Selasa, September 04, 2012

Masjid Sultan Ahmad Shah (Lama), Pekan Pahang

Dalam kunjungan ke Pekan Pahang beberapa bulan lepas aku juga sempat singgah di masjid ini. Masjid yang digelar Masjid 10 Kubah ini terletak bersebelahan Makam DiRaja dan berhadapan dengan Sungai Pahang. Kubah yang berwarna kuning keemasan menambahkan keceriaan masjid ini.

Oleh kerana aku berada di Pekan selama sehari atas urusan menghantar rombongan perkahwinan sepupuku, maka kami menginap di Pekan. Aku juga sempat berkunjung ke masjid ini di waktu subuh.
Seperti sesetengah masjid yang aktif, masjid ini juga menganjurkan majlis kuliah suboh sempena hari cuti hujung minggu. Masjid perlu diprogram agar menjadi satu institusi yang boleh membentuk masyarakat menjadi masyarakat yang beriman kepada Allah. Oleh itu ahli yang di amanahkan untuk memegang jawatan di masjid mesti mempunyai roh masjid yang mana sentiasa memikirkan bagaimana untuk mengimarahkan masjid agar orang ramai dapat ditarik kemasjid untuk khususnya solat berjemaah.

Walaupun para jemaah yang hadir agak sedikit berbanding masjid yang besar namun sudah cukup dibanggakan kerana memang sukar untuk menarik jemaah terutamanya untuk berjemaah di waktu suboh seterusnya duduk mendengar kuliah tatkala mata masih lagi kelat untuk dibuka.
Bersebelah pagar masjid ini terdapat makam diraja dan juga perkuburan ahli kariah masjid ini. Berdasarkan jumlah kubur yang ada dapat disimpulkan bahawa kawasan ini telah lama digunakan sebagai tanah perkuburan.
Gambar di bawah makam di raja dan aku pasti ia adalah makam sultan. Aku sekadar berdiri di pintu tersebut dan menhadiahkan bacaan Fatihah kepada arwah sultan sultan yang mangkat. Terdapat beberapa kubur di dalam bangunan ini.
Di luar bangunan ini bersebelahan pintu masuk terdapat beberapa kubur kerabat di raja. Aku dapat melihat seseorang duduk di sisi kubur sambil membaca ayat suci Al-Quran. Jika diperhatikah terdapat Al-Quran di sisi beberapa kubur untuk sesiapa ingin membacakan ayat xuci untuk ahli kubur.
 Bagi yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang masjid ini boleh membacanya daripada keratan akhbar di bawah. Banyak fakta penting boleh diperolehi.
 Satu lagi perkara yang aku kagumi tentang pentadbiran masjid ini ialah sikap terbuka mereka dalam menerima kenyataan pengurusan masjid dan fahaman politik. Terdapat beberapa petikan tulisan Tuan Guru Nik Aziz yang ditampal di papan kenyataan untuk tatapan ahli kariah. Sesetaengah masjid perkara ini agak sensitif bagi fahaman mereka. Ternama sahaja sebagai ahli pembangkang pasti ditolak mentah mentah tanpa menilai apa yang diucapkan.
 
 Akhirnya marilah kita berduyun duyun kemasjid seperti bagaimana berduyun duyun orang pergi Jom Heboh. Ahli Jawatankuasa Masjid menganjurkan Jom Jemaah buat semua kita. Jika tidak kita mengisi jawatan kosong ini siapalagi? Jawan kosong ini juga pernah ditawarkan di sini dan saya percaya di mana mana pun ada tetapi mungkin tidak di iklankan tetapi sekadar memanggil 5 kali sehari melalui laungan azan. Marilah mengerjakan solat.

