Isnin, Mac 29, 2010

Masjid Al-A'ala, Cenderong Balai. Perak



Kalau aku bertolak dari kampung ku Kg. Sg. Bil Slim River, ke rumah selepas asar biasanya aku akan tiba di masjid ini waktu maghrib. Walaupun terdapat beberapa masjid disekitar Cenderong Balai tetapi hatiku lebih senang dengan masjid ini. Seolah ada auranya .


Selain masjid yang besar, kawasan parkirnya juga luas. Memudahkan para jemaah untuk meletak kenderaan.


Kemudahan untuk OKU memasuki masjid juga tersedia menampakkan keprihatinan rekabentuknya.

Jumaat, Mac 26, 2010

Ikhlas

Suatu hari Rasulullah didatangi malaikat bertanya samada penduduk Madinah menunaikan solat suboh. Rasulullah menjawab bahawa mereka mendirikan solat tersebut. Lalu malaikat bertanya lagi mengapa tidak dilaungkan azan. Lantas Rasulullah menjawab bahawa azan juga dilaungkan. Malah azan hari ini lebih merdu dan sedap yang dilaungkan oleh salah seorang sahabat. Malaikat mengatakan bahawa mereka di langit tidak dapat mendengar suara azan tersebut seperti hari hari sebelum ini. Rasulullah pun berfikir mengapakah malaikat tidak mendengar azan sahabat itu.

Mengikut riwayat Rasulullah pernah didatangi oleh seorang sahabat meminta ingin menjadi muazin. Pada masa itu muazin sudah ada. Lalu beliau mengatakan jika boleh sehari pun memadai. Rasulullah masih tidak memberi persetujuan. Beliau masih meminta, jika tidak dapat sehari sekalipun jadilah. Lalu Rasulullah mengarahkan sahabat tersebut datang subuh esok untuk mengumandangkan azan suboh.

Maka esoknya azanpun dikumandangkan oleh sahabat tersebut. Sungguh merdu dan lunak suaranya. Penduduk Madinah juga memuji muji akan azan tersebut. Walau bagaimanapun azannya tidak kedengaran pada para malaikat dilangit seperti azan Bilal Bin Rabah. Ternyatalah bagi Rasulullah bahawa azan yang dilaungkan oleh sahabat itu tidah dengan keikhlasan. Betapa pula ikhlasnya seorang pemuda yang berkulit hitam tetapi mempunyai hati yang putih bersih yang nilai keperibadiannya amat tinggi di sisi Allah.

Maka berusahalah kita seperti Bilal agar segala perbuatan kita didunia ini dilakukan dengan ikhlas hanya sanya untuk Allah bukan atas niat lain laksana ada udang disebalik batu. Sudahlah perbuatan tidak ikhlas lebih daripada itu menambahkan kekeliruan di kalangan masyarakat.

Rabu, Mac 24, 2010

Anak Diluar Nikah


Baru baru ini Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara mengeluarkan perangkaan bahawa bagi tahun 2009, jumlah anak luar nikah yang dilahirkan dan didaftarkan dikalangan wanita melayu beragama islam ialah 17303. Siapa pun tidak mahu percaya perangkaan ini. Tetapi itulah realitinya. Mungkin di kalangan mereka ada yang bersangkutan dengan kita (nauzubillahiminzalik), amat ngeri untuk disumbat ke dalam benak. Apa pun segalanya telah terhidang di persada dunia kehidupan melayu yang rata ratanya beragama islam.

Mari kita bermain dengan matematik. 17303 jika dibahagi dengan 365 hari (tahun 2009) memberi jawapan 47 bayi dilahirkan sehari. 47 pula dibahagi 24 (jam sehari) memberi jawapan lebih kurang 2. Ini bermakna setiap jam gadis melayu beragama islam melahirkan 2 orang bayi diMalaysia yang dikenali sebagai negara islam. Jangan bicara nombor 17303 malah kalau 1 pun naluri kita akan menolak. Jika ditanya gadis yang melahirkan itu, ia pun tidak rela kejadian itu berlaku. Tiada siapapun mahu melihat fenomena ini berpanjangan. Persoalannya apa perlu kita lakukan.

Semua orang tahu setiap perkara yg kita benci di Malaysia ini semuanya meningkat. Paras pengidap penyakit meningkat. Jumlah pengamal rasuah meningkat. Jumlah si murtad pun meningkat. Bilangan jenayah meningkat. Cakaplah apa sahaja. Seolah olah macam tiada pencegahan. Ataupun cara dan gayanya tidak kena. Kalau kenapun kesannya tak lama.

Sudah berapa banyak kertas kerja berkenaan perkara ini dibentangkan. Sudah berapa banyak air liur penceramah bersyarah. Sudah berapa timbunan buku buku ditulis mengupas permasaalahan ini. Andai kata segala nya dicampakkan ke laut barangkali sudah boleh jadi sebuah pulau; Pulau Idea.

Masalah jenerasi tidak berlaku dalam masa yang singkat . Amat sukar untuk memulihkannya. Tetapi kita mesti bermula. Guna pendekatan lain yang lebih praktikal. Pandangan ulamak perlu dijadikan landasan. Tiada lain sekadar mencari keredhaan Allah. Kalau Allah telah redha Insyaallah semua perkara boleh berjaya.

Perlu disebut lagi, perkara mungkar mesti ditambus menggunakan bapak jangkaut. Jangan jadi korek lubang mungkar guna jangkaut tambus lubang mungkar guna cangkul. Peranan dan kuasa badan pencegahan perbuatan sumbang dan mungkar perlu dibesarkan iaitu lebih besar daripada badan yang suka buat mungkar. Peruntukan kewangan perlu lebih banyak disalurkan berbanding badan yang suka menaja perbuatan mungkar.

