Ahad, Julai 31, 2011

Selamat Berpuasa

ramadhan2
Selamat berpuasa (1 ogos 2011) diucapkan kepada semua umat islam. Semoga ramadhan tahun ini lebih bermakna kepada hidup kita.

Jumaat, Julai 29, 2011

Menghangatkan Ramadhan

Dalam hati kita kini perlu ada rasa ghairah dengan kedatangan ramadhan yang tinggal beberapa hari lagi. Perlunya kita menyiapkan diri dari segi rohaninya agar kita dapat menanamkan kecintaan kita terhadap bulan yang mulia ini. Sesetengah orang melihat bulan ini bulan yang merugikan mereka. Ada pula melihat bulan yang menyusahkan. Tidak kurang pula melihat bulan ini bulan yang mendatangkan keuntungan wang yang berlipat kali ganda. Tetapi orang yang paling beruntung adalah orang yang melihat bulan ini bulan yang akan menggandakan pahala daripada ibadah yang mereka lakukan. Justeru itu setiap saat bulan ramadhan ini akan dilalui dengan mengingati Allah. Apa juga yang dilakukan akan dijadikan ibadah.

Kita tahu Allah akan menggandakan ganjaran pahala pada bulan ramadhan. Allah juga menawarkan satu malam malam lailatulqadar. Siapakah yang bernasib baik yang akan dipilih Allah akan bertemunya. Kalau ikut fikiran kita sudah tentulah sesiapa yang bersungguh sungguh daripada awal ramadhan hingga ke akhirnya. Beramal dan yang banyak mengingati Allah.

Sempena ramadhan ini marilah kita hangatkan kedatangannya dengan pelbagai cara. Ucapan ucapan, kuliah serta ceramah menjurus kepada persediaan menyambut ramadhan. Janganlah hendaknya kita membiarkan kedatangan ramadhan tetapi bersungguh sungguh menghangatkan kedatangan syawal.

Selasa, Julai 26, 2011

Masjid Wakaf Tembusu, Kuala Terengganu

Ini ada lagi antara masjid yang pernah aku singgah semasa berkursus di Kuala Terengganu beberapa bulan lepas. Masjid yang sungguh indah dan menarik hati dapat dirasai sebaik sahaja memasuki kawasan persekitarannya.
Jika masjid seindah ini tidak dijaga dengan rapi maka akan mencemarkan nama baik kariah sendiri. Setiap kariah kena memberikan kerjasama dalam memakmurkan dan menjaga masjid masing masing. Ini rumah Allah tempat kita beribadat membesarkan Allah.
Ketika aku singgah waktu maghrib telah masuk. Azan yang dikumandangkan juga sungguh syahdu. Jemaah memang ramai sesuai dengan besarnya masjid tersebut. Amat malang jika masjid dibuat besar besar tetapi jemaah tidak ramai. Hanya ramai ketika menunaikan solat surat hari raya sahaja. Sedangkan solat fardhu sepi sentiasa.
Baru baru ini aku singgah disebuah masjid di negeri ku untuk menunaikan solat asar. Cuma ada 3 orang jemaah termasuk aku. Azan telah dilaungkan agak lama dah. Rupanya imam masih tak sampai. Dua orang jemaah bertolak tolakan untuk mengimamkan solat. Akhirnya aku pulak yang disuruh kedepan. Dalam hati ku takkanlah aku yang musafir nak mengimamkan solat di masjid orang lain. Tetapi mereka minta juga aku kedepan. Untuk tidak melengahkan waktu maka aku pun ke depan jadi imam.
Selepas solat aku terfikir kemana perginya imam yang dilantik. Tidak amanah namanya jika kita terima elaun tetapi masjid ditinggalkan tanpa menyusun waktu bertugas.
Ketika perjalanan pulang esoknya waktu asar aku singgah satu lagi masjid. Lebih dahsyat lagi seorang jemaahpun tiada. Setelah menunggu agak lama akupun solat berjemaah bersama isteri dan anak di luar dewan solat oleh kerana dewan solat berkunci rapat siap bergril dan mangga.
Ketika ke kereta ku lihat sekumpulan kanak kanak bermain di perkarangan masjid. Sepatutnya mereka dibimbing mendirikan solat berjemaah. Tetapi sekiranya kaum dewasa pun tidak nampak batang hidung kepada siapa hendak kita sandarkan harapan agar mereka kelak akan menjadi insan robbani.


