Memaparkan catatan dengan label Kematian. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kematian. Papar semua catatan

Jumaat, Ogos 19, 2016

Allayarham Mahat (Pak Yek)

Dari Allah kita datang dan kepada Allah kita akan dikembalikan. Memang benarlah janji Allah. Maka berbahagialah sesiapa roh nya ditempatkan bersama roh roh orang beriman.

Allahyarham Pak Yek telah menghembuskan nafas terakirnya di Hospital Ipoh sebulan lepas iaitu 19/7/2016. Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Chemor.  

Sabtu, Ogos 13, 2016

Allahyarham Tamrin

Allahyarham telah meninggal dunia pada 12 Ogos 2016 diHospital Taiping. Jenazah telah dibawa pulang ke rumahnya sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Alor Pongsu, Bagan Serai. Allahyarham adalah sepupu kepada isteriku.

Rabu, Ogos 03, 2016

Allahyarham Jelani Bin Isa (Pak Njang Jelani)

Pak Njang adik kepada bapa mertua ku telah kembali ke rahmatullah pada 2 Ogos 2016 di rumahnya di Jangka 8, Pahang.
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atasnya dan rohnya ditempatkan bersama roh orang orang beriman.

Rabu, Mei 18, 2016

Allahyarham Ahmad Bin Abdul Manap (Mamak Amat)


Kesedihan pemergian sepupu setahun lalu Allahyarham Irwan Shah masih terasa, semalam bapa arwah pula iaitu pakcik ku pergi dijemput Ilahi bersamaan 17 Mei 2016 pukul 9:30 pm. Semoga roh Allahyarham ditempatkan bersama roh roh orang yang beriman. 

Sesungguhnya ujian kematian adalah ujian kesedihan yang amat berat untuk keluarga yang tinggal. Mengharung hari hari mendatang tanpa orang disayangi, menguji akan kesabaran. Semoga Makcik Jimah dan anak anak tabah akan kehilangan ini. Hari hari sunyi, kekosongan dan kerinduan akan mencengkam. Semoga keredhan dan kesabaran atas ujian Allah ini akan menguatkan keimanan kita bagi meneruskan kehidupan yang berbaki ini.

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:

 Kami (Allah) pasti akan menguji kamu dengan ketakutan, kelaparan, kekurangan hasil kekayaan, kehilangan jiwa (kematian) dan kekurangan makanan. Dan sampaikanlah Khabar gembira pada orang-orang yang sabar. (Al-Baqarah : 155). 

Al Fatihah.

Ahad, Mac 27, 2016

Allahyarhamah Zaharah (Uwo Butet)

Allahyarhamah telah menghembuskan nafas terakhirnya di rumah anaknya di Tanjung Malaim hari ini 26/3/2016 lebih kurang pukul 10:00 am. Jenazah telah dibawa pulang ke rumahnya di Kampung Sungai Bil, Slim River. Jenazah dikebumikan di tanah perkuburan Slim Village selepas zuhor. Semoga rohnya ditempatkan bersama roh orang orang beriman. Al-Fatihah.

Ahad, Januari 24, 2016

Allahyarhamah Makcik Robak

Seluruh Kampung Sungai Bil dirundung kesedihan dengan pulangnya kerahmatullah Makcik Robak (nama panggilan di kampung) pada pagi 24 Januari 2016. Semoga roh arwah ditempatkan bersama roh orang orang beriman.
Kepada seluruh keluarga arwah didoakan semoga tabah menghadapi saat kesedihan ini sesungguhnya setiap yang datang itu adalah ketentuan Ilahi.

Isnin, Mei 11, 2015

Allayarham Irwan Shah Bin Ahmad

Pada 29 Mei 2015 seluruh keluarga dikejutkan dengan pemergian sepupu ku Allahyarham Irwan. Arwah telah mengalami kemalangan di lebuhraya berhampiran Tangkak lebih kurang pukul 4 pagi ketika memandu lori (trellar). Arwah meninggal ditempat kejadia dan jenazahnya dibawa ke Hospital Tangkak untuk post-mortem.

Jenazah sampai di rumahnya di Kampung Sungai Bil Slim River lebih kurang 6 petang sebelum dikebumikan di Slim Village.

Lebih kurang sebulan lepas rumah itu meriah dengan kegembiraan ahli keluarga kerana menyambut pasangannya merupakan menantu baru tetapi tanggal 29 Mei itu muram dan suram kerana menyambut seluruh ahli keluarga menyambut jenazahnya pula. Semua ahli keluarga, sahabat handai, rakan sekerja merasai akan kesedihan bersama.

