Isnin, April 26, 2010

Konsert Kembara Sufi 8

 Sabtu lepas sempat aku bersama isteri mengunjungi satu program hiburan. Anak anak pula menolak pelawaan lantaran kerja sekolah yang banyak. Kebiasaannya mereka yang lebih teruja, sebaliknya tahun ini ibubapa pulak yang lebih bersemangat. Progaram dianjurkan oleh para pelajar daripada beberapa persatuan islam Universiti Teknologi Petronas. Program ini menjadi aktiviti tahunan mereka yang mana menjemput pelbagai penghibur nasyid negara. Sesungguhnya hiburan yang ditampilkan menjadi satu wadah untuk memperkenalkan bentuk hiburan terkini yang berlandaskan syariat islam.

 Kaunter Tiket dan Urusetia Program

Sebenarnya aku tidaklah merancang sangat ingin ke konsert ini. Oleh kerana kebetulan cuti dan ada kelapangan jadi apa salahnya buka minda sementara sedikit akan perkembangan dunia nasyid tanahair.


 Islam tidak melarang umatnya berhibur. Berhibur juga boleh mendidik jiwa kearah nilai-nilai murni dan juga boleh menyatukan masyarakat dengan penghibur. Islam terlah menggariskan tatacara hiburan, cuma umat islam perlu melaksanakan agar hiburan itu tidak membawa umat islam kelembah penghinaan dan kehancuran. Irama nasyid terkini yang di bawakan melalui semua siri Kembara Sufi mampu memupuk dan mendidik minda para remaja melalui hiburan alternatif ini.


Pada tahun ini 3 penasyid diundang untuk membuat persembahan iaitu Azhan (Juara AN1), Kumpulan Rabbani dan Kumpulan Shoutul Harakah dari Indonesia.

Persembahan Saudara Azhan memang mantop (kata ustaz Zamri TV9). Suara yang mirip Jamal Abdillah tidak menghampakan para hadirin. Beliau mengalunkan 4 buah nasyid.


Malam itu Rabbani hanya menampilkan 6 orang anggota sahaja. Sejak pemergiannya kerahmatullah Ustaz Asri selaku ketua kini Rabbani tinggal 8 orang sahaja. Tempatnya diambil oleh Ustaz Zul yang mana beliau juga mampu menyampaikan persembahan yang baik. Oleh kerana telinga kita telah sinonim dengan suara Arwah Ustaz Asri maka terasa sedikit kekurangan pada persembahan, seolah makan nasi tanpa ulam.


Shoutul Harakah pula menampilkan 5 orang sahaja anggota mereka. Penampilan mereka mendapat tepukan gemuruh daripada penonton. Aku percaya tepukan itu datangnya daripada para pelajar Indonesia di sini.


Kumpulan Rabbani kembali semula ke pentas. Pengacara majlis menemuramah Rabbani bagi mendekatkan kumpulan tersebut dengan penonton.


Bagi menghangatkan lagi dewan yang sangat sejuk itu, Rabbani mengundang Saudara Azhan bersama membuat persembahan.


Persembahan malam itu diselang seli dengan beberapa montaj. Selepas itu para pengacara akan memilih penonton untuk menjawab soalan daripada montaj tersebut. Bagi yang berjaya mereka akan menerima hadiah daripada Saudara Azhan dan wakil Rabbani. Yang berbaju putih tersebut adalah salah seorang penonton yang berjaya menjawab dengan betul. Paling kiri dan kanan dalam gambar diatas adalah 2 orang pengacara yang aku tidak kenal mereka tetapi aku percaya mereka adalah pelajar UTP.


Kebiasaannya pemberian hadiah melambangkan majlis hampir kepenghujungnya. Aku mula bergerak turun daripada tempat duduk. Sudah terdapat juga beberapa orang penonton sudah berada di luar dewan.


Beginilah suasana di luar dewan ketika penonton mulai keluar dari dewan. Jauh bezanya jika dibandingkan dengan penonton penonton yang keluar daripada konsert rock atau mana mana konsert yang becanggah dengan islam. Mereka penuh sopan dan beretika. Tidak seperti macam orang mabuk yang terpekik pekik seperti yang dapat kita lihat dalam konsert konsert di dalam TV. Banner dalam gambar itu tidak ada kaitan dengan konsert Kembara Sufi 8.

Gambar gambar aku ambil dari jarak yang jauh. Aku tidak dapat tempat duduk depan sebab aku bukan VIP lantaran juga aku datang lambat. Orang lambat biasanya akan terkebelakang. Apapun cukup menggambarkan akan suasana konsert bercorakkan islam.

Khamis, April 22, 2010

Mengungkit-ungkit

Mengungkit ngungkit sesuatu pemberian dikira riak. Ada dermawan suka mengungkit sumbangannya. Ada kawan suka  mengungkit bantuannya. Ada juga kerajaan yang suka mengungkit pembangunan yang dibuatnya. Allah berfirman: 
Maka perumpamaan orang itu seperti batu licin yang di atasnya ada tanah, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu menjadilah dia bersih (tidak bertanah). Mereka tidak menguasai sesuatupun dari apa yang mereka usahakan; dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang kafir.” (al-Baqarah, 2: 264).
Sesungguhnya orang yang ikhlas yang mengharapkan keredhaan Allah sentiasa menghindari sikap buruk ini.

