Selasa, Disember 06, 2011

Kepala Air Sungai Bil

  Pada entry kali ini kita mahu melihat perbandingan 2 gambar dirakamkan dari tempat yang sama tetapi situasi yang berbeza.  Pada entry sebelum ini ada diingatkan kepada pengunjung bahawa apabila berkunjung ke Sungai Bil untuk berkelah anda hendaklah berhati hati apabila hari hujan ataupun ada tanda tanda hujan turun di ulu sungai seperti   disini  dan disini. Mungkin ada yang tidak ambil kisah sebab anda belum pernah melihat apa dia kepala air. Aie sungai berjeram jika naik amat berbeza dengan bentuk sungai yang lebar kerana sungai tersebut kurang deras.


Jika anda melihat gambar di atas ianya diambil sebulan sebelum gambar berlakunya air naik besar seperti di bawah. Saya memberanikan diri untuk kelokasi yang sama agar anda dapat melihat gambar yang dirakamkan dari lokasi yang sama tetapi situasi yang berbeza. Putik rambutan di atas itu pun telah masak merah. Ia dirakam dari atas jambatan yang tinggi daripada paras air tetapi ketika keadaan air naik besar paras air hampir ke jambatan. Lihatlah betapa dasyatnya bahaya dari air tersebut. Daripada keadaan yang sungguh mengasyikkan berubah kepada keadaan yang boleh mengancam jiwa.

Orang kampung aku fanggil fenomena ini Air Bosar.Alhamdulillah berkat daripada kerahmatan Allah belum ada sejarah anak kampung ini yang dihanyutkan air. Sebenarnya ada beberapa petua untuk mengenal atau mengesan kepala air ini. Antaranya ialah bunyi daripada batu batu yang berlaga. Jika kepala air itu masih jauh ianya dapat dikesan secara begini: kita perlu menyelam sebentar, dimana kita akan dapat mendengar bunyi duk,duk,duk yang datangnya daripada batu batu yang berlaga akibat ditolak oleh kepala air tersebut. Jangan menyelam lama sangat kelak anda pula akan berlaga dengan batu tersebut. Jika anda di hilir sudah dapat melihat kepala air itu tidak perlu lagi menyelam atau anda juga akan dihempas kebatu tersebut. Selain itu ialah terdapat banyak sampah dan daun daun dipermukaan air secara tiba tiba. Itu menunjukkan kedatangan kepala air tetapi tahap kecil.
Gambar ini adalah bahagian hilir pada gambar di atas. Anda akan teruja apabila melihat sungai tersebut. Tambahan pula dengan airnya yang jernih. Cuba bandingkan pula dengangambar di bawah. Cukup menggerunkan.
Sebenarnya air yang naik sebelum ini adalah lebih besar atau dasyat daripada apa yang anda lihat ini. Sila lihat tunggul balak pada gambar tersebut. Walaupun air itu besar tetapi masih gagal menghanyutkan batang balak tersebut. Bayangkan pula besarnya air naik sebelum ini. Sila lihat batang balak tersebut yang dirakam sebelum ini yang panjangnya lebih kurang 50 kaki. Ianya dihanyutkan ke situ kira kira 3 bulan lepas.
Anda boleh melihat palang jambatan pada gambar di bawah ini.

Bandingkan antara tenang dan ketika ganas. Begitu jika Allah ingin memberi peringatan kepada hambanya. Jika kita masih engkar, apakah gambaran ini masih belum cukup untuk kita merasai bahawa Allah mempunyai ancaman yang lebih besar lagi yang masih belum diturunkan kepada kita. Apakah kita ingin menunggu ancaman itu dihantar baharu kita sedar yang kita telah jauh daripada Allah.
Kita tidak sanggup kejadian kejadian buruk yang ditunjukkan oleh Allah sebelum ini seperti Trajidi Kuala Dipang, di Sabah dan yang terbaharu di Cameron Highland berlaku di sini.
Gambar di atas adalah antara lokasi pilihan pengunjung. Memang tenang dan air yang sangat jernih menyebabkan pengunjung sukar untuk pulang awal. Apa perkara pun kita hendaklah sentiasa berwaspada. Bahaya ada di mana mana.
Jika anda berkunjung ke tempat perkelahan ini, tempat di bawah ini sering penuh dengan pengunjung.