Isnin, Julai 18, 2011

Padang Seri Iskandar, Perak Tengah

Di Seri Iskandar terdapat sebuah padang bola sepak untuk kemudahan sukan di Seri Iskandar. Selain padang ini terdapat juga padang seperti ini dalam Daerah Perak Tengah seperti di Kampung Gajah, Parit dan Bota.
Kelebihan padang ini ialah ia mempunyai lampu limpah yang mana ahli sukan boleh menggunakannya di waktu malam. Oleh sebab itu kegiatan sukan di Seri Iskandar tidak lagi terhad di waktu siang sahaja malah ianya boleh dimanfaatkan di waktu malam.
Selain kegiatan sukan, terdapat juga kegiatan sosial ataupun perhimpunan dijalankan di sini. Walau bagaimanapun perhimpunan yang tidak mendapat permit polis sukar dilakukan di sini kerana padang ini terletak betul betul di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Perak Tengah.
Di sebelah padang bola ini terdapatjuga gelanggang bola tampar. Padang ini boleh dilihat daripada jalanraya Ipoh - Lumut.
Semoga dengan adanya kemudahan sukan ini akan dapat meningkatkan taraf dan kualiti sukan masyarakat Perak Tengah. Kita ingin melihat setiap pasukan sukan negeri Perak ada dianggotai oleh warga Seri Iskandar.

Sabtu, Julai 09, 2011

Masjid At-Taqwa, Kelumpang, Selangor



Masjid ini terletak ditepi jalan lama menuju ke Kuala Lumpur. Aku pernah singgah beberapa kali di sini. Agak mudah kelihatan dari jalan besar.
Walaupun tembok hiasan masjid agak biasa, tetapi kesungguhan ajk masjid dalam menceriakan masjid perlu mendapat pujian. Tetapi paling penting dalam menceriakan masjid ialah dari segi aktiviti kearah memakmurkannya.
Ini laluan masuk ke kawasan masjid melalui bahagian hadapan. Laluan lain ialah dari arah belakang di mana kawasannya lebih luas.
Ini pandangan dari arah hadapan iaitu bagian mimbar masjid. Terdapat juga kawasan parkir di sini selain bahagian belakang masjid.
Lanskap masjid juga agak menarik. Kalau ada tikar boleh bentang untuk menjamu selera dan berihat bawah redupan cahaya matahari.

Khamis, Julai 07, 2011

Kita Bersih Dia Bersin

BERSIH sudah bersetuju membatalkan perarakan ke Istana namun akan melaksanakan perhimpunan di stadium. Jika melihat rentetan peritiwa lama memang ada sebab mengapa Bersih perlu ditubuhkan. Apapun tuduhan maupun prsangka yang dilontarkan ke Bersih adalah sekadar mencipta bayangang buruk dan kotor demi menutup pralaku buruk dan kotor mereka sebelum ini yang menjadi duri dan nanah dalam hati pencinta adil dan bersih pilihanraya.

Bersih yang berjanji akan mengawal dan memastikan perhimpunan yang akan dilaksanakan berjalan dengan aman dan selamat tanpa sebarang kejadian buruk, tetap dinafikan haknya malah dijanjikan habuan sengsara. Manakala sebelah pihak lagi yang telah melihatkan sikap pertentangannya terhadap Bersih malah membayangkan akan menghalang dan mungkin akan mencetuskan sesuatu yang buruk tidak pula ditegur maupun disentuh oleh pihak berkuasa. Dalam situasi penyokong penyokong Bersih ditahan dan didakwa walaupun perhimpunan belum diadakan tetapi mereka bebas bersuara dan merancang provokasi.

Sebenarnya akupun tak kisah kalau Bersih membatalkan perhimpunannya.  Sebabnya:

Supaya pak menteri kurang bercakap dan lebih menumpukan bagaimana nak kawal harga barang melambung tinggi.

Supaya kaum bijak pandai yang menyokong kerajaan tidak menonjolkan kebodohan mereka lagi dalam membuat ulasan tentang perhimpunan Bersih.

Supaya anggota bawahan polis senang dapat cuti.

Supaya duit rakyat tidak dibazirkan membuat iklan TV bodoh anti Bersih.

Supaya khutbah jumaat esok tidak lagi berkisar tentang perhimpunan haram.
 dan banyak supaya lagi.............