Terdapat 2 golongan yang boleh bersifat mengungkit pada sesuatu keadaan, iaitu ibubapa dan golongan guru.

Ibubapa boleh mengungkit akan jasa yang dicurahkan terhadap anak anaknya andaikata anak anaknya bersikap tidak tidak mengenang jasa terhadap kedua ibubapanya mengikut yang dianjurkan agama.

Manakala  golongan guru pula boleh mengungkit akan ilmu baik yang dicurahkannya andaikata anak didiknya telah lari dari landasan ajarannya.

Sikap mengungkit ngungkit amat dilarang. Selain daripada menghilangkan pahala sendiri dan dibenci Allah ianya boleh menimbulkan rasa sakit hati pada yang menerima pemberian.

Sikap suka mengungkit peristiwa lama pula demi menjatuhkan maruah seseorang perlu dihindarkan. Yang mengungkit ngungkit perkara baik pun dilarang ini kan pula mengungkit ngungkit perkara buruk. Fenomena ini amat jelas untuk dilihat apabila musim pilihanraya. Samada ianya berunsur fitnah maupun benar, sesuatu niat itu akan menjerumuskan ke perbuatan maksiat.


Maka, bersegeralah kita menjauhi hal-hal yang seperti itu dan menerapkan keikhlasan dalam setiap amal perbuatan kita dengan mencari redha dari Allah s.w.t.

Isnin, April 19, 2010

Masjid Nurul-Hidayah, Sungai Bemban, Kuala Trong.

Sebuah masjid yang sederhana besar tapi ceria. Aku juga biasa singgah di sini bila ke Taiping.

Halaman masjid yang bersih dan kemas.
Kolah masih digunakan utk berwuduk. Air sentiasa dijaga rapi demi memastikan kebersihannya.

Pondok letak kenderaan untuk para jemaah.

Rabu, April 14, 2010

Ikan Ikan Sungai Bil 1

Aku rasa bertuah dilahirkan di kampung ku ini. Suatu yang amat berharga kurniaan Allah memberikan jutaan nikmat untuk penduduknya. Sesungguhnya menjadi nadi kehidupan sebelum sumber air dibekalkan oleh kerajaan. Segala puji bagi Allah kerana air mentah daripada sungai ini menjadi minuman ketika itunamun seperingatan aku tiada orang kampung pernah mengidap penyakit taun. Airnya amat jernih yang mengalir menyusuri dicelahan batu mengiramakan desiran yang lunak buat santapan halwa telinga sejak berzaman.
Tidak sekadar air bersih lagi jernih kurniaan Allah, didalamnya pula terdapa tberbagai jenis ikan yang boleh ditangkap untuk dijadikan sumber lauk kepada penduduk. Sesiapapun tahu ikan yang hidup dalam air sungai yang jernih dan deras mempunyai kesedapan yang istimewa. Orang dahulu tidak gaduh dengan lauk untuk dijadikan hidangan. Didalam sungai tersebut tersedia khazanah sungai yang boleh dinikmati kesedapannya. Pilih sahaja jenis mana ikan yang ingin dimakan. Yang kecil ada, yang besar pun ada.
Antara nama spesis ikan yang ada di Sungai Bil ialah Selimang (Siammese algae eater), Lelan, Tengas, Sebarau, Putih, Sisik Tebal, Lamasai, Tilan dan lain lain. Yang paling popular dan banyak ialah Selimang dan Tengas. Ikan Selimang adalah seperti gambar di atas yang bulat dan panjang. Yang 2 ekor sebelah kanan itu ialah ikan Lamasai. Kemungkinan nama nama ikan yang disebutkan tidak sama dengan nama panggilan pada masyarakat lain walaupun jenis ikannya sama. Keistimewaan ikan Selimang terletak pada telurnya. Apabila digoreng telurnya yang berwarna kelabu akan bertukar menjadi warna merah. Anda boleh lihat telurnya di bahagian perutnya pada gambar di bawah.
Ikan selimang (Siammese algae eater) dan ikan lain yang bersaiz kecil kebiasaannya digoreng sahaja. Walaupun tulangnya banyak, apabila telah digoreng ianya akan menjadi garing dan boleh dikunyah begitu sahaja.
Apa bila pulang ke kampung, sambil mandi manda di sungai kebiasaanyan aku akan membawa peralatan menangkap ikan. Sekadar mengingati nostalgia ketika remaja dahulu yang mana aktiviti mencari ikan dengan kawan kawan menjadi sebahagian daripada permainan kami. Bukan semua orang mempunyai kemahiran istimewa ini. Jumlah ikan ketika itu banyak. Kini jumlahnya masih banyak namun saiz ikan ikan nya agak kecil sedikit berbanding dahulu.
Jala merupakan peralatan yang kerap digunakan di sungai ini. Terdapat juga teknik lain yg digunakan tetapi cara ini lebih praktikal (cara lain mungkin akan dimuatkan kemudian).
Aku tidak pasti masyarakat lain memanggil benda di atas ini apa. Tapi kami dikampung memanggilnya teropong . Cara memakainya ialah dengan melekapkan teropong tersebut dimuka dan tali getah hitam itu ditarik ke belakang kepala. Sebenarnya getam hitam itu adalah tali gantian. Tali getah asalnya telah putus. Maklumlah teropong ini terlah berusia lebih 10 tahun. Harganya ketika itu sekitar RM6 sahaja.
Umpama satu keajaiban di mana kita akan dapat melihat di dalam air seperti kita melihat di daratan. Penglihatan akan jelas apabila air dalam kejernihan. Ini akan memudahkan untuk melihat keadaan ikan didalam air.
Untuk muhasabah diri kita perlu melihat diri dari sudut luaran dan dalaman. Mana mungkin kita melihat dalaman diri tanpa ilmu. Sama seperti kita melihat di daratan, ke dalam sungai dan lautan. Mana mungkin kita boleh melihat didalam air tanpa alatan seperti teropong. Inilah asal nama blog aku.