Gambar di atas ialah lokasi kampung di mana tempat mandi orang kampung ini. Aku sering menerangkan kepada mereka akan bahaya kesan air besar. Setelah umur mereka berbelas tahun baharulah mereka menyaksikan sendiri kenyataan yang dilontarkan selama ini.
Gambar gambar ini bukan untuk menakut nakutkan anda tetapi untuk memberi kesedaran agar sentiasa berhati hati ketika berada di sungai tidak kira sungai mana sekali pun.

 
Kebiasaannya air ini akan surut dengat cepat. Esok ia akan seperti biasa hanya air agak kemerah merahan. Tetapi air sebegitu agak seronok berendam kerana teramatlah sejuknya. Sungai ini sentiasa menanti kunjungan anda.

Jumaat, November 25, 2011

Desa Yang Permai


Apabila anda melintasi Kampung Sungai Bil menuju ke tempat perkelahan anda akan didendangkan dengan desiran air yang dilagukan bersama bebatu. Inilah semangat keramat yang dikurniakan oleh Allah buat kami sejak beberapa jenerasi.
Air dan batu bagai membentuk lembut dan kerasnya jiwa. Bagai menyatukan yang susah dan yang senangnya bangsa. Bagai akrabnya sesama saudara. Apabila keruhnya di hulu di hilir turut merasa keladaknya. Namun tidak mengapa, apabila keladak itu hanyut dan mendap maka jernihlah kembali airnya. Maka air dan batu kembali bersapa.

Wahai anak bangsaku, lihatlah jernihnya air ini. Air anugerah Ilahi yang telah banyak membasuh daki. Membasuh segala benda yang kita miliki. Kita berwuduk di sini. Kita bersuci di sini. Wahai Ilahi, kau bersihkan juga hati kami yang tak boleh kami basuh dengan air jernih ini. Datangkanlah kami juga sungai keimanan, sungai ketakwaan dan sungai kasih sayangMu. Kau satukan hati hati kami sebagaimana Kau menyatukan air dan batu di sungai itu.

Kawasan perkelahan yang sering dikunjungi pengunjung dihujung minggu. Namun di musim hujan langkah berjaga jaga perlu diambil berat. Air boleh naik secara mengejut terutamanya apabila berlaku hujan di hulu sungai. Lihatlah batang balak pun boleh dihanyutkan inikan pula batang tuboh manusia.
Batang balak di atas dijangkakan tidak kurang 50 kaki boleh dihanyutkan. Jangan jadikan keindahan sungai dan keseronokan anda menyebabkan anda alpa tentang keselamatan.
Gambar di atas merupakan anak anak sungai dari bukit yang menggabungkan diri dengan sungai utama. Sungguh indah dan seronok bagi kanak kanak bermain air di situ.
Berhampiran dengan kawasan perkelahan itu anda akan melihat papan tanda merah. Itu milik seseorang dan anda tidak boleh masuk dan bersantai di situ tanpa kebenaran. Pemiliknya bukan orang kampung tersebut. Terdapat sebuah rumah untuk istirehat di situ.
Rumah ini cukup mahal. Atapnya di buat daripada kepingan kayu yang dibawa daripada Serawak. Air disedut daripada sunyai menggunakan pam. Aku pernah masuk secara sah kerumah tersebut. Masyaallah. Allah mengurniakan rezeki yang cukup hebat untuknya.
Anda dijemput untuk berkunjung. Pepaku di atas juga mengalu alukan kedatangan anda.

Rabu, November 16, 2011

Masjid Jamek Ar-Rahman, Hulu Bernam, Selangor

Hulu Bernam dalam Selangor bersempadan dengan Tanjung Malim dalam negeri Perak. Dipisahkan oleh Sungai Bernam. Masjid ini baharu melalui proses penambahbaikan di mana kini kita boleh melihat akan keceriaannya terserlah apabila berada di luar atau di dalam masjid itu sendiri.

Setiap kali singgah di sini memang dapat melihat jumlah jemaahnya agak ramai. Ditambah dengan persinggahan para musafir bagi memenuhi tuntutan Ilahi.

