Khamis, Oktober 28, 2010

TOIQUE - Pingat Perak

Megat,Isnani,YB,Firdaus
Setelah berhempas pulas di hari terakhir sebelum hari pertandingan, akhirnya Allah mengkabulkan hajat kami untuk menjadikan projek kami berfungsi.  Borang pendaftaran dihantar 1 jam sebelum tempoh pendaftaran ditutup. Jika tidak sudah tentu penyertaan ditangguh ke  pertandingan lain.

EDX adalah pertandingan hasil projek pelajar pelajar UTP termasuk postgrad. Kami staff menyertai dalam katogori terbuka. Kebanyakan pesaing kami dari kalangan pelajar juga. Nak tahu lebih lanjut tentang EDX sila ke sini

Presentation pagi isitu sessi teknikal berjalan dengan baik. Walaupun projek simple sahaja tetapi applikasinya pada fikiran kami banyak menyelesaikan masalah sedia ada di dalam bilik peperiksaan.

Malang tidak berbau, ketika presentation  sessi non teknikal di waktu petang baharu sahaja nak bermula, tiba tiba power blackout. Selepad beberapa minit bekalan dapat dipulihkan semula. Rupanya pada masa itu kami punya power adaptor yang membekalkan power ke Transmitter terbakar dan mengalami kerosakan. Oleh itu TOIQUE tidak dapat dikawal.

Dalam pada masa kami mencuba cuba, hakim telah menilai projek kumpulan pertama. Kami di kumpulan ke 3. Masa persembahan hanya 5 minit. Ketika masalah dapat di kesan hakim telah beredar ke kumpulan ke 2. Nak ambik bekalan baru tak sempat. Oleh itu buat keputusan guna alternatif loop power dari supply sebelah. Belum pun sempat siap hakim dah tiba. Persembahan terpaksa dibuat juga dgn TOIQUE beroperasi 50 %.
Kami cuba meyakinkan hakim akan kemampuan projek kami. Alhamdulillah akhirnya kami dapat juga menerima pingat perak.

Musa seorang lagi ahli kumpulan TOIQUE tidak dapat bersama kerana sedang berada di Madinah untuk mengerjakan ibadah Haji tahun ini. Sebelum berangkat beliau pesan lakukan sebaik mungkin dan beliau akan cuba dapatkan Raudah untuk memohon kejayaan kami. 

Aku juga mengucapkan tahniah kepada teman seperjuangan Megat dan Firdaus kerana menggondol gangsa untuk projek SMALAB iaitu membina sistem yang digunapakai untuk mengawal inventori melalui intrnet.

Sabtu, Oktober 23, 2010

TOIQUE


Lama dah tak teropong teropong sebab sebok menyiapkan projek di atas ini. Aku dengan 2 orang lagi team member aku akan menyertai EDX 26 kategori terbuka. Hari hari terakir projek menghadapi masalah teknikal. Aku ada masa 1 hari lagi 24 oktober untuk menyelesaikan segalanya sebelum pertandingan yang akan dilangsungkan di UTP pada 25 dan 26 oktober. Cerita lebih lanjut lebih enak selepas selesai pertandingan. Doakan kejayaan kami.

Selasa, Oktober 12, 2010

Menggula gulakan Bahasa Melayu

 Bahasa Melayu Malaysia
Minggu lepas bising pasal bahasa, bahasa bangsa ku bahasa melayu. Berkokok gempita alam kununnya nak memperkasakan bahasa melayu. Maka berangkatlah seorang pembesar negara menyempurnakan Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan diIpoh.

Pelbagai saranan, cadangan, arahan dan tidak kurang amaran dicanangkan demi memperkasakan bahasa melayu. Waduh, keyakinan dan jaminan di tonjolkan demi menunjukkan sokongan terhadap bahasa kebangsaan kita.

Walaupun fikiran aku melihat sinis terhadap program ini namun ku pujuk agar bersangka baik sentiasa. Isu ini bukan isu baru. Tidak sesuai menggunakan istilah tahun untuk menghitung waktunya, malah sejak berabad perdebatannya. Dalam waktu telinga ku masih terngiang ngiang lagi berita dari media melaporkan kehangatan kempen memperkasakan bahasa melayu, alih alih di hujung minggu perdana menteri berucap dengan fasihnya menggunakan bahasa inggeris dalam perhimpunan sebuah parti.