Jumaat, April 09, 2010

Masjid Ehsaniah, Padang Serai, Pantai Remis. Perak

Masjid ni salah satu masjid yang menjadi tempat singgahan aku juga kalau ke Taiping. Di halaman masjid terdapat ruang lapang berpagar seperti pentas untuk membuat persembahan. Aku tidak pasti apa tujuan benda ni dibuat. Sesungguhnya ia amat bermanfaat sekiranya dijadikan medan syarahan atau ceramah agama. Boleh juga untuk pentas tilawah Al-Quran.

Kemudahan begini sepatutnya dimanfaatkan untuk mengembangkan syiar islam. Masjid mesti mampu untuk menarik penduduk untuk menghadirkan diri ke masjid. Masjid tidak boleh dijadikan tempat solat sahaja. Skopnya perlu diperluaskan. Aktiviti setempat sebaiknya bertumpu ke masjid agar jiwa umat islam lebih rapat dengannya.
Mari kita muhasabah diri kita bersama, sejauh mana kecintaan kita terhadap masjid yang merupakan lambang syiar islam. Berapa kerap kita menjejakkan kaki kita ke masjid dalam seminggu. Adakah sekadar sekali iaitu bagi menunaikan solat jumaat. Adakah kita kenal dengan imam imam , bilal bilal, tok siak tok siak masjid kita. Berapa ramai ustaz yang mengajar di masjid yang kita kenal.

Saya teringat sebuah cerita yang disampaikan seorang ustaz. Ia berjumpa seseorang yang tidak dikenalinya di sebuah hospital. Apabila ia bertanya orang lelaki itu dimana ia tinggal, orang itu mengatakan di Taman M. Ustaz bertanya lagi, sudah berapa tahun. Ia menjawab ia tinggal di situ sudah 8 tahun. Terkejut ustaz itu kerana ia tidak kenal lelaki itu sedangkan mereka duduk setaman.

Oleh kerana lelaki itu pun tidak kenal ustaz itu, ia bertanya kembali dimanakah ustaz itu tinggal. Ustaz membalas Taman M juga. Tercengang ia kerana ia tidak pernah berjumpa ustaz tersebut. Sedangkan ustaz itu sering memberi kuliah di surau Taman M. Selain itu ustaz tersebut merupakan salah seorang imam surau. Sekiranya penduduk Taman M tidak kenal ustaz itu boleh diumpamakan seseorang yang tidak kenal ketua jabatannya. Sekiranya ia pernah berjemaah ke surau, sekurang kurangnya ia akan kenal imam.

Bayangkanlah perkara apakah yang menyebabkan ia amat jauh dengan surau atau masjid. Amat jauh dengan imam dan ustaz. Sedangkan sebahagian hidup kita amat memerlukan golongan itu. Kahwin kita perlu imam/juru nikah. Kenduri arwah kita perlukan orang masjid untuk membaca Surah Yasin dan tahlil. Akhirnya, hendak tak hendak mati kita perlu imam untuk menyembahyangkan kita.