Kita sering kecewa dengan kebersihan tandas tandas masjid. Namun keadaan tersebut amat berbeza dengan masjid ini. Kebersihan terjaga rapi. Mungkin atas sebab ianya baru, namun walaupun baru jika tidak diberi perhatian terhadap faktor pengurusan kebersihannya tetap akan kotor.
Gambar di bawah adalah satu objek yang agak tidak selesa untuk pandangan mata namun banyak memberi iktibar sekiranya ianya diambil sebagai penghayatan terhadap kematian.

Kereta mayat seperti ini sebaiknya diletakkan di bahagian paling hadapan kawasan masjid agar mudah dilihat dan boleh dijadikan sebagai peringatan atas kematian bagi para jemaah yang menghadiri masjid.

Khamis, November 10, 2011

Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah

Kalau zaman dahulu setiap kali selepas peperiksaan penggal ibubapa akan dipersembahkan oleh anak anak akan kad kemajuan yang menunjukkan prestasi pelajaran mereka. Maka senyum melebarlah ibubapa apabila markah yang terpapar semuanya tinggi. Berkerut serta mencukalah wajah ibubapa apabila pen merah melakar segala markah yang diperolehi anak mereka. Lantaran itu ada anak yang menyorokkan kad laporan daripada pengetahuan ibubapanya.

Sekarang ini kita tidak perlu khuatir akan muslihat anak anak yang berdalih menyerahkan kad prestasi pelajaran mereka. Pihak kementerian telah menyediakan halaman untuk setiap ibubapa meneliti prestasi pelajaran anak masing masing melalui internet. Kemudahan ini dapat dilayari di capaian di bawah:

 http://saps.moe.gov.my/ibubapa2/index.php
Sebenarnya ramai ibubapa yang masih belum sedar akan kemudahan ini. Melalui perkhidmatan ini maka dapat menambah keprihatinan ibubapa terhadap prestasi anak kita. Semoga anak bangsa kita akan lebih maju dalam memperjuangkan agama dan bangsanya di tanah air tercinta ini.
Sekalung tahniah untuk pihak sekolah yang memastikan data murid murid dapat dimuatkan dalam halaman tersebut.

Khamis, November 03, 2011

PM Bersama Rombonagan Kerjakan Haji


Gambar gambar ini diambil daripada Blog Tuan Haji Arshad. Terima kasih untuk beliau:
http://hajiarshad.blogspot.com/2011/11/pm-najib-dan-rombongan-tawaf-ketika.html

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 Semoga PM kita dan rombongan mendapat haji mabrur. Insyaallah akan menambahkan keimanan dan kecintaan terhadap beliau. Moga negara lebih sejahtera dengan perkara perkara yang dilaksanakan di mana islam akan dijadikan landasan dalam membuat pertimbangan.

Isnin, Oktober 24, 2011

Masjid An-Nur, Ulu Kinta, Perak

Jika anda menggunakan jalan antara Ipoh - Tanjong Rambutan pasti anda akan bertemu masjid yang tersergam indah ini.
Jika dilihat daripada luaran sahaja sudah menguja diri kita akan kemantapan struktur bangunannya dan warna yang digunakan. Tetapi paling penting adalah kemantapan iman dalam diri kita dalam menegakkan syiar islam melalui rumah rumah Allah yang terdapat di muka bumi ini.
Beriktikaf di masjid semata mata untuk mencari keredhaan Allah. Memikirkan dan menilai keimanan terhadap Allah. Begitulah kebesaran masjid untuk hamba hamba yang tahu memanfaatkannya.
Bila disebut Tanjung Rambutan langsung orang akan terfikir orang gila. Pekan kembar kepadanya adalah Tampoi yang juga terdapat Hospital Bahagia. Mengapa kita kata bahagia sedangkan mereka dipandang hina di muka bumi ini. Barangkali mereka bahagia nanti di hari akhirat. Seringkali kita memperleceh orang gila dan kurang siuman didunia ini sedangkan di sisi Allah mereka akan ditempatkan disyurga. Pandanglah mereka sebagaimana Allah melihat mereka. Jika mereka telah dijanjikan syurga bahawa mereka sungguh istimewa berbanding kita.