Khamis, Ogos 23, 2012

Berhari Raya Bagai Di Syiria

Sepanjang perjalanan ku kemasjid diiringi bunyi letupan. Di masjid pun letupan tidak henti henti. Namun jemaah tetap meneruskan solat terawih hingga akhir. Sepanjang pulang ke rumah pun masih kedengaran letupan. Ada yang perlahan dan ada yang menggegarkan. Namun aku tetap tenang pulang dengan selamat. Sampai di rumah sudah 11 malam. Pembaca berita Farouk Ismet Amir memulakan dengan isu Syiria. Meletup di sana dan meletup di sini. Aku benar benar dapat menghayati berita tersebut. Sebabnya hampir sebulan sudah letupan demi letupan juga sering berlaku di Malaysia.

Dentuman mercun semakin hebat. Itu petanda hari raya hampir tiba. Dari tahun ke setahun dentuman mercun semakin tidak terkawal. Hingar bunyi mercun dilambangkan sebagai kemeriahan hari raya. Ketiadaan atau kekurangan bunyi mercun dianggap hari raya tidak hidup dan suram. Amat salah jika beranggapan mercun menjadi kemestian untuk menyambut hari raya. Mengikut pandangan PM Dr Asri adalah adalah bidaah sekiranya demikian.

Permainan mercun kini nampaknya sudah tidak terkawal.Walaupun banyak amaran diberi seperti di sini, tetapi orang ramai bagai tidak mengendahkannya. Bunyi mercun yang keterlaluan dilihat sudah menjadikan suasana malam hiruk pikuk. Kawasan masjid dan surau menjadi tempat budak budak bermain mercun. Ketika jemaah bersolat terawih ketika itulah mercun diletupkan dengan hebatnya. Yang sedihnya budak budak tersebut adalah anak di kalangan jemaah itu sendiri. Sudahlah anak tidak diajak solat malah dibiarkan pula mengganggu ketenteraman orang lain.

Fenomena ini dapat aku lihat di beberapa tempat sepanjang ramadhan dan syawal tahun ini. Keadaannya hampir sama sahaja. Bila solat hampir selesai maka kumpulan pemain mercun itu juga selesai bermain mercun. Yang merambu main motor siap sedia untuk menyerahkan kunci motor kepada bapa masing masing.

Budaya main mercun yang tidak mendatangkan faedah kepada masyarakat. Tidak mustahilianya dianggap satu kemestian suatu hari nanti jika tidak dibendung mulai sekarang. Banyak buruk daripada baiknya, kecederaan, gangguan ketenteraman, membazir. Pihak berkuasa tidak boleh sekadar menggertak sahaja. Memerangi mercun hendaklah dibuat seperti memerangi dadah. 

Jika zaman dahulu kesungguhan pihak polis membendung permainan mercun dan meriam jelas terbukti. Rondaan sering dilakukan. Waima kampung yang jauh pun akan didatangi oleh anggota polis. Seperkara yang kita perlu ingat bahawa mercun itu dibuat daripada belerang. Belerang ini boleh dijadikan bahan letupan. Adalah bahaya sekiranya pengedaran mercun tidak dikawal kerana ia boleh dijadikan senjata. Sudah tiba masanya pembenterasannya dilakukan dengan serius.

Jumaat, Ogos 10, 2012

Imam Muda Yousef Abu Eida Dari Gaza

Masjid Daerah Manjung telah menerima kehadiran imam muda Yousef dari Gaza. Sebelum ini aku dapat bersama imam muda Ustaz Mu'min Falah Ali Hawas di masjid UTP. Ingin tahu berkenaan imam imam muda yang di bawa dari Gaza, sila lihat di sini.

Selepas 4 rakaat pertama diadakan tazkirah daripada Imam Muda Yousef dan wakil Aqsa. Imam Yousef tidak berbicara panjang sekadar meluahkan keperitan yang ditanggung oleh warga Palestin akibat penindasan dan kezaliman daripada rejim israil laknatullah. Beliau menyatakan tangannya masih terasa sakit akibat dipulas ke belakang oleh tentera israil.