Masjid Al-Hidayah, Asam Kumbang, Taiping

Memasuki kawasan masjid seperti terasa memasuki sebuah taman bunga. Itu sahaja sudah dapat menggambarkan kesepaduan pakatan kariah masjid ini. Masjid Al-Hidayah merupakan salah satu masjid yang boleh dijadikan model dalam sistem pengurusan masjid.
Laluan masuk ke kawasan masjid dihiasi susunan pokok pokok bunga  dan pokok hiasan yang sungguh menceriakan. Kita amat yakin tanpa gandingan AJK yang mantap dan pengurusan kewangan yang cekap, mustahil sesebuah masjid dapat ditadbir dengan baik.
Sudah menjadi kecenderungan banyak masjid melantik orang yang mempunyai kedudukan pangkat yang tinggi atau mempunyai pengaruh menganggotai AJK masjid dengan harapan mendapatkan kesempatan daripada pengaruh yang dimiliki. Hakikatnya bukan itu yang merupakan ciri ciri utama dalam pentadbiran masjid. Jika AJK masjid jarang jarang ataupun kadang kadang sahaja menjenguk muka ke masjid bagaimana mungkin dia boleh mentadbir atau menyumbang dengan sempurna. Apakah tandas masjid sempurna. Sistem audio jelas kedengaran. Persekitaran masjid kemas. Kebersihan masjid terpelihara. Kebajikan kariah masjid terpelihara. Majlis majlis ilmu berjalan dengan baik. Para kariah beramai ramai memakmurkan masjid. Masjid mempunyai dana mencukupi. Barbagai bagai aspek perlu dipantau sepanjang masa.
Jawatan dimasjid tidak boleh dipandang dari sudut glamour malah orang yang memegang jawatan tersebut mesti sanggup berkhidmat dan menyumbang masa dan tenaga dalam pengurusan masjid. Adalah lebih baik melantik jemaah yang rajin ke masjid menganggotai AJK masjid walaupun ia tidak mempunyai kedudukan atau pengaruh dalam masyarakat. Kecintaan terhadap masjid akan menimbulkan rasa tanggung jawab dalam melaksanakan tugasnya.

Apabila memasuki Masjid Al-Hidayah , kita akan teruja dengan kebersihannya. Ruang luar yg menghala ke dewan sembahyang sungguh luas dan bersih lantainya.
Ruang lapang ini dimanfaatkan sebagai tempat menjalani kursus haji untuk para bakal haji. Terdapat kemudahan yang tersedia bagi memudahkan pengajaran dan pembelajaran dilakukan.

Syabas dan tahniah kepada para AJK dan kariah masjid yang menampilkan ciri ciri masjid sebenar yang sesungguhnya perlu dicontohi oleh banyak masjid dimana mana ketika ini.

Rabu, April 07, 2010

Bangsaku Dan Tapai


Aku sayang bangsa aku. Kalau ada yang kata melayu lemah aku tak setuju. Kalau kata melayu dilemahkan mungkin aku boleh bersetuju. Berbagai cara yang menyumbang kepada melawan kekuatan melayu. Tidak boleh menggunakan kuasa, harta digunakan bagi melemahkan semangat juangnya. Tidak bernoktah disitu, perempuan pula ditayang tayang demi mengalahkan keperkasaan melayu itu. Walau bagaimanapun ini tidak kena mengena dengan Perkasa yang baru wujud yang entah apa hala tuju yang sebenar.

Zaman sekarang ini kita boleh melihat kebanyakan perjuangan lebih menjurus kepada perjuangan peribadi. Walaupun di lihat bergerak secara berkumpulan tetapi hakikatnya piagam yang tertulis tertinggal kebelakang. Maka ramailah para pemimpin samada peringkat parti, pertubuhan , kelab, NGO waima PIBG maupun surau dan masjid bersikap seperti enau dalam belukar. Berlumba lumba mempersiapkan kedudukan yang selesa bagi menjamin tampuk pimpinan dalam genggaman. Akhirnya matlamat yang diimpikan ramai orang tercicir yang tak mampu untuk dikutip.
Dato Maharaja Lela
Berbalik kepada isu pokok, sepatutnya kita bangsa melayu berada dalam keadaan lebih kuat daripada keadaan yang ada sekarang. Kita tidak nafikan ramainya pemimpin dikalangan bangsa kita. Bukannya kita mahu megajak mereka membawa kita menguasai dunia tetapi cukuplah sekadar dapat mendominasi Malaysia. Adakah kita masih bermimpi dengan kehebatan Hang Tuah. Adakah kita percaya Hang Tuah meninggalkan kehebatannya dihujung keris hingga kini masih ada yang tercium cium mata keris. Mana perginya semangat semangat Datuk Bahaman, Tok Janggut, Dato Seri Maharaja Lela, Dato Sagor.


Wahai bangsaku, bangunlah, bangun membela bangsa demi memperjuangkan agama kita yang tercinta. Kurangkan sedikit keluasan mulut kita agar kita kurang bercakap lebih bekerja. Jadilah seperti ubi dalam tanah, diam diam berisi. Banyak bawa manfaat. Tetapi jangan pula jadi ubi dalam tempayan. Rupa sahaja ubi tetapi sifat berubah menjadi tapai. Rupa sahaja ubi, bila dipicit lembik tak melawan. Lebih teruk lagi, airnya pula memabukkan masyarakat hingga tak lagi nampak mana letaknya bangsa dan mana letaknya agama.