Walaupun hospital bahagia ini adalah tempat orang gila tetapi masih ada jenis gila yang tidak boleh dimasukkan di sini. Tempat yang sesuai untuk mereka ialah dipenjara seperti gila kuasa dan gila seks.
Masjid ini mementingkan juga keceriaan persekitaran masjid. Selain kebersihan yang baik, taman mini berserta pondok di buat untuk kemudahan para jemaah yang singgah untuk berehat.

Terdapat juga menara pemancar komunikasi di sini. Pastinya ia syarikat yang empunya menyewa kawasan tersebut daripada pihak masjid. Ini dapat menampung kos operasi masjik ini.
Kawasan parkir yang luas memberi keselesaan kepada para jemaah terutamanya hari jumaat dan hari hari kebesaran islam. Berkunjunglah ke sini sekiranya menggunakan laluan tersebut.

Jumaat, Oktober 14, 2011

Zikir Karut Tolak Syurga Pulak Dah !

إلهي لست للفردوس أهلاً *** ولا أقوى على نار الجحيم
فهب لي توبةً واغفر ذنوبي *** فإنك غافر الذنب العظيم


Maksudnya:

Wahai Tuhanku, aku tidak layak untuk syurga Firdaus
Bahkan, aku juga tidak sanggup untuk ke neraka Jahim.

Maka kurniakanlah taubat (keampunan) kepadaku dan ampunilah segala dosaku,
Sesungguhnya Engkau Maha Mengampuni segala dosa yang besar.
Kalau ikut jadual sepatutnya kuliah Ustaz Onn malam tadi adalah pengajian tafsir Al-Quran. Aku memang puji ustaz ni tentang pengetahuan semasanya sebab dia ni rajin baca buku. Setiap kali kuliahnya ada saja buku baru yang dicadangkan kepada para jemaah untuk membacanya.

Malam tadi dia langsung tak masuk pasal tafsir sebab dok mengesahkan pandangan seorang ustaz yang bercanggah tentang zikir yang selalu kita dengar iaitu "ilahi las tulirfirdaus" dalam Youtube. Dia tidak menyatakan pengenalan ustaz tersebut. Dia kata kalau nak tahu pergi ke blog Tahu Faham & Amal.
Blog tersebut sudah link ke youtube untuk mendengar apa pandangannya tentang zikir yang selalu kita dengar di TV dan Radio.

Aku ingin mengambil satu hujah yang disebut ustaz Onn malam tadi bahawa ustaz itu tidak dapat membezakan perkataan "tidak layak" dengan "tidak mahu". Budak tahun 3 pun tahu membezakannya. itu belum kita merujuk kepada bahasa arabnya yang kita pasti tentu lebih jelas maksudnya.Itulah sebabnya dinyatakan daripada dahulu bahawa bahasa jiwa bangsa. Tidak faham bahasa maka punahlah bangsa dan agama sekali.

Aku telah membaca jawapan yang dijelaskan dalam blog itu dan mudah untuk faham. Dengarlah dan baca ulasan yang dibuat agar kita tidak keliru dengan pandangan yang berbeza sesetengah ustaz.

Rabu, Oktober 12, 2011

Hudud Yang Tidak Diminati

 https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjhJE9zkx7DMV3oXYEeHosaHn6lWGszqcFf5fnl30cWG2cWIHu_CdYw1z9qucr6JNnHNLqyHoxYVTGv7-2m_MGZvBakOTJwzx3RxEpcI1lwhjVWFBzndI5c9VBYUGwaKEPTtJIuWA3pVr0I/s1600/Padlock3.jpg
Kalau ditanya kepada si perompak, mana kau hendak hukuman penjara atau hukuman potong tangan. sudah tentu si perompak tu pilih hukuman penjara. Sebabnya apabila keluar penjara nanti boleh merompak lagi. Tetapi apabila ditanya kepada si mangsa rompak dah tentu dia mahu hukuman potong tangan dilaksanakan pada si perompak itu. Sebabnya harta dia dan harta orang lain dah kerap sangat kena rompak. Merujuk kepada hukuman yang diguna pakai sekarang ini, siapakah yang dipelihara, si perompak kah atau si mangsa kah?