Pada sebelah siang tadi mereka menghadiri satu program di satu organisasi di Manjung. Wakil Aqsa menerangkan dalam majlis tersebut imam muda ini telah menjawab beberapa persoalan yang di utarakan kepadanya. Antara soalah yang dilontarkan terdapat satu soalan yang menyentuh hati wakil Aqsa tersebut. Penanya bertanya lebih kurang begini, "apakah jaminan bahawa kilang roti yang yang dibina daripada wang derma tidak akan dirobohkan". Soalan tersebut seolah olah menggambarkan kesungguhan untuk merasaai bersama keperitan warga Gaza.

Fikran aku terus menjawab, bahawa nyawa mereka (warga Gaza) sendiripun mereka tidak boleh jamin selamat daripada kekejaman israil, mana mungkin ia boleh memberi jaminan terhadap kilang roti yang akan dibina. Apapun imam muda difahamkan telah menjawab dengan berkata bahawa roboh meroboh adalah kerja mereka (israil), kerja kami adalah akan membinanya semula. Sungguh cekal jawapan dari seorang remaja bergelar imam yang baru berumur 18 tahun.

Di masjid, risalah berkenaan program yang dianjurkan oleh Aqsa Sharif untuk membantuk bangsa seugama dengan kita diedarkan. Risalah seperti di bawah. Setiap sumbangan insyaallah ada kebaikannya daripada Allah untuk kita dan untuk warga Palestin.






Khamis, Ogos 02, 2012

Imam Muda Gaza, Palestin

Melalui radio kereta aku dengar Pertubuhan Aqsa Sharif ada membawa 4 orang imam dari Palestine untuk menjelajahi serta mengutip derma ke masjid masjid di Malaysia. Tanpa meletakkan sebarang harapan antara mereka akan singgah di tempat aku, maka cerita dari corong radio tersebut tenggelam begitu sahaja.

Malam isnin lepas aku agak lewat sampai ke masjid maka aku cuma dapat solat dalam kumpulan saf belakang sahaja. Walaupun dalam bulan Ramadhan ini ramai imam imam bertugas dikalangan pelajar pelajar arab di masjid UTP, tetapi imam solat isya kali ini aku dapati agak berbeza daripada biasa walaupun bacaannya ada slanga arab juga. Tidak dapat diterjemahkan dengan bahasa, cuma apa yang aku boleh dikatakan, sungguh seronok, sedap dan syahdu.

Kelmarin aku dapat jawapan siapakah yang mengimamkan solat tempohari. Saya ingin mengajak para pembaca agar jangan melepaskan peluang sekiranya para imam ini berkunjung ke tempat anda. Bagi yang telah dapat bersama mereka sebelum ini pasti dapat menggambarkan akan apa yang aku nyatakan.


Untuk mengetahu jadual senarai lokasi imam imam yang lain sila dapatkan di sini.  Semoga kehadiran mereka di Malaysia mencapai hasrat yang diimpikan.