Jumaat, April 02, 2010

Asam Gelugor

Dah berbulan rasa nya aku tak pergi ke kebun sawit. Sejak diserahkan kepada saudara Karim menguruskannya, saya dan isteri tidak lagi pergi mencuci, meracun atau pun membaja. Kalau 4 tahun dulu kamilah yang mengerjakan segalanya termasuk menggali lubang dan menanam pokok pokok itu. Banyak cuti hujung minggu ketika itu dihabiskan di kebun. Walaupun terasa terlalu penat bagaikan buruh kontrak tetapi badan terasa sihat. Terasa kepuasan di hati bila melihat hasil tangan tegak berdiri subur walaupun ada yang tumbang disungkah si sondol. Pokok yang semakin membesar memerlukan penjagaan rapi.

Semasa perbersihan tanah dahulu, terdapat beberapa batang pokok asam gelugor dibiarkan terus hidup. Asam gelugor boleh menghasilkan pendapatan yang lumayan sekiranya ditanam secara banyak. Ada ramai orang kampung pergi ke Mekah dengan duit asam sahaja.



Asam gelugor atau asam keping (garcinia atroviridis) ialah sejenis pokok yang boleh berkayu dan boleh membesar seperti pokok mempelam. Kayu pokok asam amat sesuai untuk dijadikan ukiran. Penggunaannya meluas dalam pembuatan key chain.



Buah asam gelugur keluar di hujung dahan dan rupanya seperti buah labu kecil. Kulitnya berkilat. Asam gelugur ini mempunyai rasa yang sangat masam. Ianya banyak digunakan sebagai bahan tambah perisa masam dalam masakan terutamanya melayu. Antara masakan popular yang mesti menggunakan asam ini ialah laksa, ikan masak asam dll.

Buah asam ini berbiji. Untuk membiakkannya, biji ini perlu disemai untuk mendapatkan benihnya. Ia perlu penjagaan rapi di mana tidak boleh terdedah kepada panas.







Pemprosesan asam ini bermula dengan menghiris nipis buahnya sebelum dijemur. Dijemur di bawah panas matahari. Sekiranya cuaca cantik panasnya akan mengambil masa dalam 4 hari untuk kering. Selain itu ia boleh dijadikan bahan untuk menghilangkan rasa atau bau hanyir yang terdapat pada ikan atau daging.

Isnin, Mac 29, 2010

Masjid Al-A'ala, Cenderong Balai. Perak



Kalau aku bertolak dari kampung ku Kg. Sg. Bil Slim River, ke rumah selepas asar biasanya aku akan tiba di masjid ini waktu maghrib. Walaupun terdapat beberapa masjid disekitar Cenderong Balai tetapi hatiku lebih senang dengan masjid ini. Seolah ada auranya .


Selain masjid yang besar, kawasan parkirnya juga luas. Memudahkan para jemaah untuk meletak kenderaan.


Kemudahan untuk OKU memasuki masjid juga tersedia menampakkan keprihatinan rekabentuknya.

Jumaat, Mac 26, 2010

Ikhlas

Suatu hari Rasulullah didatangi malaikat bertanya samada penduduk Madinah menunaikan solat suboh. Rasulullah menjawab bahawa mereka mendirikan solat tersebut. Lalu malaikat bertanya lagi mengapa tidak dilaungkan azan. Lantas Rasulullah menjawab bahawa azan juga dilaungkan. Malah azan hari ini lebih merdu dan sedap yang dilaungkan oleh salah seorang sahabat. Malaikat mengatakan bahawa mereka di langit tidak dapat mendengar suara azan tersebut seperti hari hari sebelum ini. Rasulullah pun berfikir mengapakah malaikat tidak mendengar azan sahabat itu.

Mengikut riwayat Rasulullah pernah didatangi oleh seorang sahabat meminta ingin menjadi muazin. Pada masa itu muazin sudah ada. Lalu beliau mengatakan jika boleh sehari pun memadai. Rasulullah masih tidak memberi persetujuan. Beliau masih meminta, jika tidak dapat sehari sekalipun jadilah. Lalu Rasulullah mengarahkan sahabat tersebut datang subuh esok untuk mengumandangkan azan suboh.

Maka esoknya azanpun dikumandangkan oleh sahabat tersebut. Sungguh merdu dan lunak suaranya. Penduduk Madinah juga memuji muji akan azan tersebut. Walau bagaimanapun azannya tidak kedengaran pada para malaikat dilangit seperti azan Bilal Bin Rabah. Ternyatalah bagi Rasulullah bahawa azan yang dilaungkan oleh sahabat itu tidah dengan keikhlasan. Betapa pula ikhlasnya seorang pemuda yang berkulit hitam tetapi mempunyai hati yang putih bersih yang nilai keperibadiannya amat tinggi di sisi Allah.

Maka berusahalah kita seperti Bilal agar segala perbuatan kita didunia ini dilakukan dengan ikhlas hanya sanya untuk Allah bukan atas niat lain laksana ada udang disebalik batu. Sudahlah perbuatan tidak ikhlas lebih daripada itu menambahkan kekeliruan di kalangan masyarakat.

