Sabtu, September 29, 2012

Masjid Al-Khairiah, Air Terjun, Trong Perak

Masjid ini terletak di tepi jalan sahaja. Berhampirannya terdapat sebuah jambatan besi. Jambatan ini agak bising apabila dilalui oleh kenderaan berat. Bagi yang tidak biasa singgah di sini ianya agak mengganggu juga sedikit. Walau bagaimanapun kelihatan kini disebelah jambatan tersebut sedang berjalan kerja kerja memperbaiki jalan. Dipercayai jambatan ini juga akan diganti dengan jambatan lain. Diharap jambatan baru nanti tidak lagi berbunyi bising yang mengganggu jemaah di masjid.

Walaupun masjid ini kecil tetapi kawasan sekelilingnya agak luas. Tiada masalah untuk projek pembesarannya di masa hadapan. Gambar di bawah adalah tempat wuduk dan tandas lelaki.
Baharu baharu ini aku berkesempatan mendengar kuliah seorang ustaz. Beliau menyatakan wang tabung keselurahan masjid dalam negeri Perak adalah sebanyak RM18 juta. Satu jumlah yang agak besar jika dinisbahkan kepada kos pengurusan masjid. Dengan jumlah sebanyak itu sepatutnya tidak ada lagi masalah tandas tidak bercuci, tandas tidak berpintu, majlis ilmu tidak ada, sistem pembesar suara tidak sempurna. Jauh lebih penting adalah wang sedekah dan wakaf orang tidak dilaksanakan tujuannya. Ini bermakna orang yang dipertanggung jawabkan seolah olah menyekat amal kebajikan orang lain. Berbalik kepada tujuan orang bersedekah ialah supaya wang sedekah itu dibelanjakan untuk kebaikan agar boleh mendatangkan pahala kepada yang bersedekah.
Pengurusan wang yang baik adalah pengurusan yang dapat mengimbang perbelanjaan dan aliran wang masuk. Sekiranya wang masuk sehingga wang tabung terkumpul dengan banyak dan perbelanjaan pula tidak secara optimum maka tidak banyak manfaat yang boleh diperolehi.

Apapun tulisan ini bukan untuk mengulas perbelanjaan yang terpamer dalam gambar di atas.

Selasa, September 04, 2012

Masjid Sultan Ahmad Shah (Lama), Pekan Pahang

Dalam kunjungan ke Pekan Pahang beberapa bulan lepas aku juga sempat singgah di masjid ini. Masjid yang digelar Masjid 10 Kubah ini terletak bersebelahan Makam DiRaja dan berhadapan dengan Sungai Pahang. Kubah yang berwarna kuning keemasan menambahkan keceriaan masjid ini.

Oleh kerana aku berada di Pekan selama sehari atas urusan menghantar rombongan perkahwinan sepupuku, maka kami menginap di Pekan. Aku juga sempat berkunjung ke masjid ini di waktu subuh.
Seperti sesetengah masjid yang aktif, masjid ini juga menganjurkan majlis kuliah suboh sempena hari cuti hujung minggu. Masjid perlu diprogram agar menjadi satu institusi yang boleh membentuk masyarakat menjadi masyarakat yang beriman kepada Allah. Oleh itu ahli yang di amanahkan untuk memegang jawatan di masjid mesti mempunyai roh masjid yang mana sentiasa memikirkan bagaimana untuk mengimarahkan masjid agar orang ramai dapat ditarik kemasjid untuk khususnya solat berjemaah.