Ajal maut di tangan Allah. Walaupun usia perkahwinan masih baru janji Allah tetap diterima. Moga rohnya ditempatkan bersama roh roh orang yang beriman.

Jumaat, November 14, 2014

Allahyarhamah Rohaya Binti Abdul Manap.

Pada 7 Nov 2014 jumaat, jam lebih kurang 12.30 am di HKL makcikku (adik bongsu kepada emak) telah menghembuskan nafas terakhirnya. Beliau lebih mesra dipanggil Acik Babut tidak menunjukkan sebarang kemerosotan pada penyakitnya. Cuma berlaku pendarahan pada salur darah yang digunakan semasa hemodylisis. Setelah rawatan diberikan beliau dan doktor pun mengesahkan beliau dalam keadaan stabil.

Namun takdir di tangan Allah. Sakit bukanlah syarat untuk mati. Sihat bukan syarat mesti hidup. Pada malam tersebut pihak hospital telah menyatakan arwah dalam keadaan kritikal. Warisnya telah dihubungi. Janji Allah telah sampai. Maka saat tersebut juga berpisahlah beliau dengan semua keluarga dan miliknya didunia ini. Moga Acikku mendapat keredhaan Allah dan ditempatkan bersama arwah orang orang beriman. Amin.

Rabu, September 03, 2014

Allayarhamah Khadijah Binti Isa (Mak Long Minah)

Mak Long Minah adik kepada bapa mertuaku talah menghembuskan nafas terakhirnya pada 31/8/2014 jam 6.40 petang. Jenazahnya telah dikubumikan bersebelahan pusara ibunya di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Banjar Masjid Tinggi Bagan Serai. Beliau telah mengiringi pemergian ibunya 8 bulan lepas.

Semoga Pak Long, anak anak dan seluruh keluarga tabah menghadapi saat kesedihan ini. Al Fatihah.

Selasa, Jun 24, 2014

Allahyarham Mhd. Nordin Bin Mahiram

Di saat hati masih hiba berikutan pemergian Pak Ngah 9 hari lepas , seorang lagi pak cik aku (Pak Udin) telah kembali kerahmatullah pada 19 Jun 2014 pada pukul 12.55 am di Institut Jantung Negara.

Isnin, Jun 16, 2014

Allahyarham Pak Ngah Shamir Bin Mahiram

Pak Ngah adalah adik kepada arwah bapaku ia itu anak yang ke 3. Allahyarham telah menghembuskan nafas terakhirnya pada 10/6/2014 bersamaan hari selasa pada waktu 12:38 pm setelah sebulan dimasukkan ke HKL.

Setelah kematian bapaku arwah Pak Ngah telah lebih mengambil berat hal adik beradik ku. Terserlah di hatinya akan perasaan ingin melihat kami terus kuat mengharungi kehidupan yang mendatang. Pemergian arwah ayah tatkala usianya 40 tahun dan anak anak mula membesar memang perit untuk diterima. Akan tetapi ketentuan Ilahi lebih mengatasi segalanya. Segala dugaan kehidupan hanya disandarkan kepada emak. Akan Allah tidak membiarkan hambanya. Pak Ngah banyak membantu. Di usianya yang masih muda hingga berkeluarga, kasih dan bantuan yang diberi tidak berkurang. Bagai rahmat diturunkan oleh Allah isterinya (mak Ngah) mempunyai pekerti serupa dengannya. Syukur kami memiliki mereka. Jasanya dan Mak ngah tidak dapat aku sebut satu persatu apatah lagi untuk membalasnya dengan harta dan wang. Aku yakin Allah menilai setiap pengorbanan yang mereka curahkan.

Ya Allah, kami redha dengan ketentuanMu ini. Ya Allah kami pasrah dengan ujian ini. Namun aku berharap kepada Mu agar dikuatkanlah iman ini. Agar diringankan tulang belulang ini untuk beribadah kepadamu. Agar kau terima amalan ini. Agar jika ada kebaikan daripada penyerahan diri ku ini kepada mu maka ada manfaatnya buat orang orang yang kukasihi yang telah pergi dahulu daripada ku. Al-fatihah.

Sabtu, Mac 08, 2014

Allahyarham Mohd. Yusuf (Bapa Kak Umi)

Ketika berada diToyota Service Centre Taiping aku mendapat panggilan daripada isteri yang mengatakan bapa Kak Umi (biras) meninggal dunia. Selesai service aku pun pulang untuk menziarahi jenazah di Kampung Kurnia Tambahan Kemunting.

