Sekolah Kebangsaan Slim Village, Slim River. Perak, di sinilah aku memulakan alam persekolahan dalam hidup aku. Sebelum tu aku tak kenal tadika, tidak mengapa sebab majoriti kawan kawanpun sama dengan aku. Menjejakkan kaki ke sekolah dengan berbekalkan ilmu yang amat sedikit. Sekadar tahu 1,2,3, A, B dan C saja. Sekarang ni bangunan sekolah tu sudah tiada, dirobohkan dan dibina rumah kakitangan guru, manakala sekolah baru pula didirikan 2 KM dari tapak lama iaitu di Kampung Sawa Slim Village. Nama sekolah masih dikekalkan sehingga sekarang. Sehingga sekarang aku amat mengagumi kecantikan lencana sekolah ini, tetapi aku tidak tahu siapakah penciptanya.
Sudah hampir 40 tahun sekolah ini aku tinggalkan namun aku masih ingat semua guru yang mengajar aku dari darjah satu hingga darjah enam. Zaman dahulu cuma 3 orang sahaja guru yang mengajar kita dalam satu tahun. Seorang guru mengajar bahasa inggeris, ustaz mengajar agama dan semua matapelajaran lain akan diajar oleh guru kelas.
Cikgu Saleh,
Guru kelas darjah 1. Cikgu inilah yang memperkenalkan aku huruf huruf A sampai Z dan menghafalnya dengan baik. Cikgu ni agak hebat sebab memiliki kereta
Iskura (macam ni) .
Cikgu Fatimah
Guru kelas darjah 2. Beliau ialah isteri kepada Cikgu Saleh. Suatu yang aku ingat tentangnya ialah dia tidak garang.
Cikgu Aminah
Guru kelas darjah 3. Aku pernah jadi orang kuatnya. Tukang pegangkan budak budak yang akan didenda. Dendanya ialah muka mereka diconteng dengan kapur warna.
Cikgu Manap
Guru kelas darjah 4. Suatu yang aku tidak lupa tentang cikgu ini ialah cara dia memegang buku. Jadi bahan ketawa murid murid. Ibu jari diletakkan dicelah jari telunjuk dan jari tengah.
Cikgu Ismail Bin Limat.
Guru kelas darjah 5. Cikgu ismail berasal dari Melaka. beliau kesekolah memandu kereta Volvo. Sepanjang persekolahan aku cikgu Ismail merupakan cikgu yang unik. Beliau merupakan cikgu yang sangat garang. Kebiasaannya cikgu yang garang tidak digemari oleh murid murid. Jika cikgu tersebut tak hadir, semua murid akan gembira. Tetapi berbeza dengan cikgu Ismail, aku sentiasa selesa dengannya walaupun dia garang.
Ketika kami darjah 5, kabanyakan murid sudah boleh menghafal kali kali (darab) 1 hingga 16. Sesiapa yang tidak hafal tidak dibenarkan berada dalam kelas Ilmu Hisab. Ia amat terkenal dengan penampar Jepunnya. Boleh dikatakan semua murid pernak merasai kehebatan penampar jepun walaupun tidak pernah hidup di zaman jepun. Ia juga mengamalkan kawan hukum kawan. Jika seseorang murid boleh menjawab soalannya, ia diminta menampar kawan kawan yang tidak dapat menjawab sebelum itu.
Selepas Peperiksaan Penilaian Darjah 5, beliau pernah membawa kami rombongan ke Kuala Lumpur. Banyak peristiwa manis bersama beliau yang masih segar dalam ingatan aku.
Cikgu Kamarul Baharin
Cikgu kelas darjah 6. Kalau Cikgu Ismail paling garang, Cikgu Kamarul Baharin cikgu yang paling lemah lembut dengan murid murid. Begitulah keadilan Allah. Sesuatu yang aku ingat cikgu ni, beliau suka membawa komik komik anaknya kesekolah. Koleksi komik itu kami susun di belakang kelas sebagai mini perpustakaan. Antara komik yang banyak ketika itu ialah Bambino, Bujal, Tarzan.
Ustaz Rafaat.
Sekolah kami masa tu ada seorang sahaja ustaz iaitu Ustaz Rafaat. Beliau kesekolah menaiki Vespa. Orangnya kemas dan tinggi. Satu kelebihan ustaz ni ialah beliau sering menjadi johan tilawah daerah Slim.
Arwah Cikgu Baki (guru besar)
Cikgu Baki menjadi Guru besar menggantikan Cikgu Yusof yang pencen. Beliau duduk di rumah guru dalam kawasan sekolah. Rumahnya di bahagian hadapan sekolah. Kami jarang bermain di kawasan hadapan sebab sentiasa dapat diperhatikan olehnya. Beliau telahpun meninggal dunia ketika aku telahpun menamatkan zaman persekolahan. Semoga roh beliau ditempatkan bersama roh orang orang beriman.

Selepas darjah 6 aku bersekolah di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Slim River. Nama sekolah ini tidak wujud lagi. Ianya telah ditukarkan kepada SMK Dato Zulkifli Muhammad , Slim River pada tahun 1991. Sekolah ini mula ditubuhkan pada 1962.
Berikut guru guru yang masih aku ingat namanya.
Mr Yong - Guru kelas Tingkatan 1 juga guru Bahasa Malaysia
Cikgu Norazan
Cikgu Salmah
Mr Khoh Ngan Chia - Guru Kelas Tingkatan 3 juga Guru Bahasa Inggeris
Yaakob Abd Rahman - Guru Matematik Tingkatan 3
Mokhtar Bin Paiman - Guru Sivik Tingkatan 3
Cikgu Abdullah - Guru Matematik Tingkatan 4
Cikgu Kamarun - Guru Bahasa Malaysia Tingkatan 4 dan 5
Cikgu Kamala Devi - Guru Bahasa Inggeris Tingkatan 5
Mr OOi - Guru Fizik Tingkatan 4 dan 5
Cikgu Gulam Rasul - Guru Kimia Tingkatan 4 dan 5
Cikgu Murugiah - Guru Biologi Tingkatan 4 dan 5
Pengetua yang berkhidmat semasa aku bersekolah
Mr Mahinder Singh, bertukar pada tahun 1979
En Mohd Azhari bin Arbi, menggantikan pengetua pada tahun 1980
Aku cuba mengimbau semua guru. Namun sekadar ini yang masih terpahat dalam ingatanku. Yang lain bukan bermakna aku lupakan mereka. Sudah fitrah hidup, ingatan akan dimamah usia. Mungkin ada yang telah meninggalkan kita. Kepada mereka aku doakan semoga roh mereka mendapat keredhaan dan keberkatan daripada Allah atas ilmu yang dicurahkan. Buat yang masih ada diucapkan SELAMAT HARI GURU.