Rabu, Mac 24, 2010

Anak Diluar Nikah


Baru baru ini Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara mengeluarkan perangkaan bahawa bagi tahun 2009, jumlah anak luar nikah yang dilahirkan dan didaftarkan dikalangan wanita melayu beragama islam ialah 17303. Siapa pun tidak mahu percaya perangkaan ini. Tetapi itulah realitinya. Mungkin di kalangan mereka ada yang bersangkutan dengan kita (nauzubillahiminzalik), amat ngeri untuk disumbat ke dalam benak. Apa pun segalanya telah terhidang di persada dunia kehidupan melayu yang rata ratanya beragama islam.

Mari kita bermain dengan matematik. 17303 jika dibahagi dengan 365 hari (tahun 2009) memberi jawapan 47 bayi dilahirkan sehari. 47 pula dibahagi 24 (jam sehari) memberi jawapan lebih kurang 2. Ini bermakna setiap jam gadis melayu beragama islam melahirkan 2 orang bayi diMalaysia yang dikenali sebagai negara islam. Jangan bicara nombor 17303 malah kalau 1 pun naluri kita akan menolak. Jika ditanya gadis yang melahirkan itu, ia pun tidak rela kejadian itu berlaku. Tiada siapapun mahu melihat fenomena ini berpanjangan. Persoalannya apa perlu kita lakukan.

Semua orang tahu setiap perkara yg kita benci di Malaysia ini semuanya meningkat. Paras pengidap penyakit meningkat. Jumlah pengamal rasuah meningkat. Jumlah si murtad pun meningkat. Bilangan jenayah meningkat. Cakaplah apa sahaja. Seolah olah macam tiada pencegahan. Ataupun cara dan gayanya tidak kena. Kalau kenapun kesannya tak lama.

Sudah berapa banyak kertas kerja berkenaan perkara ini dibentangkan. Sudah berapa banyak air liur penceramah bersyarah. Sudah berapa timbunan buku buku ditulis mengupas permasaalahan ini. Andai kata segala nya dicampakkan ke laut barangkali sudah boleh jadi sebuah pulau; Pulau Idea.

Masalah jenerasi tidak berlaku dalam masa yang singkat . Amat sukar untuk memulihkannya. Tetapi kita mesti bermula. Guna pendekatan lain yang lebih praktikal. Pandangan ulamak perlu dijadikan landasan. Tiada lain sekadar mencari keredhaan Allah. Kalau Allah telah redha Insyaallah semua perkara boleh berjaya.

Perlu disebut lagi, perkara mungkar mesti ditambus menggunakan bapak jangkaut. Jangan jadi korek lubang mungkar guna jangkaut tambus lubang mungkar guna cangkul. Peranan dan kuasa badan pencegahan perbuatan sumbang dan mungkar perlu dibesarkan iaitu lebih besar daripada badan yang suka buat mungkar. Peruntukan kewangan perlu lebih banyak disalurkan berbanding badan yang suka menaja perbuatan mungkar.

Sebelum itu yang lebih penting kita kenal yang mana amal dan yang mana mungkar. Jadi mari kita belajar ilmu (agama) demi mengetahu akan tipu daya syaitan. Kerana syaitan cuba menterbalikkan kita dengan amal mungkar nahi maaruf. Kalau seseorang itu masih lagi berkubang dengan mungkar bermakna ia dari golangan orang yang tertipu oleh syaitan.

Isnin, Mac 22, 2010

Masjid Al Daimiah, Tanjung Belanja, Parit. Perak

Aku sudah hampir dengan rumah, namun waktu maghrib lebih dekat menghampiri. Kalau aku teruskan perjalanan pasti kami sekadar berjemaah dalam kereta. Kata bidalan tidak lari gunung dikejar tetapi mati berlari mengejar kita. Kalau dahulu setiap masjid ada papan tanda mentaskirahkan hati kita "Sembahyanglah kamu sebelum kamu disembahyangkan" Kini papan tanda tersebut telah hilang bersama hilangnya semangat jati dakwah dalam diri kita. Mungkin orang baru yang mengambil alih peranan tersebut nampak usaha itu sia sia. Sekurang kurangnya tersentuh juga hati jika melihatnya, apatah lagi jika diambil sebagai ingatan.
Hari ini orang berusaha sedaya upaya memiliki kereta mewah. Kalau ada kemampuan tidak menjadi kesalahan. Jangan sampai memudharatkan kehidupan didunia ini. Allah amat bangga terhadap hambanya yang menggunakan nikmat yang diberi.

Dalam keasyikan dengan kenikmatan kenderaan yang dimiliki di dunia ini, kita jangan lupa akan satu kenderaan yang sentiasa menunggu kita untuk menaikinya. Samada kecil atau besar mana kenderaan yang dimiliki, semua akan menggunakannya. Yang tidak memiliki kenderaan pun akan juga sama menggunakannya.
Sesungguhnya marilah kita menginsafi diri kita bahawa kenderaan itu Kereta Jenazah sentiasa siap sedia untuk membawa kita ke tanah perkuburan pada bila bila masa pun. Pada bila bila masa itu juga  kita hendaknya sentiasa pula mengingatinya agar kita rasa lebih dekat dengan mati. Ini akan lebih mendekatkat kita dengan Allah. Insyaallah.