Mana hati tak hangat, mana hati nak yakin, jangan marah kalau orang mempersenda bahasa kita kalau kita sendiri tidak menunjukkan minat terhadap bahasa itu. Jangan harap pada Perkasa kerana ia hanya minat pada politik jer. kalau aku pun keliru dan celaru, bagaimana anak anak aku, kawan anak anak aku, anak kawan kawan aku. Kalau sungguh sungguh inginkan bahasa melayu diagongkan tidak sesusah mana. Yang lebih sukar boleh negara kita laksanakan.

Kalau aku Perdana Menteri, aku akan pastikan semua jemaah menteri aku fasih berbahasa melayu. Sesiapa tidak fasih tidak layak untuk berucap di Perlimen dan Dewan  DUN. Maknanya siapa nak jadi ahli politik kena mahir bertutur bahasa melayu. Sekarang ni apa yang kita lihat amat menyedihkan, macam baru nak belajar cakap melayu. Satu syarat yang mudah untuk dilaksanakan.

Apa yang berlaku sekarang terbalik dengan apa yang mereka war warkan. Sesiapa yang tidak mahir berbahasa melayu tidak ada masalah, malah sesiapa yang tidak mahir berbahasa inggeris payah sedikit. Ada duta asing di Malaysia kata, sejak ia berada di Malaysia bahasa inggerisnya jauh bertambah baik berbanding bahasa melayu. Apakah kita sekadar menggariskan dasar sahaja tetapi tiada perlaksanaan.

 Sinario sekarang menampakkan bahasa dimanupilasi untuk menaikkan politik, bukannya politik itu digunakan untuk memartabatkan bahasa. Jika berkata soal bahasa sudah melambangkan patriotik sedangkan wal asal balik asal. Kertas kerja yang dibentangkan mau pun dibahaskan rasanya terlalu banyak untuk dihitung. Kalau dihimpunkan sejak dahulu dan dicampakkan kelaut sudah boleh menjadi pulau. Maka manalah fikiran ku tidak sinis lagi.




Selasa, Oktober 05, 2010

Doa (Ayat Penggerak)


Ada satu DOA yang pendek tetapi sangat besar manfaatnya sekiranya diamalkan dalam kehidupan seharian kita. Doa yang dimaksudkan seperti sabda Rasulullah s.a.w. Seperti berikut;

Rasulullah s.a.w. Mengajarkan kepada umatnya satu DOA yang jika dibaca tiga kali di waktu pagi Dan tiga kali di waktu petang maka akan terhindarlah kepada yang membacanya daripada segala kemudaratan disepanjang Hari tersebut.
Doa daripada hadis di atas adalah seperti berikut;

Mengikut kamus Dewan Bahasa Edisi Ketiga, "Mudarat" membawa maksud seperti berikut;

1. Tidak Beruntung, Menanggung Rugi
2. Tidak Berhasil, Tidak Berjaya, Gagal
3. Berbahaya
4. Melarat, Bertambah Payah

Dengan itu jika Kita amalkan DOA yang tersebut di atas, insya'Allah Kita akan terhindar daripada "mudarat" yang disebutkan. Maka dengan itu faedahnya yang diperolehi ialah Kita akan;


1. Beruntung, Tidak Menanggung Rugi.
2. Berhasil, Berjaya Dan Tidak Gagal.
3. Selamat dari bahaya.
4. Tidak melarat, Menjadi Senang.


Keberuntungan beramal dengan DOA ini



Terhindar Daripada Bahaya


Tuan Guru Dato' Dr. Haron Din menamakan DOA ini sebagai "Ayat Pengerak" kerana dengan membaca DOA ini boleh mengerakkan hati Kita untuk meneruskan atau tidak bila hendak melakukan sesuatu kerja-kerja yang berbahaya. Tuan Guru memberikan petua bagaimana untuk beramal dengan DOA ini seperti berikut;

. Bila hendak memulakan perjalanan samaada perjalanan yang dekat ataupun jauh, mengembara ke tempat yang telah biasa ataupun yang belum pernah dikunjungi Dan sebagainya atau untuk memulakan sesuatu pekerjaan yang mungkin biasa atau berisiko seperti masuk hutan untuk berburu, memancing, menyembelih binatang, bekerja di tempat pembinaan, Dan seumpamanya, maka sebelum itu bacalah DOA ini sebanyak tujuh kali. Insya'Allah, Allah s.w.t akan melindungi Kita daripada segala bentuk kemudaratan, kejahatan Dan bahaya yang mungkin Ada di sekeliling Kita.