Selasa, Jun 28, 2011

Menteri Undang Undang

Jika sekarang ini aku ditawarkan untuk menjadi seorang menteri, sudah pasti aku akan memilih menjadi menteri yang menjaga hal ehwal undang undang. Ini adalah susulan daripada banyak kes yang berlaku sekarang ini laksana lautan yang tidak nampak tepinya. Belum selesai kes si TBH, timbul pula kes Ahmad Sarbaini. Kedua duanya mati kununnya terjatuh bangunan. Walaupun di bangunan yang berlainan tetapi tuan punya yang sama SPRM. Polis Malaysia siapa yang tidak kenal, seluruh dunia kenal antara yang tercekap didunia. Tetapi pula kenapa sekarang agak lembab. Aku dapat membayangkan mungkin bertrak trak pegawainya akan aku tukarkan dan mungkin berbas bas juga akan aku berhentikan sebab tak perform hinggakan polis menjadi sindiran masyarakat. Sebagai menteri aku akan pastikan visi polis dilaksanakan sebaiknya iaitu menjadikan Malaysia negara selamat, aman dan sejahtera. Aku pastikan selamat, aman dan sejahtera itu dinikmati oleh semua rakyat Malaysia tidak kira bangsa, agama dan politik.

Aku yang berjawatan menteri ini akan mengajak kawan kawan aku supaya memikirkan perkara yang lebih penting seperti membawa kesejahteraan kepada rakyat. Sekiranya ada kes seperti kes DS Anwar Ibrahim, akan aku selesaikan mengikut ketentuan Allah. Dalam Alquran sudah jelas menunjukkan kita procedur pendakwaan kes tersebut. Yang nak pening pening menganalisa video buat apa. Jawatan aku sebagai menteri amat besar, maka besar juga tanggung jawab aku memastikan semua mendapat pengadilan yang tulus agar aku selamat di pengadilan Allah nanti.

Sekiranya ada kawan aku yang tidak tahu menghormati alim ulamak pasti akan aku tegur. Kemungkinan pelempang aku juga akan hinggap kemuka jika tidak mahu mendengar nasihat. Al-quran adalah sumber rujukan ulamak untuk menjatuhkan hukuman. Adalah kurang ajar sekiranya ada kawan aku yang menasihati alim ulamak melakukan solat sunat istikharah semata mata untuk mengakui pertuduhan melalui rakaman video seperti di sini. Aku akan ingatkan dia tidak mustahil orang akan buat video seks yang pelakonnya saling tak tumpah mirip kawan aku jika orang sudah tidak suka dia lagi. Oleh itu jangan nak tunjuk lebih pandai daripada Allah.

Aku percaya kalau akau menjadi menteri banyak kes mahkamah akan cepat selesai. Aku tidak akan mengamalkan double standard dalam menentukan siapa salah dan siapa betul. Aku akan ajak semua kawan menteri aku agar menumpukan kepada kerja kerja membangunkan negara dan memastkan negara Malaysia sebagai negara yang mendaulatkan undang undang. Tiada kawan aku yang boleh berdiri atas daripada undang undang negara.

Jumaat, Jun 24, 2011

Tukang Pancung Kepala Paling Terkenal

Muhammad Saad al-Beshi
Muhammad Saad al-Beshi merupakan algojo paling terkenal di Arab Saudi. Tugas pertamanya pada 1998 di Jeddah. Dia pernah memancung 7 kepala sehari. Dia akan ke rumah keluarga pesalah untuk meminta maaf kerana keesokkan harinya. Dia tidak bersedia memberitahu gajinya kerana perjanjian dengan pemerintah Arab Saudi. Muhammad Saad Al-Beshi pernah mendapat hadiah pedang dari pemerintah yang nilai pedangnya sekitar 20 ribu riyal.

Ahmad Rezkallah
Ahmad Rezkallah juga algojo terkenal Arab Saudi yang mengaku telah memancung 300 pesalah. Seramai 70 pesalahnya adalah perempuan.Dia berkata wanita lebih tabah saat menghadapinya, lelaki terus menjadi gila.

Abdallah Al-Bishi
Abdallah Al-Bishi juga adalah salah seorang algojo terkenal Arab Saudi. Abdallah Al-Bishi memiliki akaun facebook dengan nama Abdallah Al-Bishi -the Arabian Executioner. Dia meletakkan fotonya sedang mengusap pedang yang biasa digunakan untuk menjalankan tugas.
 

