 |
| Tempat Ijtimak Tabligh Perak 2012 |
Sesungguhnya orang yang berilmu dan beriman tetap akan tertipu kerana mereka tidak beramal. Orang yang beramal juga tetap akan tertipu kerana mereka tidak ikhlas. Oleh itu setiap amalan mesti kerana Allah.
Kita mesti ingat bahawa persoalan di dalam kubur akan dijawab oleh amalan kita bukannya iman kita. Tinggi manapun ilmunya dalam islam jika tidak beramal dengan ikhlas pasti membawa bencana di dalam kubur. Walau bagaimanapun setiap muslim yang ingin beramal mesti pula mempunyai ilmu dan iman.
Iman kita mempunyai 3 jenis musuh. Pertama musuh yang duduknya dalam badan kita iaitu nafsu. Kedua musuh yang duduknya di luar badan kita iaitu dunia. Ketiga musuh yang keluar dan masuk dalam badan kita iaitu syaitan. 3 jenis musuh ini perlu ditentang bagi memelihara iman kita. Jika kita tewas menentang musuh kafir bermakna kita syahid dan insyaallah syurga menunggu kita. Tetapi jika kita tewas kepada musuh yang tiga itu bermakna neraka akan menanti kita.
Iman dan amal adalah amat penting dalam kehidupan seseorang muslim. Terdapat 4 jenis manusia di muka bumi ini:
1. Hidupnya islam dan matinya pun dalam islam
2. Hidupnya Islam tetapi matinya dalam kafir
3. Hidupnya kafir tetapi matinya dalam islam
4. Hidupnya kafir dan matinya juga dalam kafir
Di manakah kedudukan kita. Kita yang islam ini hendaknya tergolong dalam kumpulan 1 di atas.
Ilmu, iman, amal dan iklas adalah perkara penting dalam kehidupan kita dalam mengejar keredhaan Allah. Janganlah kita sekadar islam di pandangan manusia tetapi hendaklah juga islam di sisi Allah. Allah akan merahmati di dunia dan diakhirat.
Orang yang islam di sisi manusia tetapi tidak di sisi Allah, hanya sekadar dikuburkan di kuburan islam oleh manusia tetapi diakhirat nanti tidak akan mendapat kerahmatan daripada Allah.
Itulah antara pengisian yang dapat aku cedok daripada tazkirah oleh salah seorang maulana jemaah tabligh di Masjid Seri Iskandar malam tadi. Aku dan sebahagian ahli kariah masjid ini mengambil peluang daripada tazkirah tazkirah yang mereka laksanakan sehinggalah hari ijtimak jemaah tabligh Perak lebih kurang 2 minggu lagi yang dianggarkan kehadirannya 10 ribu orang..
Selamat berijtimak kepada jemaah tabligh.