Sebelum itu yang lebih penting kita kenal yang mana amal dan yang mana mungkar. Jadi mari kita belajar ilmu (agama) demi mengetahu akan tipu daya syaitan. Kerana syaitan cuba menterbalikkan kita dengan amal mungkar nahi maaruf. Kalau seseorang itu masih lagi berkubang dengan mungkar bermakna ia dari golangan orang yang tertipu oleh syaitan.

Isnin, Mac 22, 2010

Masjid Al Daimiah, Tanjung Belanja, Parit. Perak

Aku sudah hampir dengan rumah, namun waktu maghrib lebih dekat menghampiri. Kalau aku teruskan perjalanan pasti kami sekadar berjemaah dalam kereta. Kata bidalan tidak lari gunung dikejar tetapi mati berlari mengejar kita. Kalau dahulu setiap masjid ada papan tanda mentaskirahkan hati kita "Sembahyanglah kamu sebelum kamu disembahyangkan" Kini papan tanda tersebut telah hilang bersama hilangnya semangat jati dakwah dalam diri kita. Mungkin orang baru yang mengambil alih peranan tersebut nampak usaha itu sia sia. Sekurang kurangnya tersentuh juga hati jika melihatnya, apatah lagi jika diambil sebagai ingatan.
Hari ini orang berusaha sedaya upaya memiliki kereta mewah. Kalau ada kemampuan tidak menjadi kesalahan. Jangan sampai memudharatkan kehidupan didunia ini. Allah amat bangga terhadap hambanya yang menggunakan nikmat yang diberi.

Dalam keasyikan dengan kenikmatan kenderaan yang dimiliki di dunia ini, kita jangan lupa akan satu kenderaan yang sentiasa menunggu kita untuk menaikinya. Samada kecil atau besar mana kenderaan yang dimiliki, semua akan menggunakannya. Yang tidak memiliki kenderaan pun akan juga sama menggunakannya.
Sesungguhnya marilah kita menginsafi diri kita bahawa kenderaan itu Kereta Jenazah sentiasa siap sedia untuk membawa kita ke tanah perkuburan pada bila bila masa pun. Pada bila bila masa itu juga  kita hendaknya sentiasa pula mengingatinya agar kita rasa lebih dekat dengan mati. Ini akan lebih mendekatkat kita dengan Allah. Insyaallah.

Khamis, Mac 18, 2010

Masjid Al Khairiah, Taman Sri Gombak. Selangor

Minggu lepas aku pergi ke rumah abang ipar di Sri Gombak. Aku memang sahaja selalu singgah di masjid ni jika ke sana lebih lebih lagi jika waktu solat sudah hampir. Tapi pagi ini suasananya agak berlainan dengan hari hari yang lain. Dari bulatan yang menghala ke masjid tersebut telah kelihatan deretan kereta tersusun di tepian jalan menghala ke masjid. Setiba di masjid keadaan lebih sesak di mana semua kawasan parkir di penuhi kereta. Jenuh aku mencari ruang  tetapi tetap gagal. Aku tak boleh parkir jauh disebabkan bersama aku ialah mertua. Tak kan nak tengok mereka berjalan jauh. Akhirnya aku selitkan kereta di laluan sebelah bawah masjid. Aku tidak dapat sudut yang baik untuk snap gambar terbaik masjid ini.

Setelah sampai ke masjid baru aku ingat bahawa sekaran berlangsung kursus haji bagi bakal bakal haji yang akan mengerjakan haji pada musim akan datang. Oleh kerana kursus belum habis maka ramailah bekal jemaah haji berada dalam masjid.
Beberapa minit aku berada dikawasan masjid aku perhatikan banyak kereta berhenti menurunkan penumpang lalu masuk kemasjid. Daripada barang barang yang dibawa oleh mereka aku faham ada majlis akad nikah akan berlangsung di masjid tersebut. Patutlah orang ramai di masjid.

Dalam ramai ramai yang mengunjungi masjid untuk upacara pernikahan itu terdapat juga yang tidak menghormati masjid. Ada yang berpakaian tidak menutup aurat. Masuk masjid tidak boleh disamakan dengan memasuki rumah. Walaupun aku tahu majlis tersebut dilakukan didalam dewan masjid namun adab masjid perlu dijaga.

Bagi menghormati masjid, sembahyang sunat tahiyatul masjid perlu dilakukan. Kalau tidak tak hormatkan masjid namanya. Tidak kiralah samada kita masuk untuk solat atau untuk tujuan lain. Perkara ini banyak diabaikan oleh mereka yang masuk ke masjid untuk majlis pernikahan.

Rabu, Mac 10, 2010

Masjid Kampong Dendang, Beruas. Perak

  Lagi salah satu masjid yang pernah aku singgah. Bila aku pulang daripada Taiping kebiasaannya waktu maghrib akan tiba ketika aku melintas di sini. Masjidnya tidak besar cukup sekadar menampung jemaah kampung tersebut. Beberapa kali sudah aku singgah, aku melihat 3 atau 4 orang jemaah mirip orang arab sama bersembahyang. Selesai sembahyang mereka melintas jalan untuk pulang. Aku percaya mereka penduduk di situ. Jika dinisbahkan umur kakitangan kerajaan, mereka ni agak agak dah nak pencen. Bagaimana mereka boleh merantau ke situ, aku belum sempat merisiknya. Insyallah suatu hari aku akan sapa mereka berkenalan.
Kombinasi warna yang digunakan di dalam masjid sungguh menenangkan jiwa siapa saja. Apatah lagi selepas mendirikan solat penuh kusyuk. Kebetulan pulak jiwa aku agak sinonim dengan warna hijau.
Sambil para jemaah beransur keluar dari dalam masjid aku telah berada di dalam kereta bagi meneruskan perjalan lebih kurang 40 minit lagi.