Khamis, Mac 18, 2010

Masjid Al Khairiah, Taman Sri Gombak. Selangor

Minggu lepas aku pergi ke rumah abang ipar di Sri Gombak. Aku memang sahaja selalu singgah di masjid ni jika ke sana lebih lebih lagi jika waktu solat sudah hampir. Tapi pagi ini suasananya agak berlainan dengan hari hari yang lain. Dari bulatan yang menghala ke masjid tersebut telah kelihatan deretan kereta tersusun di tepian jalan menghala ke masjid. Setiba di masjid keadaan lebih sesak di mana semua kawasan parkir di penuhi kereta. Jenuh aku mencari ruang  tetapi tetap gagal. Aku tak boleh parkir jauh disebabkan bersama aku ialah mertua. Tak kan nak tengok mereka berjalan jauh. Akhirnya aku selitkan kereta di laluan sebelah bawah masjid. Aku tidak dapat sudut yang baik untuk snap gambar terbaik masjid ini.

Setelah sampai ke masjid baru aku ingat bahawa sekaran berlangsung kursus haji bagi bakal bakal haji yang akan mengerjakan haji pada musim akan datang. Oleh kerana kursus belum habis maka ramailah bekal jemaah haji berada dalam masjid.
Beberapa minit aku berada dikawasan masjid aku perhatikan banyak kereta berhenti menurunkan penumpang lalu masuk kemasjid. Daripada barang barang yang dibawa oleh mereka aku faham ada majlis akad nikah akan berlangsung di masjid tersebut. Patutlah orang ramai di masjid.

Dalam ramai ramai yang mengunjungi masjid untuk upacara pernikahan itu terdapat juga yang tidak menghormati masjid. Ada yang berpakaian tidak menutup aurat. Masuk masjid tidak boleh disamakan dengan memasuki rumah. Walaupun aku tahu majlis tersebut dilakukan didalam dewan masjid namun adab masjid perlu dijaga.

Bagi menghormati masjid, sembahyang sunat tahiyatul masjid perlu dilakukan. Kalau tidak tak hormatkan masjid namanya. Tidak kiralah samada kita masuk untuk solat atau untuk tujuan lain. Perkara ini banyak diabaikan oleh mereka yang masuk ke masjid untuk majlis pernikahan.

Rabu, Mac 10, 2010

Masjid Kampong Dendang, Beruas. Perak

  Lagi salah satu masjid yang pernah aku singgah. Bila aku pulang daripada Taiping kebiasaannya waktu maghrib akan tiba ketika aku melintas di sini. Masjidnya tidak besar cukup sekadar menampung jemaah kampung tersebut. Beberapa kali sudah aku singgah, aku melihat 3 atau 4 orang jemaah mirip orang arab sama bersembahyang. Selesai sembahyang mereka melintas jalan untuk pulang. Aku percaya mereka penduduk di situ. Jika dinisbahkan umur kakitangan kerajaan, mereka ni agak agak dah nak pencen. Bagaimana mereka boleh merantau ke situ, aku belum sempat merisiknya. Insyallah suatu hari aku akan sapa mereka berkenalan.
Kombinasi warna yang digunakan di dalam masjid sungguh menenangkan jiwa siapa saja. Apatah lagi selepas mendirikan solat penuh kusyuk. Kebetulan pulak jiwa aku agak sinonim dengan warna hijau.
Sambil para jemaah beransur keluar dari dalam masjid aku telah berada di dalam kereta bagi meneruskan perjalan lebih kurang 40 minit lagi.

Isnin, Mac 08, 2010

1 Malaysia Semua Halal

 
   SEMUA HALAL
Siapapun tak mahu makan babi. Siapapun tak mahu makan anjing. Sebabnya babi dan anjing haram dimakan. Rasuah itu haram. Riba itu haram. Makan rasuah dan makan riba hukumnya juga haram. Bila agaknya pelaku rasuah boleh merasakan makan rasuah itu sama macam makan babi.

Kaum cerdik pandai dan alim ulamak harus memainkan peranan dalam mentarbiah agar perbuatan melakukan rasuah itu dapat dilihat sebagai perbuatan yang amat hina dan keji di sisi masyarakat. Janganlah sampai masyarakat kita menjadi seperti kaum yahudi di mana mereka melakukannya ikut sesuka hati mereka tanpa teguran daripada mana mana pihak. Usaha menanganinya mesti ditingkatkan seperti meningkatkan fahaman masyarakat akan peri pentingnya makan makanan halal.

Selain itu gejala melakukan dosa besar, melakukan maksiat, hiburan melampau semakin berleluasa. Penekanan kepada 1 halal perlu menyeluruh. Keseimbangan sistem kehidupan bukan bermakna separuh halal separuh haram. Segalanya juga perlu halal. Boleh berhibur, tetapi hiburan yang halal. Waima menjatuhkan hukuman ke seseorang pun perlu hukuman yang halal.