Selasa, Jun 21, 2011

Masjid Al-Falah, Ayer Tawar Perak

Masjid ini terletak di pinggiran pekan Ayer Tawar  sebelah kiri jalan Lumut - Ipoh. Aku kerap juga singgah di sini sebab masjid terletak di tepi jalan. Tidak banyak masjid terletak di tepi jalan di laluan Lumut - Ipoh. Kawasan parkirnya juga luas.
Sesuatu yang aku suka masjid ini ialah penghawa dingin akan dipasang tiap kali masuk waktu solat. Walau bagaimanapun aku percaya kecuali waktu suboh dan akupun tidak pernah singgah waktu suboh. Kemudahan yang ada memang perlu dimanfaatkan sebaiknya. Waktu yang paling baik sememangnyalah waktu solat. Amat sedih pula jika ada masjid memasang penghawa dingin ketika orang ramai sahaja. Jika tidak ramai jemaah, bermakna kita perlu menghormati jemaah yang sanggup datang itu. Walaupun mereka tak ramai kita kena hormati mereka kerana mereka mendirikan fardu kifayah itu. Mereka memang patut menikmati nikmat dingin tersebut. Lebih malang jika ada masjid menghadkan kepenggunaannya. Yang penting jangan membazirkan dengan sia sia. Walaupun bil letrik dah mahal (menyusahkan rakyat) manfaatnya perlu digunakan.
Masjid ini mempunyai ruang ilmu di bahagian belakangnya. Syabas diucapkan kepada jawatankuasa nya kerana prihatin tentang keselamatan jemaah dengan meletakkan Peti Ubat.
 Sesuatu yang berfaedah adalah baik untuk ditampal agar mendatangkan ilmu kepada para jemaah. Kita tahu adalah tidak dibenarkan menjalankan urusniaga didalam masjid. Kesucian masjid perlu dijaga. Banyak sekarang kita lihat iklan iklan perniagaan ditampal disekitar masjid. Iklan jual dan sewa rumah. Iklan ubat ubatan. Papan notis masjid bukan papan notis farmasi.
Masjid ini telah dirasmikan oleh Sultan Idris iaiatu sultan Perak sebelum Sultan Azlan sekarang ini.


Tempat menunggu ahli keluarga yang belum selesai menunaikan solat

Ruang tambahan di luar masjid

Kerusi van pun ada
Dewan solat
Pandangan tepi
Nun di sana pintu masuk masjid.

Selasa, Jun 14, 2011

Musim Nikah

Fiqih Praktis Nikah 
Lebih kurang 3 minggu cuti sekolah digunakan oleh kebanyakan pasangan bernikah. Merata tempat kemana sahaja kita pergi pada hujung minggu itu ada sahaja kenduri kahwin bagi meraikan pasangan pengantin baru tersebut. Maka selepas itu sesuatu yang diharamkan oleh Allah keatas pasangan sudah menjadi halal. Begitulah besarnya pengertian pernikahan itu. Jika tidak masakan pengantin lelaki berpeluh peluh jika sekadar melafazkan "Aku terima nikahnya si polan bt sipolan dgn maskahwinnya 80 ringgit tunai" Budak tadika pun boleh lancar menuturkannya. Tetapi apabila diletakkan tanggung jawab sebagai suami isteri diatas pernikahan itu dan menghalalkan apa yang diharamkan serta mengharamkan apa yang dihalalkan sebelum itu maka maka secara otomatik badan terasa gementar untuk melafazkannya. Sejurus selepas itu berbahagialah bagi mereka yang belum merasai keseronokan nikmat perkahwinan. Bermesra antara suami isteri yang mana sebelum ini adalah terlarang. Tetapi amat sesal dan malanglah bagi pasangan yang telah mendahului sesuatu perbuatan yang dilarang oleh Allah sebelum pernikahan.

Sesungguhnya pernikahan itu dapat menghindari manusia daripada zina. Hubungan yang dilarang oleh Allah iaitu zina tidak jauh daripada hubungan yang dibenarkan iaitu pernikahan. Sesuatu yang bermula dengan perkenalan antara lelaki dan wanita akan  membawa sesuatu hubungan itu kejalan halal dan membawa kejalan haram. Hubungan yang halal adalah hubungan kelamin antara suami isteri yang didahului dengan pernikahan. Hubungan yang haram ialah hubungan lelaki dan wanita tanpa nikah.