Isnin, Mac 08, 2010

1 Malaysia Semua Halal

 
   SEMUA HALAL
Siapapun tak mahu makan babi. Siapapun tak mahu makan anjing. Sebabnya babi dan anjing haram dimakan. Rasuah itu haram. Riba itu haram. Makan rasuah dan makan riba hukumnya juga haram. Bila agaknya pelaku rasuah boleh merasakan makan rasuah itu sama macam makan babi.

Kaum cerdik pandai dan alim ulamak harus memainkan peranan dalam mentarbiah agar perbuatan melakukan rasuah itu dapat dilihat sebagai perbuatan yang amat hina dan keji di sisi masyarakat. Janganlah sampai masyarakat kita menjadi seperti kaum yahudi di mana mereka melakukannya ikut sesuka hati mereka tanpa teguran daripada mana mana pihak. Usaha menanganinya mesti ditingkatkan seperti meningkatkan fahaman masyarakat akan peri pentingnya makan makanan halal.

Selain itu gejala melakukan dosa besar, melakukan maksiat, hiburan melampau semakin berleluasa. Penekanan kepada 1 halal perlu menyeluruh. Keseimbangan sistem kehidupan bukan bermakna separuh halal separuh haram. Segalanya juga perlu halal. Boleh berhibur, tetapi hiburan yang halal. Waima menjatuhkan hukuman ke seseorang pun perlu hukuman yang halal.

Melihat kepada laporan yang menjadi paparan akhbar saban hari, amat merunsingkan. Jenayah terjadi di merata rata. Gejala sosial sudah menular serata pelosok. Tidak ada tanda tanda ianya berkurangan. Malah apa sahaja perkara tidak baik, statistik akan menunjukkan peningkatan mengikut peredaran waktu.

Setiap individu perlu memainkan peranan sendiri. Kalau kita tidak dapat membantu orang lain jadi baik, dapat membantu diri sendiri menjadi  baik sudah memadai. Sekurang kurangnya kurang seorang orang jahat di dunia ini.

Usaha usaha membenteras gejala haram dalam masyarakat perlu digembeling sepenuhnya. Punca kepada jatuhnya nilai nilai kemanusiaan ini perlu ditangani secukupnya. Jangan jadi seperti menggali lubang mungkar guna jangkaut, sebelah pihak pula menambusnya guna cangkul. Sampai bila pun hajat kita melihat 1 Malaysia semuanya halal tidak akan kesampaian.

Khamis, Mac 04, 2010

Rumpun Nipah

Rumpun Nipah itu telah lama hidup berdamping rumah mertuaku. Aku tidak pernah ambil peduli akannya. Entah mengapa minggu lalu tetiba tersentuh di fikiran untuk mengambil sedikit kisah akan nipah tersebut.
Nipah ni aku kenal lantaran ia popular dijadikan atap rumah. Lebih daripada itu sekadar pucuknya dijadikan daun rokok, rokok daun. Kalau orang muda memiliki rokok daun nipah ini amat sinonim untuk dikaitkan dengan ketagihan ganja. Selain itu Teluk Nipah di Pangkor atau Virus Nipah yang amat bahaya.
Pokok nipah mudah didapati di kawasan berpaya dan berhampiran pantai. Banyak terdapat di Malaysia. Berbatang pendek, mempunyai pelepah pelepah berdaun yang sangat panjang sehingga 6M.
Pada masa dahulu, daun daun nipah amat berguna untuk dijadikan atap. Daun daun tersebut disusun dan dijalin menggunakan tali yang dibuat dari batang bemban. Kerja kerja ini memerlukan kepakaran bagi menjamin ianya tidak bocor ketika hujan turun.

Penggunaannya kini telah ditelan zaman ekoran faktor ketahanannya yang singkat iaitu sekitar 3 ke 5 atahun sahaja. Walau bagaimanapun atap nipah masih ada dipasaran bagi menampung penggemar peminat rekabentuk klasik. Sesuai digunakan dalam pembikinan pondok yang memerlukan suasana nyaman dan dingin. Ini kerana atap ini tidak menyimpan haba panas matahari seperti zing.
Pucuk nipah pula sesuai digunakan sebagai daun rokok. Tembakau yang diisi kedalamnya digulong  dengan pucuk nipah yang dipotong sepanjang rokok.
Buah nipah mempunyai isi seperti buah kabung dan amat sedap dimakan. Namun disebabkan kepupusan dan kesukaran mengambil buahnya, ianya amat sukar diperolehi sekarang.

Isnin, Mac 01, 2010

Kiamat Kecil

Kita telah dipertonton akan tanda tanda kiamat. Kita sedar dan akur ianya tanda tanda kiamat. Antaranya pemimpin yang terdiri dari orang yang jahil dan fasik, tetapi kitalah orang yang mengangkat golongan tersebut. Bermaharajalela bunyi-bunyian (muzik) dan penyanyi-penyanyi wanita, tetapi kita masih lalai akan muslihat hidup mereka. Manusia bermegah-megahan dalam mendirikan masjid, tetapi kita masih gagal memakmurkan masjid. Banyak saksi palsu dan menyimpan kesaksian yang benar, kita jugalah orang yang diperdaya akan cerita karut marut mereka, dan pada masa yang sama kita masih ngeri untuk menghadapi kiamat.

