Selasa, Februari 18, 2014

Masjid Muktafi Billah Shah Ladang, Kuala Terengganu

Kunjungan aku ke Terengganu kali ini memberi kesempatan untuk aku singgah di masjid ini yang di kenali Masjid Ladang. Persinggahan kami ketika azan maghrib dikumandangkan menyebabkan aku merakamkan gambar secara gopoh. Jadi gambar agak kurang jelas.
Masjid ini terletak tidak berapa jauh dari hotel tempat kami menginap. Saiz masjid ini agak besar juga. Seperti saiz masjid negeri di setengah setengah negeri.




Ajk masjid mengambil initiatif menampal doa doa sekitar ruang wuduk untuk peringatan kepada para jemaah.



Terdapat juga kaunter jualan buku.





Countdown menunjukkan masa sebelum solat fardhu dimulakan. Ini amat penting agar para jemaah dapat menjangka samada mereka empat untuk mendirikan solat kobliah atau tidak.
pada malam tersebut sepatutnya ada kuliah agama yang disampaikan oleh Datuk Hassan Din. Walau bagaimanapun beliau tidak dapat hadir. Ruang masa tersebut digunakan oleh ajk masjid menayangkan video ceramah beliau.
Kreativiti mengurus adalah penting agar masa tidak dipersiakan begitu saja. Cuma ajk yang ikhlas berkhidmat sahaja yang berusaha mencari apa sahaja untuk keperluan para jemaah.

Khamis, Februari 13, 2014

Masjid Ridzwaniah Baling

Kawan bertanya, anak kau dapat sekolah mana. Aku jawab dapat MRSM dekat luar negara. Dengan terkejut dia bertanya, samada MRSM ada cawangan di luar negara. Aku jawab tiada. Dia kelihatan bertambah pening." Tadi kau kata anak kau dapat MRSM dekat luar negara" Aku jawab memang betul, anak aku dapat MRSM Pengkalan Hulu. Kan Pengkalan Hulu dah dekat dengan Thailand. 
 10 Feb lepas hari pendaftaran pelajar tingkatan 4 di semua MRSM. Selepas ucapan Pengetua, PKHEM pula memberikan ucapan. Aku amat tersentuh dan terpanggil untuk melihat kembali satu perkara yang disentuh oleh PKHEM tersebut. Katanya lebih kurang begini,"Kami di sini mengutamakan perkara solat. Sekiranya masalah solat para pelajar selesai maka kami percaya lain lain masalah juga akan turut selesai". Sekiranya pembentukan sahsiah pelajar dibentuk beracukan kepada agama maka agamalah bentuk peribadi yang dilahirkan.  MRSM tempat ramai pemimpin dibentuk maka di sinilah bermulanya bagaimana corak keperibadian pemimpin masa hadapan yang kita bina.
 Selesai proses pendaftaran kami menuju ke Baling. Selain Pengkalan Hulu, pekan Baling merupakan pekan tempat orang ramai membeli belah dan berurusan. Pekannya lebih besar tetapi terletak 15KM daripada Pengkalan Hulu. Aku singgah di Masjid ini untuk menyempurnakan solat zuhur.
 Aku sempat merakamkan sedikit gambar kenangan tentang masjid ini.
 
 
 