Khamis, Julai 26, 2012

Masjid Sultan Ahmad Shah (Baru), Pekan Pahang

Sepanjang satu hari berada di Pekan aku tidak melepaskan peluang untuk berkunjung ke masjid ini yang pada hemat aku ianya baru siap di bina. sungguh indah dan selesa. Tidak ralatlah PM menjadi calon di sini.
Melihatnya sahaja sudah menyejukkan mata ini kan pula masuk ke dewan solatnya. Jarak masjid ini dengan Masjid lama tidak berapa jauh. Walau bagaimanapun masjid lama (entry akan datang) masih digunakan oleh jemaah.
Memang berat tanggung jawab untuk mendirikan sebuah masjid terutamanya masjid sebesar ini. Tetapi lebih berat lagi tanggung jawab kita untuk mengimarahkan masjid agar berfungsi selayaknya. Janganlah masjid yang didirikan mencecah puluhan juta ringgit tetapi peranannya sekadar tempat kariah menunaikan solat jemaah.
Semasa zaman nabi dahulu masjid didirikan daripada tanah liat sahaja. Peranannya cukup besar sehinggakan  mampu melahirkan manusia yang baik. Apabila masyarakat baik maka kehidupan akan menjadi berkat dan persekitaran hidup akan aman damai. Kecil, besar, usang, cantik tidak menjadi faktor utama dalam mencapai matlamat ini. Yang penting orang yang dipertanggun jawabkan ada rasa cinta terhadap masjid. Oleh itu masjid perlu disibukkan dengan aktiviti aktiviti berfaedah demi mendekatkan jemaah dengan Allah. Janganlah ajk yang dilantik dikalangan orang penting tetapi masjid seolah mandul dengan majlis majlis menyebut dan mengingati Allah.
 Ingatlah bahawa setiap kerja adalah ibadah sekiranya ianya disandarkan kepada Allah. Oleh itu ganjaran mesti ada di sisi Allah. Walaupun kita tahu alaun dibayar kepada ajk masjid namun jangan jadikan ianya sebagai sebab untuk memagang jawatan dalam masjid. Sekiranya kita meletakkan yang utama adalah ibadah maka sudah pasti tiada sebarang masalah akan timbul dalam menguruskan sesebuah masjid.
Tempat solat wanita di sebalik pagar ini.

Tempat menguruskan jenazah juga ada tersedia. Tidak pasti samada ianya telah digunakan atau belum. Apapun sesiapa shaja akan menolak untuk merasmikan bilik tersebut.
Ketika keluar daripada kawasan masjid aku melalui kuaters imam/bilal. Usaha menempatkan imam dan bilal tinggal diperkarangan masjid adalah sangat baik. Ini bagi memastikan imam dan bilal akan berada pada setiap waktu solat di masjid. Memang ada setengah masjid imam dan bilal tidak hadir ke masjid mungkin rumah mereka jauh daripada masjid atau tempat kerja mereka.

Sebaik melintas keluar pagar aku berharap suatu hari nanti aku diberi rezki untuk hadir lagi ke sini. Pastinya wajah masjid ini akan kian suram. Apapun suram itu melambangkan akan kematangan pengurusan masjid demi menegakkan syiar islam di muka bumi ini.

Jumaat, Julai 13, 2012

Jadual Berbuka Puasa Merbahaya


Cuba anda lihat jadual berbuka puasa yang dicetak oleh Syarikat Darul Mubarak di atas. Tahun ini jadual yang diedarkan sungguh cantik berbanding tahun tahun sebelumnya. Sebagai tanda bangga memiliki jadual tersebut kini ianya telah terlekat kemas menghiasi dinding peti ais.

Bukan sedikit wang yang dikeluarkan untuk mencetak jadual secantik itu. Aku percaya jumlah yang dicetak mesti banyak. Orang yang baik biasanya nampak ruang ruang yang ada untuk membuat pahala. Jika diPerak syarikat Darul Mubarak memang dikenali antara syarikat yang aktif menjalankan perniagaan membawa jemaah mengerjakan umrah dan haji. Pemphlet nya boleh didapati hampir di semua masjid negeri Perak.

Jika dikatakan jadual tu baik mengapa pulak ia merbahaya. Aku pun tak tahu nak jawab. Cuma yang aku dapat tunjukkan ialah pada image di bawah:
Nak kata jadual tu tak betul, tidak mungkin. Nak kata syarikat tidak berdaftar, aku telah mengerjakan umrah beberapa kali dengan syarikat ini. Perkhidmatannya baik. Kalau begitu mengapa dilarang pamer. Nak kata apa? Yang tahu hanya Allah dan orang songkok tinggi tu sahaja.

Apapun aku dapat mengagak punca sebenar. Ianya pasti kerana gambar pengarah urusan syarikat tersebut. Bukan sebab tidak handsome tetapi ada sesuatu yang anda akan tahu jika anda google namanya.