Dalam ketakutan menghadapi kiamat, telah banyak kiamat kecil berlaku di sekeliling kita. Apakah kiamat kecil tersebut? Hari kiamat merupakan hari kemusnahan seisi alam dan bumi. Andainya kita hidup pada saat itu, kemusnahan tersebut juga akan dilalui. Andai pula kita tidak sempat ke saat itu, kemusnahan awal akan dihadapi. Allah telah berjanji setiap yang hidup pasti akan mati. Sejauh manakah persediaan kita menghadapi kiamat kecil ini.

Dari Abu Ya'la Syaddad bin Aus ra, dari Nabi saw, beliau bersabda:"Orang yang cerdik iaitu orang yang selalu menjaga dirinya dalam beramal untuk bekal nanti sesudah mati. Dan orang yang kerdil iaitu orangyang hanya menuruti hawa nafsunya tetapi mengharapkan berbagai harapan kepada Allah". (Riwayat At Turmudzy).

Rabu, Februari 24, 2010

Masjid Al-Rahmaniah, Trong, Taiping

Masjid ini terletak di pinggir pekan Trong. Siapa tak tahu Trong di mana, Trong terletak disebelah selatan Taiping yang menghala ke arah pantai. Ianya berjiran dengan Cangkat Jering. Siapa tak tahu Cangkat Jering, ingat tol Cangkat Jering. Merupakan kawasan jajahan YB sensasi, sure heboh seketika dahulu dan kini, YB Othman Jailu yang lompat parti.

Daripada geografi politiknya Trong adalah di bawah perlimen Bukit Gantang. Siapa tak tahu Bukit Gantang, ingat kepada MB Perak DS Nizar Jamaludin. Beliau merupakan Ahli Perlimen di sini disamping YB Adun Sungai Panjang. Kerusi perlimen ini diserahkan kepada beliau apabila beliau gagal ditumbangkan dlm PRK baru baru ini.
Melihat kepada tahun 1918 yang tercatit di dinding masjid tersebut menggambarkan usia masjid ini terlalu tua. Ianya 4 kali dinaik tarafkan untuk memastikan keselesaan jemaah dan kesempurnaan masjid. Usaha usaha mengimarahkan masjid hendaklah seiring dengan kos yang dikeluarkan.
Dalaman masjid seperti dinding dan tiangnya masih menampakkan ketuaan masjid ini. Buatannya yang kukuh membolehkan binaan asal masjid masih dikekalkan. Ia menjadi masjid persinggahan pemandu pemandu kerana lokasinya yang terletak di tepi jalan. Masjid ini juga menampakkan keceriaannya dan tambahan DS Nizar Jamaludin adalah ahli perlimen di sini. Kesempatan tersebut mungkin akan menambah lagi kemakmuran yang diidamkan oleh para jemaah.

Isnin, Februari 22, 2010

Kalau Aku Seorang Menteri

Zaman sekolah dahulu kita sering menulis karangan. Format karangan yang paling aku suka ialah berbentuk andaian. Skopnya luas dan banyak isi boleh ditulis. Malangnya kita sering diberi tajuk; Aku sepasang kasut, aku sebatang pen dan pelbagai andaian. Kalau pun kita diberi tajuk; aku sebuah televisyen, kita bercerita tentang kita dibeli oleh seseorang, berkenaan kerja harian aku dan akhirnya mati sebab meletup disambar petir. Sepatutnya dahulu aku tulis begini: pagi pagi aku dihidupkan oleh tuanku. Tuan aku akan mendengar dan melihat sahaja apa yang aku pamer dan kata. Walaupun ia tuan kepada aku ia tidak boleh memperkudakan aku mengikut kehendak nafsu serakahnya. Aku sebagai tv juga ada prinsip. Berkata yang benar dan gambarkan yang benar walaupun bukan berupa halwa telinga dan mata. Aku ada tugas perlu dilakukan yang diamanahkan oleh kilang yang membuat aku.

Kalau ditanyai sekarang apakah karangan terbuka sedemikian yang sesuai, aku akan tulis; Kalau aku seorang menteri. Kita bebas. Kita boleh tulis nak jadi apa pun, waima nak jadi raja pun boleh. Yang tak bolehnya hanya satu iaitu menyekutukan Allah.

Kalau aku seorang menteri, aku mahu jadi menteri perdagangan. Aku akan memastikan rakyat 1 Malaysia tidak lagi merana dengan masalah telur, masalah kelapa, masalah minyak, masalah ayam, masalah gula. Aku akan lantik pelayan pejabat aku memastikan masalah ini tidak menyusahkan rakyat 1 Malaysia. Semua masalah tu masalah kecil kecil belaka, tidak perlu timbalan menteri aku berkata akan masalah itu. Banyak masalah besar yang perlu kami fikirkan. Sama seperti murid darjah satu kencing dalam kelas. Tidak perlu pengarah pendidikan berucap tentang budak kencing itu. Cukup bagi ketua darjah dan penolongnya menyelesaikan masalah tu. Kalau pengarahpun nak cakap jugak maknanya mungkin murid kencing itu anaknya.
Sukarnya mendapatkan gula di tempat aku di Seri Iskandar. Bukan nak minta gula tapi nak beli gula guna duit Ringit Malaysia. Lemah sungguh langkah mengatasinya. Itulah sebabnya aku nak jadi menteri. Aku tahu masalah ini disebabkan monopoli. Aku menteri beragama islam. Aku tahu islam tidak membenarkan perdagangan berasaskan monopoli. Kalau gula tak cukup di pasaran aku akan tawarkan kepada rakyat 1 Malaysia untuk buka kilang gula banyak banyak. Tidak perlu besar macam di Shah Alam tu. Kalau tebu tak cukup, aku akan minta kawan aku menteri pertanian supaya buka felda tanam tebu. Aku tak sanggup tengok pelanggan mahu beli gula , gula habis. Bila aku menteri melawat pasaraya, banyak pulak gula. Aku tak mahu jadi menteri pening. Aku tidak akan beri alasan kepada rakyat 1 Malaysia bahawa gula tak ada sebab nak kawal rakyat daripada makan gula banyak banyak. Nanti ramai pulak kencing manis. Aku mahu timbalan menteri aku boleh bercakap bernas macam aku. Jangan banyak beri alasan. Aku sedar rakyat lantik aku agar aku tolong rakyat tapi bukan bodohkan rakyat.

