Isnin, April 25, 2011

Hari Keluarga UTP 2011

 Tahun ni majikanku  menganjurkan Hari Keluarga 2011 di Tambun. Bermakna ini kali ke 2 kami berkeluarga di sini. Warna tema tahun ini ialah kuning. Jadi seawal pagi jalan menuju ke Tambun disusuri oleh kenderaan yang penumpangnya berbaju kuning.
 Kanak kanaklah yang paling gembira sekali. Acara belum bermula tetapi mereka telah memulakan acara sendiri. Siapa boleh tahan bila melihat air kolam yang jernih itu.

 Kelihatan ramai kumpulan berbaju kuning. Walau bagaimanapun tiada kumpulan berbaju merah. Jika tidak bertempur pulak macam di Thailand tempohari.
 Mereka ni menumpukan perhatian ke kawasan permainan dan pentas. Di situ ada berlangsung permainan dan diselang seli dengan cabutan bertuah.

Yang turun dari pentas pasti gembira sebab ada hadiah misteri yang dimenangi. Di atas pentas Si Nabil (sandang kain biru) dan Si Angah (bertopi putih) terus mengumumkan pemenang selanjutnya. Yg pastinya tahun ini aku masih tak bertuah jugak. Aku cuma pernah menerima cabutan bertuah pada tahun 2007. Itu pun disebabkan jumlah hadiah melebihi jumlah kehadiran. Mewah tahun tu.
 Aku sempat meronda dengan isteri sekitarnya. Jadi gambar gambar berikut adalah sebahagian pemandangan di dalam Lost World.
pepohon yg tumbuh diatas bukit batu kapur
 
 Siapa ada binatang bawah ni boleh jadi kaya. Aku belum pernah lihat lagi sebelum ni. Ada orang kata ia boleh didapati didalam batang kayu balak yang reput. Betul atau tidak tak pasti.
 
 
 
 
 
 
 Di sini juga ada 3 ekor harimau. Aku tak ambil gambar harimau tersebut sebab pagi pagi mereka tidur. Penjaga zoo tu kata harga seekor sama dengan harga kereta BMW baharu. Aku pun tak tahu berapa harga kereta tuh. Yang pastinya dah tentu ratusan ribu. Kalau aku ada duit banyakpun dah tentu juga aku tak beli harimau tu, BMW belum tentu lagi.
 Semoga hari keluarga ini akan mengeratkan silaturrahim dikalangan kakitangan dan ahli keluarga masing masing demi menuju matlamat yang satu iaitu meningkatkan produktiviti diri kearah membangunkan organisasi bagi menyahut tuntutan Ilahi.

Jumaat, April 22, 2011

Email Untuk Semua

 Sloganizer Screenshot
Kelmarin ketika di pasar malam aku melihat beberapa orang peminta sedekah duduk menadah tangan dengan penuh harapan mengharap simpati. Sebahagian mereka berbekalkan bungkusan tisu untuk jualan sambil menderma. Ada juga yang mengalunkan suara menyajikan hiburan buat pengunjung pasar malam. Tidak kurang juga karung dan tong derma daripada pelbagai madrasah. Apapun cara mereka semuanya memerlukan duit, yang segelintir nya memanggil wang.
Sekembali dari pasar malam, dirumah pula tv heboh pasal email 1 Malaysia. Kebelakangan ni memang heboh pasal email tersebut kononnya setiap rakyat Malaysia diberi akaun email. Aku tak ambil pot sebab hingga saat ini aku pernah memiliki lebih 5 akaun email secara percuma. Hinggakan ada antaranya terpaksa lenyap hilang begitu sahaja sebab lupa kata laluan atau dah lama tak aktif. Tak kisah sebab aku boleh dapatkan akaun email sebanyak mana aku perlu pada bila bila masa dan keadaan.

Bagi memenuhi keperluan seharian kehidupan, kini aku menggunakan 2 akaun email untuk keperluan rasmi melaksanakan kerja dan bukan rasmi bagi ber fb dan memblog.