. Jika bacaan tersekat-sekat atau terlupa atau ketika sedang membaca Ada gangguan seperti gangguan telepon berdering, gangguan daripada anak-anak, gangguan daripada rakan-rakan yang menyapa Dan sebagainya yang menyebabkan kosentrasi bacaan terganggu, maka berehatlah dahulu. Jangan diteruskan perjalanan atau pekerjaan tersebut. Setelah berehat beberapa ketika, baca sekali lagi sehingga tujuh kali bacaan. Jika sekiranya bacaan tujuh kali itu lancar baru teruskan perjalanan atau pekerjaan tersebut. Jika diteruskan juga perjalanan atau pekerjaan sedangkan bacaannya tidak lancar, mengikut pengalaman Tuan Guru, Kita boleh terkena dengan kemudaratan yang mungkin Ada dihadapan Kita.

Perlu diingatkan disini bahawa, insya'Allah Kita boleh terlepas daripada kemudaratan yang dinamakan Qada' Muaalaq iaitu ketentuan Allah yang boleh berubah dengan Kita berusaha melalui berdoa kepada-Nya. Bagaimanapun jika ianya Qada' Mubram iaitu ketentuan Allah yang tidak boleh berubah seperti mati maka kalau ajal telah tiba Kita membaca DOA ini seribu kali sekali pun pasti Kita akan mati.


Terhindar Daripada Kemudaratan Makanan


Makanan Dan minuman yang masuk ketubuh badan Kita sebahagiannya mengandungi bahan kimia yang beracun. Racun tersebut tidak memberi kesan untuk jangkamasa pendek tetapi terbukti sebahagiannya memudaratkan tubuh badan untuk jangkamasa panjang. Penyakit yang begitu sinonim dewasa ini dalam masyarakat Kita seperti kanser, diabetes, Dan sebagainya adalah berpunca daripada makanan Dan juga minuman. Untuk mengelakkan makanan yang Kita makan membawa mudarat kepada tubuh badan adalah disarankan agar mengamalkan DOA ini sekurang-kurangnya tiga kali sebelum menjamah apa sahaja makanan Dan minuman. Insya'Allah dengan keberkatan membaca DOA ini semua makanan Dan minuman yang halal, yang dimakan Dan diminum tidak memudaratkan tubuh badan Kita.


Terhindar Daripada Sihir


Perbuatan belajar Dan mengamalkan ilmu sihir hukumnya adalah syirik Dan mereka yang syirik akan mendapat balasan laknat Allah s.w.t. Dan mereka akan ditempatkan di dalam neraka selama-lamanya melainkan jika sempat bertaubat sebelum mati.  

Kesan perbuatan sihir boleh terkena kepada sesiapa sahaja dengan izin Allah s.w.t. Ada sihir untuk tujuan kecantikan seperti memakai susuk Dan kebanyakan amalan sihir adalah untuk tujuan khianat yang boleh memudaratkan seseorang Dan sesetengahnya boleh membawa maut. Ada perbuatan sihir yang sememangnya ditujukan kepada seseorang kerana dorongan hasad dengki, Dan Ada juga yang terkena sihir dengan tidak disengajakan seperti secara tidak sengaja termakan makanan Dan minuman yang mengandungi santau.

Pengalaman penulis berhenti makan dengan seorang sahabat di sebuah gerai makan. Gerai tersebut terletak di tepi jalanraya. Ketika hendak menjamah makanan, tiba-tiba pinggan kaca yang berisi nasi terbelah dua. Dalam peristiwa yang lain, sahabat penulis itu menceritakan dia pernah minum di sebuah restoran dimana gelas ditangannya pecah sebelum sempat sampai ke mulutnya. Kedua-dua kejadian ini berlaku kerana makanan Dan minuman tersebut Ada mengandungi sihir santau. Dia terhindar daripada mudarat sihir dengan berkat beramal dengan DOA ini setiap kali sebelum menjamah makanan Dan minuman.