Aku suka kawan aku menteri yang jaga komunikasi. Dulu rakyat aku susah nak guna telefon mudahalih. Mahal sangat yurannya. Apabila tiada monopoli dalam industri tersebut maka rakyat 1 Malaysia sekarang mudah memilikinya. Budak tadika pun sudah ada handphone.

Pilihanraya lambat lagi. Namun aku tetap bekerja keras demi memajukan negara aku Malaysia tercinta dan rakyat 1 Malaysia demi kerana Allah. Aku tak kisah samada aku dicalonkan lagi atau dilantik menjadi menteri lagi. Kalau ditawarkan aku tidak keberatan untuk menjadi Perdana Menteri.

Jumaat, Februari 19, 2010

Mengail Ikan Puyu


Menjadi kebiasaan bila cuti agak panjang sedikit seperti adanya perayaan, kami akan pulang ke kampung Masjid Tinggi untuk berkumpul. Rumah yang telah ditinggalkan sekian lama cuma dijengah sekali sekala untuk tidur semalam dua. Mertua yang tinggal bersama ipar di Kemunting sungguh teruja jika kembali  kesini umpama kata bidalan, tempat jatuh lagi dikenang inikan pula tempat bermain.

Jika pulang kekampung macam macam aktiviti boleh dilakukan. Yang tua cara tua. Yang muda cara muda. Antara yang menarik sekali ialah memancing ikan puyu. Yang muda pun turut tidak melepaskan peluang ini. Kebetulan parit yang terletak di gigi laman rumah mengandungi beberapa spesis ikan. Antaranya ikan puyu, keli, haruan, sepat dan lain lain.
Ikan puyu merupakan ikan yang paling banyak dan mudah di tangkap. Samada menggunakan pancing, jala atau turun ke parit dan menggagau. Kanak kanak pun boleh mendapat jika memancingnya. Kanak kanak sekecil Hanafi, anak monakan baru 4 tahun  sudah mampu memancing ikan puyu sendirian.
 
 Parit ini dipanggil Parit Panchor. Ia dipanggil parit buang sebab air daripada bendang bendang disebelah atas dialirkan ke sini sebelum masuk ke sungai. Pada musim menunggu padi masak parit tersebut  cetek disebabkan sawah padi perlu dikeringkan. Selalunya musim menanam pula parit ini akan dipenuhi air. Pada masa tersebut keadaan parit amat merbahaya kepada kanak kanak.
Ikan puyu merupakan ikan yang sangat lasak. Walaupun diletakkan di darat dalam beberapa jam, ikan ini masih mampu hidup. Ianya boleh bergerak menggunakan sirip dan sisiknya yang keras untuk mencari lopak air. Spesis ikan puyu ini hidup berkumpulan dan oleh sebab itu ia mudah diperolehi dengan banyak.
Dalam masyarakat melayu terdapat satu kepercayaan di mana ikan puyu boleh menjadi penghalang ilmu pukau kepada isirumah. Itu sebabnya terdapat segelintir masyarakat memelihara ikan ini dalam akuarium selain menjadi ikan hiasan. Oleh kerana sifatnya yang tahan lasak ia tidak perlukan pam oksijen untuk memeliharanya.
 Itu dia anakku Hilman bersama 2 orang sepupunya pulang membawa rezki untuk santapan tengahari. Ikan ikan itu kata mereka perlu dimasak goreng berlada. Ada juga permintaan supaya dimasak kari. Apapun terpulanglah kepada tukang masaknya.
Ikan puyu melompat-lompat,
     Lompat mari sawah padi;
Macam mana muka tak pucat,
     Baru demam pagi tadi.
Sehingga entry ini ditulis, alhamdulillah mereka tak demam. Maklumlah kulit naik hitam akibat sekerat hari terkena simbahan terik matahari.

Jumaat, Februari 12, 2010

Buta Hati

 
Kalau buta mata, tak namapak benda dan tak nampak jalan didunia. Kalau buta hati, tak nampak benda baik dan tak nampak jalan syurga.Cuma pandai membaca tapi tak pandai berfikir.  Apabaila Jibril datang mengajar Nabi Muhammad membaca, Baginda menyatakan beliau tidak tahu membaca. Tidak tahu membaca kita panggil pula buta huruf. Buta huruf dengan buta hati jauh bezanya macam langit dengan bumi.

Nabi Muhammad yang buta huruf  dengan senang hati mengaku beliau tidak tahu membaca. Ada satu nilai kejujuran ditunjukkan untuk umatnya. Betapa sukarnya umat sekarang untuk mengaku akan kelemahan diri sendiri. Walaupun setiap kelemahan itu boleh di atasi dengan pelbagai cara. Tiada sebab berasa malu akan kelemahan diri selagi hati masih suci dan bersih.