Malam tadi sebelum aku melelapkan mata terfikir akan sipeminta sedekah, pengutip derma dan email 1 Malaysia percuma. Apa perlunya si peminta sedekah yang rata ratanya buta dan pengutip derma terhadap email 1 Malaysia. Kalau pun mereka perlu sangat email, mereka boleh juga mendapatkannya bila bila masa. Habis mengapa benda yang kita tak perlu amat ditamu tetapi perkara yang diperlu sungguh dicatu. Entahlah! banyak orang banyak ragam, banyak udang banyak garam, ada udang ada batu tetapi ada batu belum tentu ada udang.

Khamis, April 14, 2011

Masjid Kg. Mengabang Lekor, Batu Rakit

Sepanjang 3 hari berkursus di INSTEP Batu Rakit, aku menginap di Gem Beach Reseort. Ia tidak berapa jauh dengan masjid ini. Oleh itu aku berkesempatan beberapa kali bersolat di masjid ini.
Melihat kepada bentuknya menampakkan masjid ini melalui proses pembesaran daripada bangunan asalnya. Ruang solatnya melebar, Jika dilihat pada gambar di atas bahagian depan tu adalah mehrab,
Gambar di atas menunjukkan pintu masuk utama ke masjid. Ianya di sisi kanan masjid. Sungguh rapat dengan jalan raya. Gambar ini aku tangkap dari sebuah kedai menjual keropok lekor yang betul betul terletak seberang jalan tersebut. Sesuai dengan nama kampung ini Mengabang Lekor memang boleh diperolehi banyak kedai menjual keropok lekor.
Batu Rakit memang terkenal dengan keropok lekornya. Aku sempat bertanya kepada peniaga keropok apa beza antara keropok lekor dengan losong. Mereka mengatakan keropok lekor mempunyai saiz lebih besar daripada losong, Losong kebiasaannya bersaiz seperti jari kita manakala keropok lekor mempunyai 4 kali lebih besar. Dari segi ramuannya adalah sama. bancuhan itu juga digunakan untuk keropok lekor atau losong.



Selasa, April 12, 2011

Surau Al-Amin, Taman Maju Terbakar

Taman maju adalah sebuah taman paling awal dibina diSeri Iskandar. Walaupun dengan terbinanya beberapa taman lain seiring dengan pembangunan Bandar Seri Iskandar, Taman Maju tetap menjadi nadi perniagaan dan pembangunan kerohanian. Bank, restoran, sekolah agama rakyat, tadika dan juga sebuah surau yang aktif terdapat di sini. Malangnya pada tengahari sabtu lepas, 9 april 2011 surau Al-Amin yang baharu sahaja dinaiktaraf telah hangus dijilat api dalam satu kebakaran yang disyaki berpunca daripada pendawaian elektrik.
Walau bagaimanapun masyarakat Taman Maju dan setempat masih bersyukur kerana bangunan Sekolah Agama Rakyat (SAR) bersebelahannya terselamat daripada kebakaran tersebut. Walaupun aku tidak tinggal di Taman Maju tetapi suatu masa dahulu aku hari hari ke sini. 2 orang anak aku diasuh oleh sebuah keluarga di Taman Maju. Mereka bersekolah tadika di PASTI Taman Maju dan pernah bersekolah di SAR tersebut. 
Semasa pembangunan Universiti Teknologi Petronas yang berhampiran Taman Maju, ramai pekerja pekerja kontrak dari Bangladesh, Pakistan dan lain lain negara tinggal di taman ini. Kita sedia maklum bangsa mereka ini amat kuat solat berjemaah. Pada masa itu surau Al-Amin cukup meriah terutamanya ketika bulan ramadhan.



Kariah Taman Maju bergotong royong mengemaskan kesan kebakaran surau yang amat disayangi itu. Buat masa ini mereka menunaikan solat berjemaah di sebuah homestay yang dimiliki salah seorang penduduk di situ. Tuntutan Allah atas hambanya untuk menunaikan solat berjemaah tetap perlu dilakukan. Semoga Allah membalas jasa hambanya yang bermurah hati itu.
Kini mereka mula memikirkan soal pembangunan semula surau Al-Amin. Jika kita bantu agama Allah, insyaallah Allah akan bantu kita. Aku percaya usaha mendirikan semula surau ini akan mendapat sokongan daripada banyak pihak. 
email memohon bantuan
Ditempat kerja aku telah ada usaha murni untuk membantu membangunkan semula Surau Al-Amin. Semoga surau tersebut dapat didirikan semula atas bantuan dan sokongan umat islam terutamanya masyarakat Seri Iskandar.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Pembangunan Semula Surau Taman Maju. Bank Islam, no akaun 08086010015444.