Jenazah dikebumikan di tanah perkuburan Ayer Putih depan Kilang Silverstone Kemunting selepas zuhor 8/3/2014. Semoga rohnya bersama roh orang orang beriman. Alfatihah.

Isnin, Januari 06, 2014

Allahyarhammah Tok Cik Soyah

Tok Cik (sebelah isteri aku) telah kembali ke rahmatullah pada 5 januari 2014 kerana sakit tua. Beliau telah menghembuskan nafas terakhir lebih kurang pukul 7:30 malam di rumahnya. Jenazah beliau di kebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Banjar, Masjid Tinggi Bagan Serai. Semoga rohnya ditempatkan bersama roh roh orang yang beriman. Al-Fatihah.

Isnin, November 18, 2013

Mereka Yang Pergi Dahulu

Al-Fatihah.
Bulan September dan Oktober 2013 adalah jumlah kematian paling ramai orang orang yang ku kenali. Aku pernah mempunyai hubungan secara langsung sebelum ini dengan mereka. Hubungan persaudaran, hubungan sebagai kawan dan juga hubungan sebagai Boss.

Allahyarham Abdul Rahman Bin Zainal (Abang Bai) telah meninggal dunia pada 24/9/2013.

Allahyarham Ismail Bin Syukur telah meninggal dunia pada bulan oktober. Dikebumikan di Puchong.

Allahyarham Pak Oyet. Ini adalah panggilan kami untuk arwah. Aku tidak tahu nama sebenarnya. Arwah adalah adik kepada Arwah Ismail Bin Syukur. Arwah meninggal sehari selepas abangnya.

Kami sekampung, iaitu di Kampung Sungai Bil Slim River. Orang Sungai Bil mempunyai pertalian kekeluargaan antara satu sama lain.

Allahyarhamah Norizan Bt Yaakub  28/9/2013 pukul 6:30am. Jenazah dikebumikan diBeranang. Aku pernah bekerja setempat dengan arwah di Fakulti Kejuruteraan UPM.

Allahyarham Datuk Prof Ir Dr Radin Umar Radin Sohadi berjawatan Timbalan Dekan Fakulti Kejuruteraa, UPM ketika aku bertugas di fakulti tersebut. Arwah meninggal pada13/10/2013. Beliau merupakan wakil Fakulti ke majlis perpisahan untuk aku. yang dianjurkan oleh Jabatan Elektrik dan Elektronik. Arwah pernah menjawat jawatan Ketua Pengarah Kementerian Pengajian Tinggi.

Semoga roh mereka semua ditempatkan bersama roh roh orang yang beriman.


Isnin, Mei 06, 2013

Allahyarham Abdul Hamid Bin Ibrahim


Pada 1 May 2013 lebih kurang jam 12:05 am, ibang iparku(abang isteriku) telah kembali kerahmatullah di Hospital Selayang. Arwah yang dimasukkan ke hospital tersebut pada 19 April dan dirawat beberapa hari di wad ICU sebelum dipindahkan ke wad 7A.Ramai ahli keluarga berada disisi arwah ketika saat kesedihan itu. Jenazah dibawa pulang kerumah lebih kurang jam 3.00 am.
Tepat pukul 8.30 am jenazah beliau telah dibawa ke masjid ini, Masjid Al Khairiah Sri Gombak untuk diuruskan. 2 orang calon PRU 13 Gombak Setia sudi menziarahi ketika pengurusan jenazah. Ustaz Hasbullah yang sudah bergelar YB sekarang ini sudi mengimamkan solat jenazah. Mayat arwah disemadikan di perkuburan Taman Permata.
 Ajal maut di tangan tuhan. Kami sekeluarga meredhai pemergiannya. Sesungguhnya apa yang datang daripada Allah itulah yang terbaik buatnya. Semoga rohnya ditempatkan bersama roh orang orang yang beriman.

Khamis, Oktober 11, 2012

Allayarhamah Siti Rohana Binti Abdullah

Lebih kurang pukul 10 pagi semalam aku mendapat sms dari pada teman karib yang masih bertugas bersama aku dahulu Atan memaklumkan Ana kini sedang nazak di Hospital Serdang. Beliau jugak mengajak untuk mendoakan yang terbaik untuk Ana. Ana pembantu kepada Atan. Selang setengah jam Atan menghubungi pula aku untuk memastikan aku telah menerima smsnya. Sekali lagi beliau mengjajak untuk mendoakan yang terbaik untuk Ana. Aku tidak menghubungi suaminya Tajul kerana sudah tentu beliau resah gelisah.