Dalam hal yang lain pula, Ada juga sihir digunakan untuk tujuan melariskan jualan makanan. Unsur-unsur bahan sihir tertentu dimasukkan ke dalam makanan yang menyebabkan sesiapa yang menjamah makanan tersebut akan merasakan masakan tersebut sungguh sedap. Dengan mengamalkan DOA ini insyaAllah Kita hanya akan merasa yg asal tanpa dipengaruhi faktor lain.


Terhindar Daripada Gangguan Makhluk Halus


Apabila Kita pergi ke sesuatu tempat yang pada kebiasaannya tempat tersebut makhluk halus berkeliaran atau tinggal seperti di tepi tasek, di dalam hutan, di bangunan yang telah lama di tinggalkan dan sebagainya, maka kita terdedah kepada gangguan makhluk ini. Namun begitu jika kita beramal dengan doa ini insya'Allah mereka tidak berjaya untuk mengusik, manakut-nakutkan dan memudaratkan kita.

Satu perkara yang penting juga, apabila kita pulang ke rumah dari tempat yang disebutkan di atas, kadang kala makhluk itu akan mengekori kita dan masuk ke dalam rumah kita tanpa kita sedari. Jika kita mempunyai anak-anak kecil mereka mudah diganggu oleh makhluk ini, akibatnya anak kecil kita menangis tidak henti-henti. Untuk mengelakkan mereka masuk ke rumah kita, bacalah doa ini tiga kali kemudian ludah ke sebelah kiri sebelum kita masuk ke dalam rumah.

Di dalam hadis yang tersebut di atas, Rasulullah s.a.w. mengajarkan supaya membaca doa ini tiga kali, dengan itu mungkin kurang berkesan jika kita membacanya kurang daripada tiga.

Semoga artikel pendek ini memberi manfaat kepada yang membaca dan mengamalkannya, insya'Allah.

Sumber: email
Oleh: Ismail bin Abu Bakar

Sabtu, Oktober 02, 2010

Allahyarham Cikgu Zul

Petang jumaat kelmarin 1 oktober 2010, Cikgu Zulkifli jiran se desa dengan ku telah kembali kerahmatullah. Beliau telah menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Ipoh setelah terlibat dengan kemalangan bersama keluarganya. Alhamdulillah ahli keluarga yang lain selamat.

Arwah baru setahun sahaja pencen 56. Perkhidmatan terakhir beliau adalah di SK Layang Layang Kiri Parit, Perak sebagai guru besar. Beliau berasal dari Bagan Datuk. Semoga roh beliau ditempatkan bersama orang orang yang beriman. Al-fatihah.
** Untuk paparan selanjutnya sila kesini.

Rabu, September 29, 2010

Kaunter Tak Mesra Pelanggan

 Pernahkah anda berurusan di kaunter seperti di atas. Sekali lihat memang tiada cacatnya. Cantik dan kemas. Tulisan menyatakan itu kaunter pun jelas.
Lihat pula gambar ini. Sekarang baru terserlah sedikit apa yang tidak kena pada sesuatu kaunter. Agak agak anda apa yang pemuda berbaju jalur biru dan pakcik berkupiah tu sedang lakukan. Sudah pasti mereka sedang berurusan dengan petugas kaunter tersebut. Jadi mengapa pula perlu membongkok? Disebabkan lubang untuk berurusan itu terlalu rendah. Terdapat pula satu lubang di sebelah atasnya. Apa pula guna lubang itu? Jika untuk berbicara dengan petugas kaunter ianya terlalu tinggi.

Kesimpulannya kebanyakan kaunter berhadang cermin tidak bersifat mesra pelanggan. Sepatutnya keadaan dinyatakan di atas tidak terjadi sekiranya faktor ketinggian masyarakat malaysia diambil kira. Lubang yang dibuat untuk berurusan terlalu rendah dan terlalu tinggi.
 Kaunter tanpa penghadang adalah lebih mudah. Malah kaunter  yang mengendalikan urusan kewangan seperti bank, kini menggunakan konsep tersebut.

Untuk memberi nilai tambah kepada sesuatu kaunter agar lebih mesra pelanggan, bangku disediakan untuk pelanggan yang berurusan dikaunter. Ini boleh memberi keselesaan kepada pelanggan selain meningkatkan tahap kesabaran pelanggan bagi sesuatu urusan yang mengambil masa yang panjang.