photo daripada : fb Amir faiz dan fb Rahmat Algontory

Jumaat, April 08, 2011

Saman Ekor

Risalah diterima di pasar malam
Nak dengar cakap KASE atau nak dengar cakap polis. Kalau ikut KASE ada peruntukan untuk menjamin duit poket aku daripada melayang membayar saman. Kalau tak ikut cakap polis pulak, silap silap aku masuk mahkamah. Simpang malaikat 44. Usahkan mahkamah, polis pun kita dah kecut perut. Punyalah phobia dengan 2 benda ni. Nak buat macamana, zaman dulu nak suruh budak diam daripada menangis pun ugut dengan polis. "Menangislah! datang polis tangkap kang baru kau tahu" Rupanya sampai ke tua kita takut jugak termasuk aku.

Bukan sikit aku bayar saman kepada polis. Maksud aku bukan aku bagi duit saman pada polis tapi aku bayar saman melalui polis. Polis pun bukan dapat duit tu pun. Duit tu diserahkan kepada kerajaan yang kita amat sayangi yang sering mendahulukan duit rakyat.

Mari kita baca fakta saman ekor di atas. Ia boleh memberi motivasi atas diri kita terhadap saman ekor. Sesuatu yang aku masih ralat hingga kini mengapa aku tidak menjadi seorang peguam hari ini. Sekurang kurangnya aku tidak phobia dengan mahkamah atau polis. Tertanya pula di fikiran aku, mungkin juga ada peguam atau hakim kena saman ekor. Adakah mereka bayar saman macam aku jugak?

Selasa, April 05, 2011

Mencari Perwira Melayu

 http://siswaperak.com/v1/wp-content/uploads/2011/02/20110203-muslim-unity_200_200.jpg
Di mana sekarang orang melayu yang boleh ikhlas memimpin? Di mana sekarang orang melayu yang adil boleh menjadi hakim? Di mana sekarang orang melayu yang boleh menjaga keselamatan rakyat? Di mana sekarang pentadbir pentadbir melayu yang tidak mudah dicucuk hidung? Di mana sekarang orang melayu yang benci rasuah? Di mana sekarang alim ulamak melayu yang mencari Al Ghazali?

Wahai melayu melayu di atas. Aku percaya kamu semua masih ramai di Malaysia ini. Keluarlah kamu orang dari kepompongmu. Aku bersama melayu yang ramai ini tidak mampu lagi melihat kapal pelayaran ini dipandu oleh melayu melayu gila. Melayu yang tidak lagi jijik bermain dengan yang haram. Melayu yang rakus untuk mengejar nikmat kehidupan. Melayu melayu yang tidak lagi santun kepada bangsa sendiri demi mengejar kejayaan politik peribadi.

Biar aku yang luahkan bahasa ini, kerana kalau bukan melayu yang akan meluahkannya pasti kita melayu hangat hati. Aku pasti mereka  tidak boleh lagi kita harapkan untuk memartabatkan bangsa, agama dan tanahair melayu ini. Apatah lagi untuk kita memperjudikan nasib atas ketempangan perjuangan mereka. Walaupun kita harap mereka berbuat sesuatu untuk survival bangsa dan agama kita tetapi mereka lebih berminat kepada survival kerusi dan poket sahaja.

Aku bukan sekadar jijik malah telah muntah melihat kesumbangan mereka menjalankan amanah diberi. Kita mempunyai visi yang amat tinggi untuk menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi. Tetapi mereka sebok dengan air lendir, dubur dan tilam sejak berbelas tahun. Dalam kesibukan pihak memujuk meninggalkan perkara mungkar dan melakukan perkara makruf dalam pada masa yang sama pula mereka seolah menjadi pengusaha dan pengedar cerita lucah. Pelbagai anugerah istana untuk mengenang jasa seseorang, tetapi mereka gunakan untuk melindungi kedurjanaan masing masing. Aku telak muak, tetapi mereka lahab menyental keyakinan kita atas nama melayu sama melayu.