Hubungan yang halal akan membawa kebahagiaan. Anak yang dilahirkan akan membahagiakan ibubapanya. Opah dan Atuknya juga akan gembira menerima cucu. Adik berdik pula gembira menerima anak saudara. Orang kampung turut meraikan apabila majlis akiqah dilakukan.

Manakala hubungan haram akan membawa kesengsaraan. Sering terpedaya dengan tipu daya syaitan. Sudahlah dilakukan dalam ketakutan, anak yang dilahirkan adalah anak haram. Akan membimbangkan sipelakunya. Sekiranya diketahui oleh ibubapa ianya kan mendatangkan aib untuk selamanya. Amat sukar kaum keluarga untuk menerima kelahiran haram dalam keluarga. Kemungkinan anak yang dilahirkan akan dibuang. Banyak kes bayi yang dibuang mati.

Sesungguhnya Allah tidak pernah menyusahkan manusia untuk bernikah. Oleh itu bernikahlah sekiranya setiap pasangan itu telah boleh menerima antara satu sama lain. Jangan kita menuruti perkembangan budaya perkahwinan era ini jika ianya mengekang .

Selasa, Jun 07, 2011

Bukan Pasal Minyak Naik

 
Sejarah aku memandu kereta belum pernah aku kehabisan minyak di tengah jalan. Tetapi pagi ini  rekod tersebut pecah bukan sebab aku boikot beli petrol sebab harganya nak dinaikkan. Mana boleh boikot beli petrol. Kalau boikot guna elektrik boleh tahan lagi sebab ada altenatifnya, generator. Kalau harga ayam naik boleh boikot juga sebab boleh makan ikan. Kalau sampai tahap kita yang bagi subsidi minyak kepada kerajaan, pun terpaksa juga beli petrol.

Baru baru ini aku ada menerima surat daripada Nissan untuk menghantar kereta ke pusat servisnya kerana ia menganjurkan kempen servis meter minyak. Beritanya ada di sini. Aku tak ambil pot hal tersebut sebab kereta aku tidak ada tanda tanda masalah yang dinyatakan. Seperti biasa 20 minit sebelum 8 am aku memulakan perjalanan ketempat kerja. Di tengah perjalanan tiba tiba kereta semput seperti orang tua terbatuk batuk. Kebetulan ada simpang dihadapan dan aku sempat park kereta ditepi. Meter minyak tidak menunjukkan kandungannya kosong. Kalau ikut keadaan jarum meter minyak, aku masih berani meneruskan perjalanan sejauh 60 KM lagi. Tetapi mengapa kereta dah tak boleh berjalan. Sepantas kilat aku teringat surat kempen yang dihantar oleh nissan tempohari yang ehtah kemana dah agaknya dipunggah lori sampah MDSI.

Bagi rakan rakan yang menerima surat daripada nissan itu, silalah pergi segera buat service apa yang dinyatakan olehnya. Kalau tersangkut diperjalanan amat menyukarkan. Mulalah nak sumpah seranah harga minyak, harga gas, harga elektrik dan segala harga yang pak pak menteri kata tidak menyusahkan rakyat.

Isnin, Jun 06, 2011

Allahyarham Ahmad Firdaus

Satu yang amat menyedihkan kita di dunia ini ialah apabila sesuatu yang kita amat sayangi tiada di samping kita lagi. Itulah yang agaknya dirasai oleh sahabat sekampung ku Saiful Bahar apabila anak sulongnya berusia 18 tahun telah meninggal dunia susulan daripada satu kemalangan di Kuala Lumpur tempohari. Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya di hospital pada petang khamis 2 jun 2011.

Berita sedih tersebut diterima sahabatku itu ketika beliau berada di Brunai iaitu dalam perjalanan pulang daripada menunaikan umrah. Begitulah salah satu ujian daripada Allah untuk hambaNya tidak lain untuk melihat siapakah yang lebih beriman kepadaNya. Sesungguhnya jua apa yang datang daripada Allah maka itulah yang terbaik untuk kita. Apapun kita sama sama berharap kepada Allah semoga meletakkan kesabaran yang tinggi dalam diri kita semoga kita mampu menghadapi sebarang ujian daripadaNya. Moga moga daripada itu makin bertambahlah keimanan kita dan dikekalkan hingga saat roh kita sendiri bercerai daripada jasad.