Kalau sudah buta hati, sudah tidak nampak nikmat. Kekayaan dan kemewahan yang diperolehi dirasakan tidak cukup. Umpama kantung yang bocor. Tidak pernah memikirkan hak orang. Segala khazanah akan dipulun sedayanya. Selagi ada kuasa dan upaya ditonggang demi memenuhi tembolok diri. najis yang keluar dihamburkan untuk yang meminta. Harta dilonggok untuk menandingi qorun.

Kalau sudah buta hati segala tindakan berlandaskan desakan hawa nafsu. Tidak kenal halal dan haram.  Negara orang takluk untuk jajahan sendiri. Negeri orang dirampas untuk mentadbir sendiri. Harta milik orang dikatakan milik sendiri. Kebebasan orang dikongkong sesuka hati.

Apakah aku daripada golongan ini. Apakah aku saudara kepada golongan ini. Apakah aku penyokong kuat golongan ini. Apakah aku kawan golongan ini. Apakah aku beriman seperti imannya orang buta hati. Maka kembalilah, kembalilah bersama orang orang yang lurus jalan hidupnya sebelum nyawa sampai ke kerongkong

Rabu, Februari 10, 2010

Lembu Ancam Pemandu

OOOppppsss lembu, dengan selamba sekumpulan lembu melintas jalan tanpa menoleh ke kiri dan ke kanan. Nasib baik siang, kalau malam memang malang akan terjadi. Kalau tak malang pada pemandu, sekurang kurangnya kenderaan akan rosak juga. Bukan sedikit yang mengalami kecederaan akibat melanggar lembu atau kerbau di atas jalan. Yang mati pun ada. Persoalannya siapa yang sepatutnya dipersalahkan? Lembu, tuan lembu, pemandu, atau pihak penguasa tempatan.

Sampai sekarang ancaman binatang peliharaan terhadap pemandu kenderaan masih belum ada penghujungnya. Aku pernah melanggar sekumpulan lembu yang lepak diatas jalan. Kejadian berlaku di Bandar Baru Bangi (BBB) tahun 90 an. Kalau kata langgar lembu di BBB sekarang semua orang tak percaya. Nak tengok lembu pun susah inikan pula nak jumpa taik lembu. Ketika itu waktu malam dan lepas waktu hujan. Selepas mengambil selekoh tiba tiba pandangan aku gelap, rupa rupanya pancaran lampu kereta tenggelam di badan badan lembu yang kebanyakannya keturunan afrika dan sawo matang. Sepantas kilat kaki menekan brek. Namun kereta tak mahu berhenti malah terus menggelongsor di atas jalan disebabkan jalan licin. Apa lagi, kereta terus mencium lembu lembu tersebut dengan rakusnya.

Aku tidak pasti berapa ekor yang kena disondol. Yang aku pasti tidak kurang 4 ekor berdasarkan kerosakan pada kenderaan. Seekor kena sebelah kanan menyebabkan cermin sisi kanan patah. Seekor kena sebelah kiri menyebabkan cermin sisi kiri patah. Seokor terpelanting ke atas dan jatuh betul betul di atas bonet depan menyebabkan kerosakan teruk. Yang aku tak boleh lupa seekor daripadanya melambung ke atas bumbung dan jatuh di sebelah pintu belakang sebelah kiri. Bumbung dan pintu tersebut kemek. Aku menggerakkan kereta dan berhenti jauh daripada tempat kejadian. Manalah tahu tetiba geng dia nak balas dendam marah dan sondol aku pulak. Kereta masih boleh dipandu sebab radiator tak pecah. Walaupun lampu dah tak menyala aku teruskan perjalanan sebab rumah dah tak jauh.

Sesampai di rumah kereta dah bau lembu. Aku pula ngeri mengingatkan lembu yang melambung ke atas bumbung. Kalau melambung ke arah cermin dan masuk kedalam kereta dan menghimpap aku....rasanya lama dah hijrahnya. Arwah sepupu aku mati kena langgar ketika melintas jalan. Ia melambung kedalam kereta dan jatuh atas pangkuan pemandu tersebut.

Marilah kita beralah di jalan raya jikalau melihat sebarang binatang ada di tepi jalan. Nak tunggu undang undang mengawal perkara ini aku rasa sukar. Sebabnya sekiranya lembu lembu itu ditangkap maka mana ada lokap nak kurung lembu lembu itu. Kalau ada kandangpun siapa nak bagi makan, nak cuci taik lembu, nak jadi bidan kalau lembu tu nak beranak. Semua perkara tersebut perlu diambil pertimbangan sebelum tibanya hari perbicaraan. Kebiasaannya tuan lembu tidak mengaku lembu yang ditangkap tersebut lembu beliau. Dia pun celik mahkamah jugak. Caranya kalau nak siasat, cari tuan dia kata kita dah langgar lembu dia dan nak bayar ganti rugi. Tentu dia mengaku. Lepas tu repot pada polis.

Kita pun tahu walupun lembu tu ada otak tapi dia tak boleh fikir. Fungsinya cuma fikir nak cari makan saja. Cuma kita letak harapan pada tuan lembu tu aja supaya dia fikir keselamatan orang ketika memelihara lembu. Kalau dia juga fikir cuma nak cari makan tanpa fikir masalah orang maka otak dia tu sama taraf dengan otak lembu. Kita tak boleh buat apa apa cuma boleh korbankan dan akikahkan jer dia macam lembu tu.