Walaupun para jemaah yang hadir agak sedikit berbanding masjid yang besar namun sudah cukup dibanggakan kerana memang sukar untuk menarik jemaah terutamanya untuk berjemaah di waktu suboh seterusnya duduk mendengar kuliah tatkala mata masih lagi kelat untuk dibuka.
Bersebelah pagar masjid ini terdapat makam diraja dan juga perkuburan ahli kariah masjid ini. Berdasarkan jumlah kubur yang ada dapat disimpulkan bahawa kawasan ini telah lama digunakan sebagai tanah perkuburan.
Gambar di bawah makam di raja dan aku pasti ia adalah makam sultan. Aku sekadar berdiri di pintu tersebut dan menhadiahkan bacaan Fatihah kepada arwah sultan sultan yang mangkat. Terdapat beberapa kubur di dalam bangunan ini.
Di luar bangunan ini bersebelahan pintu masuk terdapat beberapa kubur kerabat di raja. Aku dapat melihat seseorang duduk di sisi kubur sambil membaca ayat suci Al-Quran. Jika diperhatikah terdapat Al-Quran di sisi beberapa kubur untuk sesiapa ingin membacakan ayat xuci untuk ahli kubur.
 Bagi yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang masjid ini boleh membacanya daripada keratan akhbar di bawah. Banyak fakta penting boleh diperolehi.
 Satu lagi perkara yang aku kagumi tentang pentadbiran masjid ini ialah sikap terbuka mereka dalam menerima kenyataan pengurusan masjid dan fahaman politik. Terdapat beberapa petikan tulisan Tuan Guru Nik Aziz yang ditampal di papan kenyataan untuk tatapan ahli kariah. Sesetaengah masjid perkara ini agak sensitif bagi fahaman mereka. Ternama sahaja sebagai ahli pembangkang pasti ditolak mentah mentah tanpa menilai apa yang diucapkan.
 
 Akhirnya marilah kita berduyun duyun kemasjid seperti bagaimana berduyun duyun orang pergi Jom Heboh. Ahli Jawatankuasa Masjid menganjurkan Jom Jemaah buat semua kita. Jika tidak kita mengisi jawatan kosong ini siapalagi? Jawan kosong ini juga pernah ditawarkan di sini dan saya percaya di mana mana pun ada tetapi mungkin tidak di iklankan tetapi sekadar memanggil 5 kali sehari melalui laungan azan. Marilah mengerjakan solat.

Khamis, Ogos 23, 2012

Berhari Raya Bagai Di Syiria

Sepanjang perjalanan ku kemasjid diiringi bunyi letupan. Di masjid pun letupan tidak henti henti. Namun jemaah tetap meneruskan solat terawih hingga akhir. Sepanjang pulang ke rumah pun masih kedengaran letupan. Ada yang perlahan dan ada yang menggegarkan. Namun aku tetap tenang pulang dengan selamat. Sampai di rumah sudah 11 malam. Pembaca berita Farouk Ismet Amir memulakan dengan isu Syiria. Meletup di sana dan meletup di sini. Aku benar benar dapat menghayati berita tersebut. Sebabnya hampir sebulan sudah letupan demi letupan juga sering berlaku di Malaysia.

Dentuman mercun semakin hebat. Itu petanda hari raya hampir tiba. Dari tahun ke setahun dentuman mercun semakin tidak terkawal. Hingar bunyi mercun dilambangkan sebagai kemeriahan hari raya. Ketiadaan atau kekurangan bunyi mercun dianggap hari raya tidak hidup dan suram. Amat salah jika beranggapan mercun menjadi kemestian untuk menyambut hari raya. Mengikut pandangan PM Dr Asri adalah adalah bidaah sekiranya demikian.

Permainan mercun kini nampaknya sudah tidak terkawal.Walaupun banyak amaran diberi seperti di sini, tetapi orang ramai bagai tidak mengendahkannya. Bunyi mercun yang keterlaluan dilihat sudah menjadikan suasana malam hiruk pikuk. Kawasan masjid dan surau menjadi tempat budak budak bermain mercun. Ketika jemaah bersolat terawih ketika itulah mercun diletupkan dengan hebatnya. Yang sedihnya budak budak tersebut adalah anak di kalangan jemaah itu sendiri. Sudahlah anak tidak diajak solat malah dibiarkan pula mengganggu ketenteraman orang lain.

Fenomena ini dapat aku lihat di beberapa tempat sepanjang ramadhan dan syawal tahun ini. Keadaannya hampir sama sahaja. Bila solat hampir selesai maka kumpulan pemain mercun itu juga selesai bermain mercun. Yang merambu main motor siap sedia untuk menyerahkan kunci motor kepada bapa masing masing.