Al-Fatihah untuk Allayarham.

Isnin, Mei 30, 2011

Masjid As-Salam, Batu Rakit, Kuala Terengganu

Ini sebuah lagi masjid diBatu Rakit. Aku singgah ketika dalam perjalanan untuk meronda ronda ke bandar  Kuala Terengganu. Aku lihat masjid ini lebih kurang sama dengan masjid ini yang aku singgah kelmarin. Cuma lihat gambar bangunannyayg dilihat dari pagar masuk kedua dua masjid. Mungkin menggunakan plan yang sama.
Apa yang menjadi cabaran kepada pentadbir masjid sekarang ialah bagaimana untuk meningkatkan jumlah jemaahnya. Semua perkara boleh dibuat dengan mudah sekiranya ada duit. Nak tambah besarkan masjid. Nak indahkan masjid. Nak bersihkan masjid. Tetapi nak ramaikan masjid belum tentu berjaya kalau guna duit sahaja.
Perkara yang menjadi lebih sukar lagi apabila duit ada tetapi ajk kedekut nak keluarkan duit. Longgok duit banyak banyak dalam bank kononnya ajak bijak sebab duit banyak. Sebenarnya ajak yang bijak ialah bukan dilihat daripada banyak duit tetapi banyak mana aktiviti yang dilaksanakan. Buat apa duit banyak dalam bank kalau masjid kotor tanpa diurus dengan baik.

Buat apa duit banyak dalam bank kalau kuliah agama pun kadang kadang. Sebaiknya panggil ustaz mengajar. Buat program supaya orang datang ke masjid. Biarkan orang biasa dengan persekitaran masjid. Rasa seronok bila berada di masjid.
Cuba bandingkan sekali lagi ruang hadapan dewan solat ini dengan masjid pada n3 sebelum ni. Lebih kurang sama juga.
Ruang bumbung gambar di bawah juga sema dengan masjid pada n3 sebelum ini. Cuma masjid ini tidak memasang mozek pada binaan tersebut.
Bagi kita orang islam kena memuliakan masjid sentiasa. Perkara yang terbaik perlu dilakukan untuk masjid. Seperti kata ustaz malam kelmarin di surau kami. Banyak masjid dah cantik cantik dibina tetapi sound system masjid masih mendukacitakan. Kadangkala suara ustaz dah kuat tetapi ceramahnya itu tidak tahu buji butir yang disebut. Belanjalah lebih sikit agar apa yang disampaikan tidak sia sia jer.

Rabu, Mei 18, 2011

Masjid Al-Abrar, Kuala Terengganu


Sebelah petang setelah selesai kursus aku mengambil kesempatan untuk menjelajah bandar Kuala Terengganu. Aku tidak menumpukan sangat pusat bandar malah di pinggiran bandar. Tidak timbul soal sesat walaupun aku tidak biasa dengan Kuala Terengganu kerana alat GPS akan membantu aku. Ketika waktu maghrib hampir tiba, dengan bantuas GPS aku mencari masjid paling hampir. Jadi aku singgah di sini untuk menunaikan tanggung jawab terhadap Ilahi.

Jemaah masih belum ramai sampai di masjid. Kawasan parkir masih lapang. Namun dalam masjid sudah pasti ada jemaah berdasarkan lampu lampu sudah terpasang.

Persekitaran masjid nampak ceria. Bersih dan nampat segalanya terurus baik. Dengan melihat luarannya aku pasti dalaman masjid juga serupa.
Sangkaan aku memang benar. Ruang wuduk masjid ini dihias dengan cantik. Terdapat jambakan jambakan bunga menghiasai ruang ini. Mungkin tidak pernah atau jarang sekali kita melihat keadaan ini di lain lain masjid.
Selain dihias dengan cantik, kebersihan juga terjaga. Papan tanda juga banyak kelihatan memberi maklumat arah dan tempat.
Segenap ruang teratur. Kebersihan lantai dapat dirasakan apabila kaki kita memijak jubin jubin tersebut.

 Para jemaah baru sahaja mengangkat takbir. Sambil berjalan ke saf aku sempat rakamkannya.
Aku tertarik dengan kemasan dalaman masjid. Tiang yang tinggi dan alang alang masjid dipasang mozek.
Ucapan tahniah perlu diberi kepada seluruh AJK masjik kerana mereka mampu menceriakan masjid tersebut.