Melihat kepada laporan yang menjadi paparan akhbar saban hari, amat merunsingkan. Jenayah terjadi di merata rata. Gejala sosial sudah menular serata pelosok. Tidak ada tanda tanda ianya berkurangan. Malah apa sahaja perkara tidak baik, statistik akan menunjukkan peningkatan mengikut peredaran waktu.

Setiap individu perlu memainkan peranan sendiri. Kalau kita tidak dapat membantu orang lain jadi baik, dapat membantu diri sendiri menjadi  baik sudah memadai. Sekurang kurangnya kurang seorang orang jahat di dunia ini.

Usaha usaha membenteras gejala haram dalam masyarakat perlu digembeling sepenuhnya. Punca kepada jatuhnya nilai nilai kemanusiaan ini perlu ditangani secukupnya. Jangan jadi seperti menggali lubang mungkar guna jangkaut, sebelah pihak pula menambusnya guna cangkul. Sampai bila pun hajat kita melihat 1 Malaysia semuanya halal tidak akan kesampaian.

Khamis, Mac 04, 2010

Rumpun Nipah

Rumpun Nipah itu telah lama hidup berdamping rumah mertuaku. Aku tidak pernah ambil peduli akannya. Entah mengapa minggu lalu tetiba tersentuh di fikiran untuk mengambil sedikit kisah akan nipah tersebut.
Nipah ni aku kenal lantaran ia popular dijadikan atap rumah. Lebih daripada itu sekadar pucuknya dijadikan daun rokok, rokok daun. Kalau orang muda memiliki rokok daun nipah ini amat sinonim untuk dikaitkan dengan ketagihan ganja. Selain itu Teluk Nipah di Pangkor atau Virus Nipah yang amat bahaya.
Pokok nipah mudah didapati di kawasan berpaya dan berhampiran pantai. Banyak terdapat di Malaysia. Berbatang pendek, mempunyai pelepah pelepah berdaun yang sangat panjang sehingga 6M.
Pada masa dahulu, daun daun nipah amat berguna untuk dijadikan atap. Daun daun tersebut disusun dan dijalin menggunakan tali yang dibuat dari batang bemban. Kerja kerja ini memerlukan kepakaran bagi menjamin ianya tidak bocor ketika hujan turun.

Penggunaannya kini telah ditelan zaman ekoran faktor ketahanannya yang singkat iaitu sekitar 3 ke 5 atahun sahaja. Walau bagaimanapun atap nipah masih ada dipasaran bagi menampung penggemar peminat rekabentuk klasik. Sesuai digunakan dalam pembikinan pondok yang memerlukan suasana nyaman dan dingin. Ini kerana atap ini tidak menyimpan haba panas matahari seperti zing.
Pucuk nipah pula sesuai digunakan sebagai daun rokok. Tembakau yang diisi kedalamnya digulong  dengan pucuk nipah yang dipotong sepanjang rokok.
Buah nipah mempunyai isi seperti buah kabung dan amat sedap dimakan. Namun disebabkan kepupusan dan kesukaran mengambil buahnya, ianya amat sukar diperolehi sekarang.

Isnin, Mac 01, 2010

Kiamat Kecil

Kita telah dipertonton akan tanda tanda kiamat. Kita sedar dan akur ianya tanda tanda kiamat. Antaranya pemimpin yang terdiri dari orang yang jahil dan fasik, tetapi kitalah orang yang mengangkat golongan tersebut. Bermaharajalela bunyi-bunyian (muzik) dan penyanyi-penyanyi wanita, tetapi kita masih lalai akan muslihat hidup mereka. Manusia bermegah-megahan dalam mendirikan masjid, tetapi kita masih gagal memakmurkan masjid. Banyak saksi palsu dan menyimpan kesaksian yang benar, kita jugalah orang yang diperdaya akan cerita karut marut mereka, dan pada masa yang sama kita masih ngeri untuk menghadapi kiamat.

Dalam ketakutan menghadapi kiamat, telah banyak kiamat kecil berlaku di sekeliling kita. Apakah kiamat kecil tersebut? Hari kiamat merupakan hari kemusnahan seisi alam dan bumi. Andainya kita hidup pada saat itu, kemusnahan tersebut juga akan dilalui. Andai pula kita tidak sempat ke saat itu, kemusnahan awal akan dihadapi. Allah telah berjanji setiap yang hidup pasti akan mati. Sejauh manakah persediaan kita menghadapi kiamat kecil ini.

Dari Abu Ya'la Syaddad bin Aus ra, dari Nabi saw, beliau bersabda:"Orang yang cerdik iaitu orang yang selalu menjaga dirinya dalam beramal untuk bekal nanti sesudah mati. Dan orang yang kerdil iaitu orangyang hanya menuruti hawa nafsunya tetapi mengharapkan berbagai harapan kepada Allah". (Riwayat At Turmudzy).