Wahai melayu yang bijak, wahai melayu adil dan perkasa, wahai melayu yang alim tampillah kelian. Panggillah melayu lain yang cintakan keikhlasan. Pimpinlah, adililah, kuatkuasakanlah, ajar dan didiklah, majukanlah, tadbirlah. Jangan dibiarkan musang bertopengkan kucing, merayap menyelongkar segenap pelusuk rumah kita mencari ayam yang tidur di dalam reban di bawah rumah. Biarlah melayu hilang didunia asalkan meninggalkan jasa kepada agama daripada tidak hilang didunia tetapi menjadi angkara bencana sesama agama.

Selasa, Mac 29, 2011

Masjid INSTEP, Batu Rakit, Kuala Terengganu

Aku ke Batu Rakit untuk berkursus di Institut Teknologi Petronas (INSTEP). Tidak lama hanya 3 hari sahaja. Dalam perjalanan ke sini aku ada singah 2 masjid di Gua Musang dan Machang. Sila lihat entry sebelum ni.
Masjid ini terletak dalam kaasan INSTEP. Jadi memang mudah para pekerja di sini untuk berjemaah zuhr dan asar. Terdapat ramai juga peserta kursus yang datang ke sini yang rata ratanya kakitangan Petronas atau anak syarikatnya.
Masjid ini tidak terlalu besar tetapi cukup selesa untuk menampung jemaah. Tidak tahu pula keadaan hari jumaat sebab kursus aku selesai hari rabu.
Gambar di atas laluan masuk ke masjid ikut dari arah belakang. Masjid tak tinggi seperti setengah masjid yang boleh mengah disebabkan terlalu banyak anak tangga.
Gambar di atas adalah pandangan masjid dari arah hadapan. Insyaallah aku akan kembali lagi ke sini.

Khamis, Mac 24, 2011

Perang Sana Perang Sini

 
Beberapa minggu kebelakangan ini kita amat rimas memikirkan konflik berdarah di tanah tanah arab yang kebanyakan nya seagama dengan kita. Bermula di Tunisia, Mesir, Yaman dan Libya perang antara seagama dan sebangsa seolah menjadi aktiviti harian mereka. Jumlah kematian di mana orang islam membunuh orang islam sendiri seakan tidak dapat dibendung. Hingga kini Libya masih kucar kacir. Perang saudara kini telah bertambah hangat dengan campurtangan tentera bersekutu.

Dalam kita asyik memikirkan perang di negara yang bergolak itu, tiba tiba perang di negara kita juga menghadapi situasi sama. Keadaannya lebih dasyat lagi kerana perang ini tidak disedari secara lahiriah. Minggu lepas aku ke Taiping dan aku melihat satu kejadian perang di tepi jalan yang dilakukan oleh sekelompok manusia durjana. Melalui internet juga aku tahu berlaku perang sama di Melaka dan mungkin berlaku di merata rata tempat juga. Ramai menjerit jerit, terpekik pekik menuntut supaya musuh mereka menyerah, bukan menyerahkan diri tetapi menyerahkan DNA. Macam macam batalion berpadu tenaga bagi menggambarkan kekuatan mereka, tetapi masih gagal menyerlahkan kebenaran mereka.

Jika di negara arab itu mereka berperang menggunakan senjata api tetapi negara ku ini berperang menggunakan poster dan air liur sahaja. Kalau di sana ramai lawan ramai, tetapi dinegaraku ini lain pula ceritanya, ramai lawan seorang. Pihak yang seorang itu pula tidak mempunyai medan yang betul untuk menyerang. Lebih dasyat lagi ia tidak mempunyai peluru yang cukup. Walaupun demikian kejayaan sudah mula terpancar dan berpihak kepadanya kecuali si Amoi itu muncul membantu mereka dengan sumpah laknatnya pula. Maka akan bermulalah pula perang dunia ke 3 walaupun perang dunia liwat ke 2 masih belum selesai.