Budaya main mercun yang tidak mendatangkan faedah kepada masyarakat. Tidak mustahilianya dianggap satu kemestian suatu hari nanti jika tidak dibendung mulai sekarang. Banyak buruk daripada baiknya, kecederaan, gangguan ketenteraman, membazir. Pihak berkuasa tidak boleh sekadar menggertak sahaja. Memerangi mercun hendaklah dibuat seperti memerangi dadah. 

Jika zaman dahulu kesungguhan pihak polis membendung permainan mercun dan meriam jelas terbukti. Rondaan sering dilakukan. Waima kampung yang jauh pun akan didatangi oleh anggota polis. Seperkara yang kita perlu ingat bahawa mercun itu dibuat daripada belerang. Belerang ini boleh dijadikan bahan letupan. Adalah bahaya sekiranya pengedaran mercun tidak dikawal kerana ia boleh dijadikan senjata. Sudah tiba masanya pembenterasannya dilakukan dengan serius.

Jumaat, Ogos 10, 2012

Imam Muda Yousef Abu Eida Dari Gaza

Masjid Daerah Manjung telah menerima kehadiran imam muda Yousef dari Gaza. Sebelum ini aku dapat bersama imam muda Ustaz Mu'min Falah Ali Hawas di masjid UTP. Ingin tahu berkenaan imam imam muda yang di bawa dari Gaza, sila lihat di sini.

Selepas 4 rakaat pertama diadakan tazkirah daripada Imam Muda Yousef dan wakil Aqsa. Imam Yousef tidak berbicara panjang sekadar meluahkan keperitan yang ditanggung oleh warga Palestin akibat penindasan dan kezaliman daripada rejim israil laknatullah. Beliau menyatakan tangannya masih terasa sakit akibat dipulas ke belakang oleh tentera israil.

Pada sebelah siang tadi mereka menghadiri satu program di satu organisasi di Manjung. Wakil Aqsa menerangkan dalam majlis tersebut imam muda ini telah menjawab beberapa persoalan yang di utarakan kepadanya. Antara soalah yang dilontarkan terdapat satu soalan yang menyentuh hati wakil Aqsa tersebut. Penanya bertanya lebih kurang begini, "apakah jaminan bahawa kilang roti yang yang dibina daripada wang derma tidak akan dirobohkan". Soalan tersebut seolah olah menggambarkan kesungguhan untuk merasaai bersama keperitan warga Gaza.

Fikran aku terus menjawab, bahawa nyawa mereka (warga Gaza) sendiripun mereka tidak boleh jamin selamat daripada kekejaman israil, mana mungkin ia boleh memberi jaminan terhadap kilang roti yang akan dibina. Apapun imam muda difahamkan telah menjawab dengan berkata bahawa roboh meroboh adalah kerja mereka (israil), kerja kami adalah akan membinanya semula. Sungguh cekal jawapan dari seorang remaja bergelar imam yang baru berumur 18 tahun.

Di masjid, risalah berkenaan program yang dianjurkan oleh Aqsa Sharif untuk membantuk bangsa seugama dengan kita diedarkan. Risalah seperti di bawah. Setiap sumbangan insyaallah ada kebaikannya daripada Allah untuk kita dan untuk warga Palestin.






Khamis, Ogos 02, 2012

Imam Muda Gaza, Palestin

Melalui radio kereta aku dengar Pertubuhan Aqsa Sharif ada membawa 4 orang imam dari Palestine untuk menjelajahi serta mengutip derma ke masjid masjid di Malaysia. Tanpa meletakkan sebarang harapan antara mereka akan singgah di tempat aku, maka cerita dari corong radio tersebut tenggelam begitu sahaja.