Selasa, Januari 21, 2014

Masjid Jamek Lenggong. Perak

Dalam perjalanan menuju Kuala Terengganu bersama kawan sekerja, telah singgah sebentar untuk menunaikan solat asar. Lokasi masjid dapat dikesan melalui GPS. Sekarang otak sudah tidak mahu lagi memikirkan maupun menghafal jalan dengan adanya GPS. Set arah tuju dan jalan. Penggunaannya menyamai fungsi kalkulator membuatkan otak kita sudah tidak mahu lagi menghafal kali kali. Masukkan nombor dah tekan jawapan.
Masjid Lenggong ini sungguh menarik perhatian apabila sesampai sahaja ke perkarangannya. Laksana baru dibina lantaran catnya yang masih baru dan persekitaran yang bersih.
Saudara Zuraimi sedang berwuduk
Selesai berwuduk kami segera masuk ke masjid. Di muka pintu berdiri seorang kanak kanak dengan Surah Yasin di tangan. Aku tengok buku tersebut sudah mulai koyak. Kamera yang masih di tangan tadi terus merakamkan wajah budak tersebut. Aku biarkan beliau sebab kami telah tertinggal 1 rakaat.
Anak siapa agaknya? Bagus membawa kanak kanak ke masjid untuk menanam perasaan cinta masjid dalam jiwa mereka. Apalah sangat nilai surat yasin yang koyak itu berbanding dengan sebuah kecintaan terhadap masjid yang dapat ditanam dalam jiwa kanak kanak itu bagi melahirkan satu genarasi yang mengagungkan dan memartabatkan fungsi rumah Allah suatu hari nanti.
Sudah sampai masanya para jemaah dewasa bijak bertindak menghadapi kerenah kanak kanak di masjid. Di samping menggalakkan kanak kanak ke masjid, mereka perlu diasuh adab adab ketika berada di masjid. bagaimana menghormati masjid dan para jemaah ketika beribadat di masjid. Buangkan segala sikap bertegas tidak bertempat dengan kanak kanak. Itu boleh membuatkan mereka rasa bosan untuk ke masjid. Bagaikata pepatah yang tua disantuni dan yang muda disayangi.
Mana ada kanak kanak yang boleh dihalang dari bermain. Ke masjid pun tujuannya untuk bermain. Sudah menjadi tabiat kanak kanak begitu. Walau bagaimanapun bermain ketika beribadat kepada Allah perlu dijelaskan kepada mereka. Mari kita renung ketika zaman kanak kanak kita dahulu. Memang pernah dimarah tetapi tidak sampai ke tahap membenci surau atau masjid.
Pernah dibaling dengan sejadah kerana bersembang ketika kuliah. Pernah disuruh berulangkali solat semula kerana ketawa ketika solat. Pernah dimarahi kerana bergaduh berebut pemukul kerantong. Berebut azan ketika surau menerima pembesar suara. Pernah menangis ketika dimarahi kerana bermain ketika belajar Al-Quran. Berbagai bagai kenakalan dilakukan kerana ingin mencari keseronokan di masjid atau surau.
Antara perkara yang terukir di kotak ingatan hingga kini ialah suasana suasana di masjid atau surau ketika kanak kanak dahulu. Walaupun ada kaum bapa yang bersikap tegas terhadap kanak kanak tetapi ketegasannya tidak sehingga menimbulkan rasa marah dan benci terhadap surau dan masjid. Seharusnya kita yang mengambil alih zaman generasi bapa itu harus bersikap rasional terhadap kanak kanak demi melahirkan generasi cinta masjid atau surau.
Berbalik kepada masjid yang aku singgah ini, daripada setiap sudut aku lihat semua teratur dan terjaga. Aku sedikit terharu apabila melihat kerusi kerusi simen yang tersusun dibawah pondok ini. Kerusi tersebut didermakan oleh persatuan persatuan yang bukan berasaskan agama islam. Di sinilah terpancarnya semangat setia kaum yang terjalin bagi komuniti daerah ini.
Tahniah kepada jawatankuasa masjid yang menampakkan kerja dan usaha telah dilakukan dengan terserlahnya keceriaan masjid Lenggong ini.

Isnin, Januari 06, 2014

Allahyarhammah Tok Cik Soyah

Tok Cik (sebelah isteri aku) telah kembali ke rahmatullah pada 5 januari 2014 kerana sakit tua. Beliau telah menghembuskan nafas terakhir lebih kurang pukul 7:30 malam di rumahnya. Jenazah beliau di kebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Banjar, Masjid Tinggi Bagan Serai. Semoga rohnya ditempatkan bersama roh roh orang yang beriman. Al-Fatihah.

Isnin, November 18, 2013

Mereka Yang Pergi Dahulu

Al-Fatihah.
Bulan September dan Oktober 2013 adalah jumlah kematian paling ramai orang orang yang ku kenali. Aku pernah mempunyai hubungan secara langsung sebelum ini dengan mereka. Hubungan persaudaran, hubungan sebagai kawan dan juga hubungan sebagai Boss.

Allahyarham Abdul Rahman Bin Zainal (Abang Bai) telah meninggal dunia pada 24/9/2013.

Allahyarham Ismail Bin Syukur telah meninggal dunia pada bulan oktober. Dikebumikan di Puchong.

Allahyarham Pak Oyet. Ini adalah panggilan kami untuk arwah. Aku tidak tahu nama sebenarnya. Arwah adalah adik kepada Arwah Ismail Bin Syukur. Arwah meninggal sehari selepas abangnya.

Kami sekampung, iaitu di Kampung Sungai Bil Slim River. Orang Sungai Bil mempunyai pertalian kekeluargaan antara satu sama lain.