Kalau di negara arab sana terasa bau hangit dari bahang letupan senjata tetapi di sini aku telah mula menghidu bau hanyir dari peluru yang digunakan oleh pihak ramai itu. Dahulu kita tak keruan malu, menyampah dan geli untuk mendengar maupun menutur kata kata seks, liwat, zina dan macam macam. Tetapi sekarang, inilah kekuatan yang mereka gunakan untuk menyerang sesiapa saja musuh yang menghalang. Tetapi mesti ingat, ramainya kamu tidak menjanjikan menang ke atas kamu.

"Sesungguhnya orang-orang yang mendatangkan cobaan (fitnah) kepada orang-orang yang mukmin laki-laki dan perempuan Kemudian mereka tidak bertaubat, Maka bagi mereka azab Jahannam dan bagi mereka azab (neraka) yang membakar".(QS Al Buruj [85]:10)

“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasiq membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan menyesal atas perbuatanmu itu.” (QS. Al-Hujurat[49]:6)

Begitulah  bezanya perang di sana dan peran di sini.

Rabu, Mac 16, 2011

Masjid Kampung Pek, Macang

 Persinggahan aku kali ke 2 di sini. Pertama kali beberapa tahun lepas atas urusan majlis perkahwinan di seberang jalan depan masjid ini. Nak melintas jalan itu memang kena berhati hati sebab ia merupakan jalan utama menuju Kota Bharu. Masa pertama kali singgah dahulu jalan sesak dengan kenderaan sebab masa itu cuti sekolah. Orang berpusu pusu berkunjung ke tanah pemerintahan Tuan Guru yang amat berkat.

Nama masjid ini yang ringkas tidak melambangkan fasarana masjid ini yang agak lengkap dan selesa. Dihias dengan bunga bungaan.

Ketika aku singgah jemaah telah beredar sebab waktu solat sudah lama berlalu. Aku rakamkan gambar keadaan di dalam masjid.

Pandangan dari belakang menampakkan jalanraya didepan kawasan masjid. Kalau hari jumaat para kariah kena berhati hati sebab kenderaan pasti laju laju sebab jalan lurus.

Sebuah bas sedang menunggu kanak kanak sekolah yang berhenti solat. Adalah menjadi tanggung jawab ketua rombongan untuk memastikan setiap anak buah kita menunaikan tanggung jawab masing masing terhadap Allah jika sampai waktunya. Mereka kanak kanak yang perlu dididik agar menjadi amalan hidup tidak kira dimana dan apa keadaanpun, apabila sampai waktu kena tunaikan segera.

Selasa, Mac 08, 2011

Sambutan Maulidurrasul Pertama

Sempena 12 Rabiulawal tarikh kelahiran Nabi Muhammad saw maka kariah surau kami juga mengadakan majlis sambutan maulid. Mungkin semua surau atau masjid di seluruh Malaysia  menyambutnya menunjukkan betapa kita amat mengingati Rasulullah walaupun kita tidak pernah bertemu baginda. Namun kita tidak mungkin sampai mencapai tahap kecintaan sahabat nabi yang mana hampir tidak sanggup untuk memijak tanah Madinah disebabkan adanya jenazah Rasulullah di bawah. Sayangnya kecintaan terhadap Rasullullah yang kita paparkan setiap tahun tetap gagal untuk menghambat diri kita mengikuti sunnah dan ajaran beliau.

Apa yang ingin diperkongsikan ialah bukan membincangkan keharusan menyambut maulid tetapi suatu fakta yang dikongsikan oleh ustaz pada malam itu.

Beliau menceritakan bahawa orang yang pertama sekali mengadakan sambutan maulid ialah seorang pembesar di Iraq yang bernama Malik Muzaffar Abu Said. Beliau membelanjakan:
           
             5,000 ekor kambing
             10,000 ayam
             100,000 roti mentega
             30,000 piring kuih
             300,000 dinar

Apapun sandaran yang dibuat bagi menyokong sambutan maulid tidak akan mendatangkan apa apa natijah sekiranya kita gagal menghayati pengajaran yang disampaikan dalam pengajian mengenang junjungan besar nabi kita Muhammad saw.