Lebih kurang pukul 2 PM Atan sekali lagi menghubungi aku. Kali ini suaranya agak sebak. Dengan ringkas beliau mengatakan "Ana dah tiada". Innalillahi wainna ilaihirojiun. Pada 10 oktober 2012 Ana telah mendahului kita kembali kerahmatullah. Semoga rohnya ditempatkan bersama roh roh orang yang beriman. Kepada suami Ana iaitu teman ku Tajul dan 7 orang anak, aku harap semoga kelian tabah dan sebar menghadapi ujian daripada Allah ini.

Rabu, Jun 27, 2012

Allahyarham Mazlan Sairi

http://www.medic.upm.edu.my/staf/pads.html
 Dulu semalam aku dihubungi teman Haridan Radzi daripada Kajang menyatakan teman setugas Mazlan ketika kami sama sama bertugas di Fakulti Kejuruteraan, UPM telah dimasukkan ke wad ICU Hospital Serdang kerana serangan jantung. Aku difahamkan beliau belum pernah mengalami keadaan sedemikian sebelum ini. Dari kejauhan daerah sini Seri Iskandar aku mendoakan semoga beliau disembuhkan segera dan dipermudahkan segala galanya.

Tidak sampai 24 jam daripada panggilan itu, pagi ini 27 jun 2012 aku mendapat SMS daripada Atan menyatakan temanku Mazlan telah kembali kerahmatullah.

Ketika aku meninggalkan UPM allayarham masih bertugas di Fakulti Kejuruteraan UPM. Walaubagaimanapun ketika beliau meninggal beliau telah dipindahkan ke fakulti lain.

Jenazahnya telah dibawa pulang ke kampungnya di Banting dan disemadikan di sana. Aku tidak dapat sama untuk memberikan penghormatan terakhir, walau bagaimanapun aku pernah berkunjung ke kampungnya dahulu ketika beliau mendirikan rumah tangga. Semoga keluarga yang ditinggalkannya diberikan kekuatan oleh Allah untuk mengharungi dugaan yang berat ini. Semoga rohnya dicucuri rahmat oleh Allah.

Isnin, Jun 06, 2011

Allahyarham Ahmad Firdaus

Satu yang amat menyedihkan kita di dunia ini ialah apabila sesuatu yang kita amat sayangi tiada di samping kita lagi. Itulah yang agaknya dirasai oleh sahabat sekampung ku Saiful Bahar apabila anak sulongnya berusia 18 tahun telah meninggal dunia susulan daripada satu kemalangan di Kuala Lumpur tempohari. Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya di hospital pada petang khamis 2 jun 2011.

Berita sedih tersebut diterima sahabatku itu ketika beliau berada di Brunai iaitu dalam perjalanan pulang daripada menunaikan umrah. Begitulah salah satu ujian daripada Allah untuk hambaNya tidak lain untuk melihat siapakah yang lebih beriman kepadaNya. Sesungguhnya jua apa yang datang daripada Allah maka itulah yang terbaik untuk kita. Apapun kita sama sama berharap kepada Allah semoga meletakkan kesabaran yang tinggi dalam diri kita semoga kita mampu menghadapi sebarang ujian daripadaNya. Moga moga daripada itu makin bertambahlah keimanan kita dan dikekalkan hingga saat roh kita sendiri bercerai daripada jasad.

Al-Fatihah untuk Allayarham.

Isnin, Mei 02, 2011

Allahyarham Mustamam Bin Panusunan

Sebelum waktu maghrib kelmarin aku menerima sms daripada rakan menyatakan seorang penduduk kampung kami bernama Mustamam telah meninggal dunia. Beliau menghembuskan nafas terakhirnya pada 3.30 pm 1 may 2011 kerana sakit jantung. Semoga rohnya dicucuri rahmat

 Kakak arwah juga telah meninggal hampir setahun lepas. Sila lihat disini  perenggan paling akhir.      

Sabtu, Oktober 02, 2010

Allahyarham Cikgu Zul

Petang jumaat kelmarin 1 oktober 2010, Cikgu Zulkifli jiran se desa dengan ku telah kembali kerahmatullah. Beliau telah menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Ipoh setelah terlibat dengan kemalangan bersama keluarganya. Alhamdulillah ahli keluarga yang lain selamat.

Arwah baru setahun sahaja pencen 56. Perkhidmatan terakhir beliau adalah di SK Layang Layang Kiri Parit, Perak sebagai guru besar. Beliau berasal dari Bagan Datuk. Semoga roh beliau ditempatkan bersama orang orang yang beriman. Al-fatihah.
** Untuk paparan selanjutnya sila kesini.