Ahad, September 26, 2010

Kaloi Sabah dan Lou Han

Awal bulan ni sebelum hari raya lepas aku beli 2 ekor ikan peliharaan kaloi dan lou han untuk mengisi akuarium aku yang kosong. Akuarium tersebut telah kosang beberapa bulan lepas setelah penghuninya Kaloi Sabah telah mati. Mati ketika saiznya lebih kurang selebar tapak tangan. Aku menjangkakan ia boleh dipelihara lebih besar daripada itu. Atas dasar kurang puas hati aku mahu pelihara spesis itu semula.
 Amat seronok melihat bintik hitam di belakangnya dan 2 urai janggut panjangnya itu.
 Orang lain dah bosan dengan ikan lou han tetapi aku baru terasa nak pelihara pulak. Sekarang saiznya lebih kurang selebar 2 inci. seronok dengan warnanya yang menyerlah. Bonggol ditengkoknya kini sudah mula meninggi.

Insyaallah setahun selepas ini aku akan paparkan semula tentang ikan ini. Kita lihat apa akan jadi pada 2 ekor ikan tersebut. Itu pun kalau umurnya panjang. Lebih penting daripada itu umur pemeliharanya juga turut panjang.

Jumaat, September 24, 2010

Allahyarham Abdul Rahman Bin Isa

Jenazah dah sampai dalam hujan renyai.
Genap sebulan pemergian ibu mertuaku kini bapa mertuaku kehilangan adiknya pula. Pak Long adalah panggilan daripada kami kepada arwah. Beliau telah menghembuskan nafas terakhirnya kelmarin 23 september 2010 diHospital Taiping pada usia 78 tahun.

Jenazah beliau disembahyangkan di surau (taraf masjid) Kampung Kurnia sejurus selepas solat jumaat. Selesai solat jenazah, mayat dibawa ke tanah perkuburan yang terletak di hadapan kilang tayar Silverstone untuk urusan pengkebumian.

Arwah dibawa ke hospital seminggu lepas apabila mengalami kemalangan jalan raya. Motosikal yang ditonggangnya telah ditepis oleh lori menyebabkan beliau mengalami kecedaraan patah kaki dan lain lain kecederaan. Beliau yang kelihatan uzur sejak kebelakangan ini menambahkan lagi teruk keadaanya yang dialaminya. Semoga rohnya ditempatkan bersama roh orang orang yang beriman. Al-fatihah.

Khamis, September 23, 2010

Masjid Al Rusdiah, Kampung Jelutong Taiping

 
 Masjid terletak di laluan Padang Rengas - Taiping. Berhampiran simpang ke Cangkat Ibol. Persekitaran masjid tidaklah berapa luas. Mungkin tidak perlu luas sangat sebab aku lihat kawasan disini banyak masjid. Selang beberapa kilometer sahaja sudah ada masjid lain.
 
Sesuatu yang unik pada masjid ini ialah arah kiblatnya tidak selari dengan binaan masjid. Oleh itu saf dalam masjid ini menyenget kekanan pada kedudukan 60 darjah. Seperti kebanyakan rumah kita, amat susah mendapat kedudukan rumah bersudut tepat dengan arah kiblat. Sepatutnya saf tegak lurus pada kedudukan 90 darjah. Kebiasaan kiblat akan ditentukan terlebih dahulu supaya binaannya mengunjur selari dengan kiblat.
 Tentang kebersihan dan kemasan memang aku puji masjid ini. Tidak seperti sesetengah masjid, tandasnya seperti tandas awam. Jika ada kesempatan lain aku akan singgah ke sini lagi. Bolehlah bertanya arah apakah yang berlaku kepada arah masjid ini. Adakah arah kiblatnya di sedari silap sejak awal pembinaan ataupun selapas binana,

Selasa, September 21, 2010

Terminal Makanan Negara (TEMAN) - Ipoh

Sepanduk di laluan masuk TEMAN
 Hari raya lepas aku ada melihat sepanduk berkenaan TEMAN di Bagan Serai. Paparan daripada sepanduk yang dipamerkan telah menarik keinginan aku dan isteri untuk berkunjung melihat TEMAN tersebut. Jadi sabtu lepas kami telahpun sampai untuk mengetahui lebih dekat TEMAN kita.