Allahyarhamah Norizan Bt Yaakub  28/9/2013 pukul 6:30am. Jenazah dikebumikan diBeranang. Aku pernah bekerja setempat dengan arwah di Fakulti Kejuruteraan UPM.

Allahyarham Datuk Prof Ir Dr Radin Umar Radin Sohadi berjawatan Timbalan Dekan Fakulti Kejuruteraa, UPM ketika aku bertugas di fakulti tersebut. Arwah meninggal pada13/10/2013. Beliau merupakan wakil Fakulti ke majlis perpisahan untuk aku. yang dianjurkan oleh Jabatan Elektrik dan Elektronik. Arwah pernah menjawat jawatan Ketua Pengarah Kementerian Pengajian Tinggi.

Semoga roh mereka semua ditempatkan bersama roh roh orang yang beriman.


Khamis, November 14, 2013

Bahagia

Barang siapa mahu bahagia sehari, makanlah.
Barang siapa mahu bahagia seminggu, berjalan/melancong lah.
Barang siapa ingin bahagia sebulan, kahwinlah.
Barang siapa mahu bahagia selama lamanya, jadilah orang beragama (Islam).

Isnin, November 11, 2013

Masjid Rafeah, Taman Uda, Alor Setar

 
Sudah agak lama tidak berkunjung ke Alor Setar. Sekurang kurangnya 5 tahun sebab sepanjang pemerintahan Pas diKedah aku tidak kesampaian ke sana walaupun keinginan ada tersemat di hati. Ingatkan pemerintahannya berpanjangan rupanya terkubur sudah mungkin masih kurangnya keyakinan terhadap perjuangan yang ditunjukkan sebelum ini ataupun terumpan dengan tipu daya. Apa pun aku bangga rupanya Alor Setar berkembang seperti ibu negeri ibu negeri lain diMalaysia ini.
Untuk menyempurnakan solat zohor aku singgah di Masjid Rafeah. Masjid ini agak unik sebab binaananya bulat. Ianya mengingatkan aku bazar bulat di Ipoh.
 Di luar dewan solat ada laluan mengelilingi masjid sebagai laluan jemaah untuk memasuki masjid.
Daripada sebelah dalam kita boleh melihat bentuk bulat masjid ini melalui karpet tersebut. Masjid ini tidaklah terlalu besar namun terdapat satu binaan tambahan disebelah masjid ini seperti gambar di bawah.
 Binaan sebelah kanan ini boleh menampung jemaah sekiranya dewan solat utama masjid penuh. Saiznya agak besar.
Yang bagusnya ruang tambahan ini tidak berdinding sebelah tepinya. Ini mungkin untuk kemudahan para musafir ataupun sesiapa yang ingin beriktikaf sekiranya dowan solat berkunci. Ianya dibina dengan sempurna untuk manfaat orang ramai.
Jangan jadikan seperti sesetengah masjid yang dikunci keseluruhannya. Untuk mengelakkan ianya diceroboh oleh anasir jahat menyebabkan masjid tidak dapat dimanfaatkan oleh sesetengah jemaah. Sesuatu pendekatan mesti dicari. Di samping memelihara keselamatan harta masjid, ianya dapat digunakan oleh sesiapa sahaja dan bila bila masa.
Persekitaran masjid nampak ceria dengan tanaman bunga yang menghiasa sekeliling masjid. Tanda arah untuk musafir yang pertama kali singgah seperti aku juga ada.
Bukan sahaja binaan masjidnya bulat tetapi tandas masjid ini juga bulat. Di san terdapat tandas untuk jemaah lelaki dan wanita.
 Di sekeliling masjid tersebut terdapat kolam ikan yang menghiasa persekitarannya. Cuma airnya agak tidak terurus menyebabkan ianya berwarna hijau. Kita pun tahu untuk mengurus sesebuah kolam mempunyai komitmen yang besar dan juga belanja yang banyak untuk memastikan ianya sentiasa dalam keadaan cantik.
 Kawasan meletak kenderaan untuk jemaah juga luas.
 
 Masjid ini dirasmikan pada 29 Julai 1093 oleh Sultan Kedah.
Kita ucapkan tahniah kepada semua pegawai masjid dan kariah masjid yang berjaya menceriakan masjid tersebut. yang lebih penting ialah masjid dapat berfungsi seperti fungsi masjid sebenar dalam menegakkan syiar islam dimuka bumi ini.