Aku naik hairan sekarang ini mengapa orang terlalu takut dengan hukuman Allah sedangkan hukuman itulah yang seadil adil hukuman. Hukuman Allah lebih cenderong kepada melepaskan sipesalah daripada dihukum sekiranya pendakwaan dilakukan dengan bukti yang tidak betul betul meyakinkan. Tanpa sedikit kekeliruan. Yang orang takut sangat dengan hukuman Allah ni kenapa? Kalau kita tidak pernah merompak, tidak pernah berzina, tidak pernah memfitnah, nak takut apa dengan hukuman Allah. Mesti terlepas dari hukuman punya. Tetapi undang undang sekular belum tentu lagi, ikut budibicara manusia sebab undang undang itu manusia yang buat.

Sekarang ini manusia lebih suka membuat sesuatu kerana minat bukan kerana perlu. Apabila kita ingin menjaga iman kita mesti melaksanakan apa yang disuruh oleh Allah kerana itu amat perlu bagi kehidupan kita sebagai hamba kepada Allah. Kalau ikut apa yang kita minat, kita akan kontra kepada semua perintah Allah. Oleh itu jadikan setiap kerja yang kita lakukan adalah keperluan yang mesti dilaksanakan kerana ianya tuntutan Allah.

Khamis, Oktober 06, 2011

Masjid Al-Hussaniah Bt. 9 Jalan Trong, Perak

Masjid ini tidak jauh daripada simpang ke Cangkat Ibol. Kecil sahaja saiz asalnya tetapi ruang tambahan memberikan keselesaan untuk jemaah sekiranya perlu. Seberang jalan masjid ini terletak kolam air panas. Aku percaya peminat kolam air panas pasti mengenali masjid ini.

Ini ruang solat jemaah wanita dilihat dari luar.
"Sembahyanglah sebelum anda disembahyangkan". Itu yang tercatat di papan notis di atas. Suatu masa dahulu kata kata peringatan itu boleh pada setiap masjid. Kini agak sukar dilihat. Amat baik sekiranya boleh di praktikkan semula.

Isnin, Oktober 03, 2011

Selamat Menunaikan Fardhu Haji 1432H (2011)

 Apabila setiap tahun bertemunya waktu keberangkatan jemaah haji ke Mekah bagi mengerjakan rukun Islam ke 5 maka akan tersentuhlah setiap hati hamba Allah yang pernah berkunjung ke tanah suci tersebut. Masing masing teringat kenangan lebih kurang 40 hari di Tanah Haram bagi menyempurnakan ibadat yang menuntut kecergasan tubuh badan dan mental. Apapun doa terhadap Allah adalah perkara paling penting dalam mencapai haji mabrur.

Kenangan 10 tahun lepas dengan penerbangan KT92 masih segar dan kuat terpahat dalam ingatan. Barangkali mungkin kenangan tersebut diulang ulang ingat setiap kali tibanya musim haji. Tanyalah sesiapa yang pernah berkunjung, maka akan tersematlah disetiap hati mereka akan keinginan untuk kembali ke sana. Semakin hari semakin menguja. Rindukan Baitullah, rindukan Saffa dan Marwah, rindukan Raudah, rindukan ziarah Makam Rasulullah dan rindukan bersolat di masjid masjid yang menjanjikan lipatan pahala berganda ganda.

Minggu lepas, pada 29 september penerbangan pertama jemaah haji telah pun berangkat Tanah Suci. Perjalanan yang tidak sama dengan mana mana perjalanan lain. Penuh dengan keinsafan dan harapan bagi memohon keberkatan. Menunaikan ibadah yang tidak tahu siapa yang kaya dan siapa yang miskin, berihram yang sama. Tidak tahu siapa yang baik dan siapa yang jahat, kecuali Allah yang tahu segala galanyabagi niat dan perbuatan setiap hambanya. Maka perbetulkanlah niat dan kerjakanlah sebaiknya setiap perkara  rukun dan wajib haji agar ianya diterima Allah dan dikurniakan haji yang mabrur, insyaallah.

Kepada pembaca blog Teropong Teropong yang mengerjakan haji pada tahun ini diucapkan selamat jalan dan moga mendapat haji mabrur.