Laluan masuk ke TEMAN
TEMAN cawangan Ipoh  seluas 20 hektar terletak di Kawasan Perindustrian Gopeng 2, KM 16, Jalan Gopeng, 31600 Gopeng, Perak Darul Ridzuan‎. Ia dimajukan oleh agensi kerajaan, FAMA. Kompleks bernilai RM116 juta ini dilengkapi berbagai kemudahan asas dari aspek keselamatan, pembangunan dan perbankan.Terdapat 297 lot kedai dengan keluasan sembilan meter persegi setiap satu kini mendapat tempahan dari lebih 336 peniag.
Tanda  A adalah lokasi TEMAN
Buat masa ini terdapat 2 sahaja TEMAN di Malaysia.
1) TEMAN Ipoh, Perak   2) TEMAN Kota Bharu, Kelantan
Pejabat Pengurusan
TEMAN berperanan sebagai sebuah pusat pembekalan makanan moden yang menghubungkan pengeluaran dengan penggunaan. Operasi TEMAN adalah berteraskan kepada suatu sistem pemborongan dan pengedaran yang berintegrasi di mana transaksi pasaran akan dilaksanakan secara telus dan cekap berasaskan penzahiran dan perkongsian maklumat.
Lampu limpah menerangi operasi waktu malam seawal 2 am
 Melihat kepada kawasan TEMAN memang sungguh mengujakan tetapi keadaan masih lengang. Laluan pun sungguh luas. Tiada masalah kepada kenderaan kenderaan besar seperti lori untuk kerja punggah memunggah suatu hari nanti. Kami memilih untuk memasuki pasar ikan terlebih dahulu.
Pasar Ikan




Pandangan dalam pasar ikan


Stor ikan peniaga
Masih banyak ruang niaga yang masih belum dibuka. Berdasarkan tanda nama kedai hampir semua telah dimiliki. Setelah membeli beberapa jenis ikan kami menuju pula Pasar Utama. Pasar ini merupakan bangunan terbesar dikalangan bangunan pasar pasar yang lain. Di sini tempat jualan pelbagai jenis sayur dan lain lain.
Ruang belakang Pasar Utama
Lorong dalam pasar utama

Papan tanda kedai semuanya sama
Antara ruang niaga dalam pasar utama -masih belum dibuka


Pasar ayam dan daging
Pasar bunga dan ikan hiasan
 Terdapat juga beberapa kemudahan asas yang disediakan seperti surau dan kafeteria.
Kafeteria
Baru ada seorang peniaga buka perniagaan
Surau
Ruang solat lelaki


Kiri dewan solat lelaki dan kanan untuk ruang solat perempuan
Untuk maklumat lanjut sila ke sini
 

Isnin, September 13, 2010

Masjid Kristal Terengganu

Aku pernah singgah di masjid yang menjadi kebanggaan penduduk Terengganu. Memang indah binaannya. Menggunakan kebanyakannya bahan kaca dan keluli samalah dengan binaan tempat aku kerja. Pendek kata tak gaduh nak fikir kerja cat mencat. Cuma perlu fikir nak cuci cermin sahaja.
Awal pembinaannya masjid ini pernah menjadi kontroversi kerana matlamat pembinaannya tidak selaras tujuan tempat ibadah. Kos binaan menjangkau RM500 juta. Ada juga mengatakan tiada solat jumaat didirikan di sini. Jika benar apa rasional pembinaannya. Cuma penduduk stempat yang tahu. Aku pun tak sempat nak bertanya. Kurang peramah pulak hari tu.

Sempatlah kami sekeluarga menaiki bot menyusiri kuala sungai hingga ke pertemuan dengan laut bagi melihat keindahan persekitaran. Kini pandangan masjid juga boleh dilihat dari arah laut.

Jambatan ke Gong Badak

Semoga masjid ini yang menelan belanja bukan berpuloh puloh juta malahan ratusan juta dapat mendatangkan manfaat berlipat lipat kali ganda kepada umat islam diterengganu khususnya dan islam keseluruhan amnya.

Khamis, September 09, 2010

Selamat Hari Raya

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI maaf zahir dan batin buat pembaca Teropong Teropong. Semoga Hari Raya tahun ini memberikan kebahagiaan kepada kita semua. Berhati hatilah di jalan raya semoga selamat sampai ke destinasi dan selamat juga kembali ke rumah sendiri. 

