannya. Ini bermakna orang yang dipertanggung jawabkan seolah olah menyekat amal kebajikan orang lain. Berbalik kepada tujuan orang bersedekah ialah supaya wang sedekah itu dibelanjakan untuk kebaikan agar boleh mendatangkan pahala kepada yang bersedekah.
Pengurusan wang yang baik adalah pengurusan yang dapat mengimbang perbelanjaan dan aliran wang masuk. Sekiranya wang masuk sehingga wang tabung terkumpul dengan banyak dan perbelanjaan pula tidak secara optimum maka tidak banyak manfaat yang boleh diperolehi.

Apapun tulisan ini bukan untuk mengulas perbelanjaan yang terpamer dalam gambar di atas.

Selasa, September 04, 2012

Masjid Sultan Ahmad Shah (Lama), Pekan Pahang

Dalam kunjungan ke Pekan Pahang beberapa bulan lepas aku juga sempat singgah di masjid ini. Masjid yang digelar Masjid 10 Kubah ini terletak bersebelahan Makam DiRaja dan berhadapan dengan Sungai Pahang. Kubah yang berwarna kuning keemasan menambahkan keceriaan masjid ini.

Oleh kerana aku berada di Pekan selama sehari atas urusan menghantar rombongan perkahwinan sepupuku, maka kami menginap di Pekan. Aku juga sempat berkunjung ke masjid ini di waktu subuh.
Seperti sesetengah masjid yang aktif, masjid ini juga menganjurkan majlis kuliah suboh sempena hari cuti hujung minggu. Masjid perlu diprogram agar menjadi satu institusi yang boleh membentuk masyarakat menjadi masyarakat yang beriman kepada Allah. Oleh itu ahli yang di amanahkan untuk memegang jawatan di masjid mesti mempunyai roh masjid yang mana sentiasa memikirkan bagaimana untuk mengimarahkan masjid agar orang ramai dapat ditarik kemasjid untuk khususnya solat berjemaah.

Walaupun para jemaah yang hadir agak sedikit berbanding masjid yang besar namun sudah cukup dibanggakan kerana memang sukar untuk menarik jemaah terutamanya untuk berjemaah di waktu suboh seterusnya duduk mendengar kuliah tatkala mata masih lagi kelat untuk dibuka.
Bersebelah pagar masjid ini terdapat makam diraja dan juga perkuburan ahli kariah masjid ini. Berdasarkan jumlah kubur yang ada dapat disimpulkan bahawa kawasan ini telah lama digunakan sebagai tanah perkuburan.
Gambar di bawah makam di raja dan aku pasti ia adalah makam sultan. Aku sekadar berdiri di pintu tersebut dan menhadiahkan bacaan Fatihah kepada arwah sultan sultan yang mangkat. Terdapat beberapa kubur di dalam bangunan ini.
Di luar bangunan ini bersebelahan pintu masuk terdapat beberapa kubur kerabat di raja. Aku dapat melihat seseorang duduk di sisi kubur sambil membaca ayat suci Al-Quran. Jika diperhatikah terdapat Al-Quran di sisi beberapa kubur untuk sesiapa ingin membacakan ayat xuci untuk ahli kubur.
 Bagi yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang masjid ini boleh membacanya daripada keratan akhbar di bawah. Banyak fakta penting boleh diperolehi.
 Satu lagi perkara yang aku kagumi tentang pentadbiran masjid ini ialah sikap terbuka mereka dalam menerima kenyataan pengurusan masjid dan fahaman politik. Terdapat beberapa petikan tulisan Tuan Guru Nik Aziz yang ditampal di papan kenyataan untuk tatapan ahli kariah. Sesetaengah masjid perkara ini agak sensitif bagi fahaman mereka. Ternama sahaja sebagai ahli pembangkang pasti ditolak mentah mentah tanpa menilai apa yang diucapkan.
 
 Akhirnya marilah kita berduyun duyun kemasjid seperti bagaimana berduyun duyun orang pergi Jom Heboh. Ahli Jawatankuasa Masjid menganjurkan Jom Jemaah buat semua kita. Jika tidak kita mengisi jawatan kosong ini siapalagi? Jawan kosong ini juga pernah ditawarkan di sini dan saya percaya di mana mana pun ada tetapi mungkin tidak di iklankan tetapi sekadar memanggil 5 kali sehari melalui laungan azan. Marilah mengerjakan solat.