Malam isnin lepas aku agak lewat sampai ke masjid maka aku cuma dapat solat dalam kumpulan saf belakang sahaja. Walaupun dalam bulan Ramadhan ini ramai imam imam bertugas dikalangan pelajar pelajar arab di masjid UTP, tetapi imam solat isya kali ini aku dapati agak berbeza daripada biasa walaupun bacaannya ada slanga arab juga. Tidak dapat diterjemahkan dengan bahasa, cuma apa yang aku boleh dikatakan, sungguh seronok, sedap dan syahdu.

Kelmarin aku dapat jawapan siapakah yang mengimamkan solat tempohari. Saya ingin mengajak para pembaca agar jangan melepaskan peluang sekiranya para imam ini berkunjung ke tempat anda. Bagi yang telah dapat bersama mereka sebelum ini pasti dapat menggambarkan akan apa yang aku nyatakan.


Untuk mengetahu jadual senarai lokasi imam imam yang lain sila dapatkan di sini.  Semoga kehadiran mereka di Malaysia mencapai hasrat yang diimpikan.

Khamis, Julai 26, 2012

Masjid Sultan Ahmad Shah (Baru), Pekan Pahang

Sepanjang satu hari berada di Pekan aku tidak melepaskan peluang untuk berkunjung ke masjid ini yang pada hemat aku ianya baru siap di bina. sungguh indah dan selesa. Tidak ralatlah PM menjadi calon di sini.
Melihatnya sahaja sudah menyejukkan mata ini kan pula masuk ke dewan solatnya. Jarak masjid ini dengan Masjid lama tidak berapa jauh. Walau bagaimanapun masjid lama (entry akan datang) masih digunakan oleh jemaah.
Memang berat tanggung jawab untuk mendirikan sebuah masjid terutamanya masjid sebesar ini. Tetapi lebih berat lagi tanggung jawab kita untuk mengimarahkan masjid agar berfungsi selayaknya. Janganlah masjid yang didirikan mencecah puluhan juta ringgit tetapi peranannya sekadar tempat kariah menunaikan solat jemaah.
Semasa zaman nabi dahulu masjid didirikan daripada tanah liat sahaja. Peranannya cukup besar sehinggakan  mampu melahirkan manusia yang baik. Apabila masyarakat baik maka kehidupan akan menjadi berkat dan persekitaran hidup akan aman damai. Kecil, besar, usang, cantik tidak menjadi faktor utama dalam mencapai matlamat ini. Yang penting orang yang dipertanggun jawabkan ada rasa cinta terhadap masjid. Oleh itu masjid perlu disibukkan dengan aktiviti aktiviti berfaedah demi mendekatkan jemaah dengan Allah. Janganlah ajk yang dilantik dikalangan orang penting tetapi masjid seolah mandul dengan majlis majlis menyebut dan mengingati Allah.
 Ingatlah bahawa setiap kerja adalah ibadah sekiranya ianya disandarkan kepada Allah. Oleh itu ganjaran mesti ada di sisi Allah. Walaupun kita tahu alaun dibayar kepada ajk masjid namun jangan jadikan ianya sebagai sebab untuk memagang jawatan dalam masjid. Sekiranya kita meletakkan yang utama adalah ibadah maka sudah pasti tiada sebarang masalah akan timbul dalam menguruskan sesebuah masjid.
Tempat solat wanita di sebalik pagar ini.

Tempat menguruskan jenazah juga ada tersedia. Tidak pasti samada ianya telah digunakan atau belum. Apapun sesiapa shaja akan menolak untuk merasmikan bilik tersebut.
Ketika keluar daripada kawasan masjid aku melalui kuaters imam/bilal. Usaha menempatkan imam dan bilal tinggal diperkarangan masjid adalah sangat baik. Ini bagi memastikan imam dan bilal akan berada pada setiap waktu solat di masjid. Memang ada setengah masjid imam dan bilal tidak hadir ke masjid mungkin rumah mereka jauh daripada masjid atau tempat kerja mereka.

Sebaik melintas keluar pagar aku berharap suatu hari nanti aku diberi rezki untuk hadir lagi ke sini. Pastinya wajah masjid ini akan kian suram. Apapun suram itu melambangkan akan kematangan pengurusan masjid demi menegakkan syiar islam di muka bumi ini.