Selasa, September 07, 2010

Lebih Terang

Lampu kalimantang jenis baru
Kebanyakan rumah kita menggunakan lampu kalimantang ataupun florescent. Lampu ini memberikan cahaya lebih terang berbanding lampu mentol walaupun masing masing menggunakan tenaga elektrik yang sama.

Tahukah anda kini terdapat di pasaran sejenis lampu kalimantang yang mampu memberikan kecahayaan lebih terang. Ianya adalah keluaran syarikat Philips. Perbezaan dengan lampu lain boleh dilihat pada penutup kiri kanan lampu tersebut di mana ianya berwarna hijau. Ruang yang menggunakan lampu ini akan akan lebih terang berbanding ruang yang menggunakan kalimantang biasa. Kita boleh lihat perbezaannya yang jelas.

Terdapat beberapa ciri kebaikan pada lampu ini. Jaminan ini diberi sendiri oleh syarikat pengeluar tersebut.
80% kurang makuri
Jangka masa hayat lebih panjang

Walaupun sudah lama masih lampu masih putih
 Oleh kerana mempunyai spesifikasi yang lebih sudah tentu harganya pun lebih. Di tempat saya ianya dijual dengan harga RM7 berbanding lampu biasa RM5. Walaupun harganya lebih sedikit tetapi memberi kepuasan kepada cahaya yang dilimpahkan.

Oleh kerana cahayanya tidak menyilaukan ia dapat membantu kecergasan mata yang berpanjangan. Mengurangkan mengantuk ketika membaca. Oleh itu lampu ini amat sesuai dipasang didalam bilik bacaan.

Untuk keterangan lanjut anda boleh melayari sesawang Philips Malaysia.
Tempelan ini sekadar perkongsian, tiada maksud untuk memuji muji dan jauh sekali mendapat royalti.

Khamis, September 02, 2010

Menyelamatkan Peralatan Elaktrik Daripada Kilat

Soket Perantara lengkap dengan Pelindung
Pernahkah peralatan elaktrik rumah anda rosak disebabkan kilat? Sekiranya anda tidak pernah mengalami pengalaman tersebut, anda perlu ingat bahawa kelengkapan elektrik rumah kita sentiasa diancam oleh kilat. Kilat juga mampu merosakkan apa sahaja harta benda yang bukan berasaskan elektrik. Untuk pengetahuan bersama, Malaysia merupakan salah sebuah negara yang mengalami kejadian kilat amat tinggi didunia.

Cara mudah untuk melindungi peralatan elektrik kita ialah dengan menggunakan perlindungan tambahan iaitu soket perantara lengkap dengan perlindungan seperti gambar di atas. Caranya ialah soket perantara terlebih dahulu dipasangkan ke soket pada dinding. Kemudian plug 3 pin peralatan pula dipasang ke soket perantara.  Harus diingat bukan semua soket peranta mempunyai sistem perlindungan. Anda perlu melihat spesifikasinya terlebih dahulu.

Sambungan Varistor didalam soket perantara
Bagaimana ia berfungsi? Terdapat tiga biji Varistor dipasang merentasi setiap terminal dalam soket tersebut. Secara asasnya varistor berkerintangan tinggi pada voltan biasa tetapi berkerintangan rendah ketika voltan tinggi.
Varistor
Kilat boleh dengan mudahnya meningkatkan voltan bekalan hingga ke 6000 volt pada sesuatu masa.  Pada masa tersebut arus akan dialirkan kebumi (ground) melalui varistor.  Kebiasaannya ketika itu juga varistor akan rosak disebabkan tidak mampu menampung jumlah voltan yang terlalu tinggi. Walaupun soket perantara rosak tetapi kita dapat menyelamatkan peralatan yang lebih mahal.
Varistor pecah akibat voltan tinggi
Kerosakan soket perantara dapat dikesan apabila ia digunakan ianya menyebabkan ELCB akan terpelantik (trip). Sekiranya anda mempunyai kemahiran sedikit tentang elektrik anda boleh menggantikan varistor baru yang boleh diperolehi di kedai menjual komponen elektronik. Harga sebiji lebih kurang 70 sen.

Untuk menjamin keselamatan anda dinasihat mendapatkan perkhidmatan juruteknik untuk memperbaikinya. Untuk lebih mudah lagi sila berbelanja untuk membeli yang baru.