Ahad, Februari 07, 2010

Masjid At-Toyyibin, Taman Bidara, Selayang

Semalam berkunjung ke rumah abang ipar di Sri Gombak. Bertolak dari Seri Iskandar Perak pukul 8 am. Sebelum terus ke rumahnya aku singgah di masjid ini. Pergi jenguk Mydin sebentar sebab ada sesuatu ingin dibeli untuk anak anak.
Masjid ni agak sederhana nampaknya tetapi menarik untuk dicontohi oleh mana mana masjid. Ruang yang sekadarnya digunakan untuk menyediakan perkhidmatan bergunting rambut. Biar orang muslim yang menguruskan kepala kita.(lihat n3 di bawah ni)

Ada juga disediakan sekolah agama untuk kemudahan penduduk berdekatan. Mudahnya mereka.

Aku jenguk kedalam masjid ada ustaz sedang bagi kuliah. Masjid kecil tapi memainkan peranan besar kepada jemaahnya.

Khamis, Februari 04, 2010

Rambut

Berbicara soal kepala, soal rambut tidak boleh dipinggirkan. Akrabnya seperti aur dengan tebing, laksana perut dengan belakang. Apalah kepala tanpa rambut. Rambut berada dikedudukan paling tinggi pada tubuh. Segala parut di kepala terlindung di sebalik kehitaman rambut. Rambut tidak mungkin tumbuh di kepala lutut, sudah fitrahnya begitu.  Peribahasa mengatakan rambut sama hitam namun bukan semua rambut hitam malah putih, perang pun ada. Mewarna hitam kan rambut hukumnya haram. Bagi nampak kembali muda agar sepadan dengan pasangan semuanya dipersetankan. Harus diingat bila sehelai rambut telah gugur, orang boleh campak nasi sepinggan sebabkan rambut tersebut.

Macam macam orang buat dengan rambut. Kalau dulu orang barat amat tertarik dengan rambut hitam. Orang berkulit hitam biasanya rambut hitam. Orang berkulit putih biasanya berambut perang seperti bulu jagung. Tapi kalau orang berkulit hitam sudah berambut perang, sensor mata akan jumpa satu isyarat dengan gangguan, istilah teknikal kata distortion. Sistem di kepala payah nak terima.

Rambut di kepala boleh menghasilkan pahala. Tidak adil mengatakan punca rambut ramai orang masuk neraka. Dalam rukun haji ada tahallul. Tahallul itu bergunting atau bercukur rambut. Bagi yang botak, cukup dengan syarat sahaja dengan melalukan pisau cukur di kepala. Perempuan disyaratkan bergunting sahaja. Jangan terlalu mengejar pahala habis rambut dicukur. Itu sudah seperti seorang artis wanita yang bercukur botak sebab mengejar glamour.

Mari kita lihat di mana kita bergunting rambut. Siapa yang gunting rambut kita. Dalam kepala kita banyak ayat quran yang kita hafal. Selekeh lekeh orang islam surah alfatihah dan tiga qul ada dalam kepala. Bagaimana pula kalau taraf Al-Hafiz, mufti, imam imam, ulamak. Kepada siapa kita hulur kepala kita untuk bergunting. Layakkah orang bukan islam yang tangannya menyuap daging khinzir kemulut memegang kepala orang islam, lebih lebih lagi orang yang hafal quran. Itukah sebabnya kita payah untuk menghafal atau hafalan kian luput.

Bagi wanita pula sebaiknya biarlah orang islam yang menggunting rambut kita. Sesungguhnya penjagaan aurat wanita terhadap lelaki sama juga terhadap wanita bukan islam. Memang isu ini kecil. Jangan pandang kecilnya kesalahan yang kita buat, tetapi pandang kepada Siapa kesalahan itu kita buat.

Sudah menjadi kecendurungan ramai orang bergunting dengan orang berlainan jantina. Rambut wanita tukang guntingnya lelaki. Rambut lelaki pula digunting oleh wanita. Sistem kehidupan sudah semakin celaru.

Rabu, Februari 03, 2010

Kepala


Semua orang ada kepala. Di kepala ada rambut. Rambut akan panjang seiring dengan masa. Ada orang menganggap rambut mahkota diri. Lantara itu ia perlu di dandan rapi. Ada orang suka rambut pendek, katanya mudah diurus dan nampak kemas. Ada orang suka rambut panjang katanya menampilkan identiti. Setengah pula kata mengikut sunah, memang ada benarnya walaupun sesungguhnya Rasulullah hanya sekali berambut panjang.

Apa pun prinsip diri, rambut memang perlu dipotong. Siapa pula potong rambut kita. Kita belanjakan duit untuk perkara itu jadi kita mempunyai kuasa memilih siapa yang berhak gunting rambut kita. Kalau dahulu kerjaya tukang gunting bukan jadi pilihan. Cuma seseorang yang mempunyai kemahiran semula jadi sahaja akan berkecimpung dalam kerjaya tersebut. Sekarang manusia sudah nampak adanya kekayaan di celah celah rambut. Maka wujudlah saloon di merata tempat.

Bagi orang melayu kepala amat mulia berbanding lain lain anggota. Yang lain boleh disentuh (selain anu tu) tetapi kepala jangan. Pergaduhan boleh tercetus akibatnya. Kalau mahu menghina orang akan selalu guna kepala. Timbullah kepala batu, keras kepala dan terbaru kita lihat kepala babi dilontar ke dalam masjid. Mereka tak lontar organ kaki atau ekor babi. Golongan ini memang patut dipisahkan kepala dari badannya. Satu kumpulan lagi mereka menghina dengan mengusung kepala lembu. Kalau dah otak tidak bekerja dikepala maka jadilah kepala itu macam kepala lembu yang diusung.
Bagi golongan arab kepala tidak menjadi masalah bagi mereka. Jadi orang melayu yang berada di mekah perlu lebih bersabar jika kepala dipegang pak arab. Bukan berupa penghinaan malah salah satu cara melahirkan kasih sayang. Pendamlah sementara semangat panglima yang tersemat dijiwa sekian lama.

