Selasa, Februari 08, 2011

Pemimpin Buang Tabiat

 
Apakah nilai pemimipin yang kita miliki zaman ini? Amat sudi untuk dilantik sebagai pemimpin malah lebih tepat perumpamaannya seperti Lebih Sudu Daripada Kuah. Yang malangnya buat kita apabila tiada tersemat sekelumit pun di hati mereka untuk mengundurkan diri sekiranya kemampuan atau kewibawaannya dipersoalkan. Malah sekarang ini bukan sekadar dipersoalkan tetapi sudah sampai disuruh, dipaksa, dan lebih dahsyat lagi rakyat yang dipimpin sanggup menggadaikan nyawa demi menuntut pemimpin yang tidak ada maruah tersebut melepaskan jawatannya. Persoalannya bukan lamanya pemimpin itu berkuasa tetapi kebolehan pemimpin itu membawa kesejahteraan kepada rakyatnya. Sekiranya rakyat rasa selesa maka pimpinlah selama mana yang Allah redha atas kamu.

Ada kecenderungan pemimpin zaman moden ini ingin mempusakai jawatan mereka. Kununnya darah kepimpinan pada waris mereka akan dapat menyambung kehebatannya. Bukannya kita tidak faham sesungguhnya tujuan utama mereka adalah bagi menutup setiap salah laku yang dibuat sepanjang pemerintahannya. Jika tiada sanak saudara yang dipilih, sekurang kurangnya jawatan itu akan difaraidkan kepada sahabat yang boleh menjamin keselamatan mereka selepas mengkudai rakyat. Walaupun sebenarnya mereka amat berhajat jawatan yang disandang dilepaskan hanya kepada Malaikat Izrail. Tiada lagi dakwa dakwi bagi mereka didunia selepas itu.

Mereka perlu sedar bahawa tiada pemimpin yang kekal didunia ini. Pemimpin yang baik adalah pemimpin yang meletakkan kuasanya di tangan rakyat. Seperti kata Saidina Umar, "Tegurlah aku kalau aku salah". Bukannya "Bekerjalah bersama saya", ..........walaupun saya buat salah?

Seorang pemimpin yang sangat besar sedang berdiri paling hadapan, yang  mengetuai satu jemaah ketika mengadap Allah sw pun boleh ditegur ketika melakukan kesilapan. Subhanallah. Sekiranya pemimpin yang menjadi imam tidak tahu apa kesilapannya dan masih memimpin dalam solat, maka seorang makmum boleh mengambil alih kedudukan imam tersebut. Yang imam perlulah faham jika ada makmum datang kehadapan bermaksud imam tersebut tidak lagi layak untuk memimpin jemaah maka berundurlah. Keadaan akan menjadi baik dan tanpa celaru. Cuba bayangkan jika imam tersebut tidak mahu berundur dan terus ingin mengepalai jemaah maka akan berlakulah kekecohan. Inilah gambaran pemimpin pemimpin keras kepala tak sedar kediri akan kelemahan diri.

Moga pemimpin pemimpin yang kita pilih adalah dari kalangan mereka yang melihat jawatan dan kepimpinan itu satu tanggung jawab kepada Allah dan satu ibadah bukannya satu saluran untuk membolot kekayaan diri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan