Memaparkan catatan dengan label Mercun. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Mercun. Papar semua catatan

Khamis, Ogos 23, 2012

Berhari Raya Bagai Di Syiria

Sepanjang perjalanan ku kemasjid diiringi bunyi letupan. Di masjid pun letupan tidak henti henti. Namun jemaah tetap meneruskan solat terawih hingga akhir. Sepanjang pulang ke rumah pun masih kedengaran letupan. Ada yang perlahan dan ada yang menggegarkan. Namun aku tetap tenang pulang dengan selamat. Sampai di rumah sudah 11 malam. Pembaca berita Farouk Ismet Amir memulakan dengan isu Syiria. Meletup di sana dan meletup di sini. Aku benar benar dapat menghayati berita tersebut. Sebabnya hampir sebulan sudah letupan demi letupan juga sering berlaku di Malaysia.

Dentuman mercun semakin hebat. Itu petanda hari raya hampir tiba. Dari tahun ke setahun dentuman mercun semakin tidak terkawal. Hingar bunyi mercun dilambangkan sebagai kemeriahan hari raya. Ketiadaan atau kekurangan bunyi mercun dianggap hari raya tidak hidup dan suram. Amat salah jika beranggapan mercun menjadi kemestian untuk menyambut hari raya. Mengikut pandangan PM Dr Asri adalah adalah bidaah sekiranya demikian.

Permainan mercun kini nampaknya sudah tidak terkawal.Walaupun banyak amaran diberi seperti di sini, tetapi orang ramai bagai tidak mengendahkannya. Bunyi mercun yang keterlaluan dilihat sudah menjadikan suasana malam hiruk pikuk. Kawasan masjid dan surau menjadi tempat budak budak bermain mercun. Ketika jemaah bersolat terawih ketika itulah mercun diletupkan dengan hebatnya. Yang sedihnya budak budak tersebut adalah anak di kalangan jemaah itu sendiri. Sudahlah anak tidak diajak solat malah dibiarkan pula mengganggu ketenteraman orang lain.

Fenomena ini dapat aku lihat di beberapa tempat sepanjang ramadhan dan syawal tahun ini. Keadaannya hampir sama sahaja. Bila solat hampir selesai maka kumpulan pemain mercun itu juga selesai bermain mercun. Yang merambu main motor siap sedia untuk menyerahkan kunci motor kepada bapa masing masing.

Budaya main mercun yang tidak mendatangkan faedah kepada masyarakat. Tidak mustahilianya dianggap satu kemestian suatu hari nanti jika tidak dibendung mulai sekarang. Banyak buruk daripada baiknya, kecederaan, gangguan ketenteraman, membazir. Pihak berkuasa tidak boleh sekadar menggertak sahaja. Memerangi mercun hendaklah dibuat seperti memerangi dadah. 

Jika zaman dahulu kesungguhan pihak polis membendung permainan mercun dan meriam jelas terbukti. Rondaan sering dilakukan. Waima kampung yang jauh pun akan didatangi oleh anggota polis. Seperkara yang kita perlu ingat bahawa mercun itu dibuat daripada belerang. Belerang ini boleh dijadikan bahan letupan. Adalah bahaya sekiranya pengedaran mercun tidak dikawal kerana ia boleh dijadikan senjata. Sudah tiba masanya pembenterasannya dilakukan dengan serius.

Selasa, Ogos 16, 2011

Haramkan Mercun


Kalau dulu orang selalu kaitkan tahun baru cina dengan mercun. Kini bulan ramadhan dan selamat hari raya telah mengambil alih keintiman tahun baru cina dengan mercun. Kehingaran dentuman mercun di malam bulan ramadhan dan pada hari raya lebih hebat daripada perayaan bangsa cina. Malah kita lihat masyarakat cina telah kurang menggunakan mercun dalam perayaan mereka berbandaing melayu. Bagaimana ini boleh berlaku.

Mercun bukan sahaja membahayakan diri tetapi mengganggu ketenteraman awam. Kalau bulan ramadhan kanak kanak ramai berkumpul di surau surau dan masjid. Ada antara mereka ni yang membakar mercun ketika orang solat tarawih. Jemaah nak solat pun tak boleh nak kusyuk.Bayanglah kalau mercun bola diletupkan. Terkejut kejut jemaah buatnya. Imam pun boleh lupa ayat yang dibaca.
Di pihak kerajaan memang ada perintah mengharamkan membakar mercun. Daripada sudut agama kita pula  membakar mercun merupakan perbuatan membazir. Jadi apa perlunya ada mercun atau bunga api di tengah tengah perayaan kita.

Yang menjadi pelik dan ajaib, mercun dilarang tetapi agak mudah untuk diperolehi. Sepatutnya jika kita ingin membenteras pembakaran mercun yang dilihat membahayakan dan membazirkan, penjualan mercun dan bunga api perlu dibenteras. Buat ketetapan bahawa menjual mercun adalah sama seperti menjual dadah. Mengimport dan mengedarnya sama seperti mengimpot dan mengedar dadah. Kalau nak buat biar buat betul betul. Jangan nak main sendiwara.