Dalam kepala ada otak. Otak diguna untuk berfikir soal dunia dan akhirat. Maka tidaklah sempurna fikiran orang yang mengarahkan otaknya berfikir soal dunia sahaja atau akhirat sahaja. Carilah rezki seolah olah kita akan mati seribu tahun lagi. Itulah dunia. Beramallah seolah olah kita akan mati esoknya. Itulah akhirat. Peganglah kedua duanya insyaallah selamat dunia dan akhirat. Orang yang mengejar satu asahaja daripadanya adalah orang yang gagal. Samada ia gagal didunia atau gagal di akhirat atau lebih dasyat lagi akan gagal didunia dan diakhirat. Itulah orang yang otaknya letak di kepala tetapi di kepala lutut.

Selasa, Februari 02, 2010

Pengunjung Ke 1000

Pukul 8:00 am pengunjung 992. Terima kasih kepada anda semua. Siapa agaknya pengunjung ke 1000.

Dulu aku hanya suka baca blog, orang kata pembaca senyap. Blog sulong yang dah lama aku ikut ialah blog kawan ku Idan sebab nak tahu perkembangan tempat kerja lama dan kawan lama. Selepas aku diperkenalkan pula oleh kawan tentang blog PDKM ini aku mula mengomen ngomen. Kadang kala ada sesuatu yang ingin dicoretkan, ada idea ingin diutarakan, ada pengalaman yang ingin dikongsikan, ada amarah yang ingin dihamburkan dan ada kepingin menambah rakan dan di sini lah bermulanya aku memblog.

Isnin, Februari 01, 2010

Masjid Jamek Kampong Sungai Tinggi, Trong Perak


Antara masjid yang aku kerap singgah ketika pulang ke Bagan Serai.
 Sebelum meninggalkan masjid lebih jauh sempat snap satu gambar

Ahad, Januari 31, 2010

Masjid Kampung Expo


Selepas urusan usai di Parit Buntar aku bergerak pulang. Ambil anak di SERATAS Taiping dan singgah Kumunting rumah adik ipar. Mertua ku duduk bersamanya. Seudah lama mertua tidak kerumah ku. Jadi minggu ni aku jemput mereka untuk berkunjung ke rumah aku.

Kalau di Kemunting biasanya aku memilih Masjid Kg Expo. Aku berkesempatan untuk menunaikan solat jumaat di sini. Sesuatu yang menarik masjid ni adalah bilangan kuliah agama yang dianjurkan di sini. Boleh dikatakan setiap selepas maghrib ada kuliah. Jika sabtu dan ahad kuliah akan dijalankan 3 kalai iaitu kuliah subuh, kuliah asar (utk wanita) dan kuliah maghrib. Pendek kata kalau dilihat jadual kuliah memang tidak hairanlah masyarakatnya celik agama. Dengan syarat semua kuliah diikuti. Kalau celup celup macam burung layang layang saja maka yang celik adalah tiang tiang masjid ajalah .

Masjid ini telah membina ruang tambahan .Ruang tambhan yg ada kini atas belanja sendiri jemaah. Bahagian belakang masjid sudah ditambah bagi menampung limpahan jemaah. Masjid ni masjid baru. Biasanya kapasiti masjid dapat menampung jemaah dalam kariah tersebut. Tetapi mengapa dalam masa yang singkat sudah memerlukan ruang tambahan. Mungkin orang lain seperti aku jugak suka memilih masjid ini. Atau pun masjid ini mempunyai aura tersendiri.

Selesai iqomah imam mengingatkan bmakmum, selepas solat jumaat ini akan didirikan solat hajat memohon keberkatan pada 9 februari akan datang. Mengapa pulak 9 februari ni? Tanpa memikirkan pesanan imam tersebut aku menumpukan kepada solat jumaat.

Selesai solat jumaat jemaah tidak ramai yang berganjak daripada saf. Aku perhatikan lebih kurang tiga suku masih berada di saf masing masing. Imam mengulang sekali lagi bahawa solat hajat yang akan dilakukan adalah unutk memohon restu daripada Allah akan keputusan 9 februari ini. Fikiran aku sedah mula mengingati sesuatu. Semoga keputusan yang dibuat berpihak kepada yang benar. Dikembalikan kembali kepada yang hak. Dengan keputusan ini semoga negeri Perak akan diberkati dan dapat menumpukan sepenuhnya kepada pentadbiran yang beramanah. Sekarang aku dah mengerti. Mungkinkah aku kena pulang pulak untuk mengundi sebelum 9 feb ni. Adun tempat aku sekarang adalah calon bebas selepas melompat lompat macam ehem ehem.

Seleasi solat hajat imam membacakan doa dan diaminkan oleh para jemaah. Daripada doa yang dibacakan aku dapat merasai betapa besarnya harapan jemaah terhadap kemakmuran negeri Perak. Selesai doa imam dalam ketenangan tersebut tiba tiba terdengar, takbir! Allahuakbar !!!  Kini ingatan ku telah kembali semula kepada keputusan mahkamah yang akan dibuat pada 9 februari ini atas Menteri Besar Perak yang sah. Menteri Besar yang berkulit macam orang cina atau yang berkulit macam orang india. Tapi aku dapat rasakan yang berkulit cerah itu lah harapan ramai jemaah yang berkulit sawo matang.