Rabu, Julai 11, 2012

Masjid Kg. Tanah Putih, Pekan Pahang

Dua minggu lepas sempat berkunjung ke tanah tumpah darah Perdana Menteri Malaysia yang ke dua ia itu Tun Abdul Razak. Kini ahli perlimen Pekan ialah anak kepada Perdana Menteri ke 2 itu dan merangkap Perdana Menteri Malaysia sekarang ini. Adapun kehadiran aku di sini adalah kerana urusan nikah kahwin sepupu iaitu Farhan dengan orang Pekan.
Dalam perjalanan ke Pekan aku singgah di masjid ini untuk menunaikan tanggung jawab sebagai seorang muslim. Amat sesuai untuk singgah di sini setelah aku membawa ibu yang tidak berapa kuat untuk menaiki tangga. Tidak seperti sesetengah masjid yang dewan solatnya di tingkat atas.
Masjid ti begitu besar. Mungkin kariah di sini tidak ramai. Tidak guna masjid besar sekiranya banyak ruang kosong terbiar tanpa jemaah.
Mimbar

Kami sampai setelah semua jemaah pulang mengerjakan solat zuhor. Jika tidak mungkin aku berjumpa imam petugas masjid seterti di atas.
Kawasan masjid ini sungguh luas. Tersedia pondok letak kereta untuk para jemaah.

Kelihatan podok makan masjid. Aku puji kelengkapan suang makan masjid ini. Kemudahan serba lengkap. Kami yang musafir pun dapat menumpang kemudahan tersebut. Segalanya tersusun rapi dan bersih.
Kawasan lapang ini mungkin suatu hari nanti di gunakan untuk menampung pembesaran masjid yang ada kini.
Aku amat tertarik dengan apa yang terpapar di papan kenyataan masjid. Selain menguruskan masjid, ajk masjid juga mempunyai masa dalam memberi perkhidmatan sosial kepada masyarakat. Tidak seperti setengah masjid yang mana kerja kerja asas masjid yang sepatutnya dilakukan gagal untuk dilaksanakan.

Aku angkat ibu jari tanda pujian untuk ajk masjid seperti papan tanda di atas. Mungkin anda mengenali mereka maka sampaikan ucapan tahniah untuk mereka.
Aku terlihat sebuah bangunan seperti masjid lama berhampiran pagar masjid ini. Mungkin ianya masjid lama yang tidak digunakan lagi.
Terdapat jentera berat yang sedang melakukan kerja kerja menurap jalan. Tidak pasti samada ada kena mengena dengan PRU13 yang hampir tiba.
Pintu masuk kawasan masjid yang  di lihat dari masjid.

Rabu, Jun 27, 2012

Allahyarham Mazlan Sairi

http://www.medic.upm.edu.my/staf/pads.html
 Dulu semalam aku dihubungi teman Haridan Radzi daripada Kajang menyatakan teman setugas Mazlan ketika kami sama sama bertugas di Fakulti Kejuruteraan, UPM telah dimasukkan ke wad ICU Hospital Serdang kerana serangan jantung. Aku difahamkan beliau belum pernah mengalami keadaan sedemikian sebelum ini. Dari kejauhan daerah sini Seri Iskandar aku mendoakan semoga beliau disembuhkan segera dan dipermudahkan segala galanya.

Tidak sampai 24 jam daripada panggilan itu, pagi ini 27 jun 2012 aku mendapat SMS daripada Atan menyatakan temanku Mazlan telah kembali kerahmatullah.

Ketika aku meninggalkan UPM allayarham masih bertugas di Fakulti Kejuruteraan UPM. Walaubagaimanapun ketika beliau meninggal beliau telah dipindahkan ke fakulti lain.

Jenazahnya telah dibawa pulang ke kampungnya di Banting dan disemadikan di sana. Aku tidak dapat sama untuk memberikan penghormatan terakhir, walau bagaimanapun aku pernah berkunjung ke kampungnya dahulu ketika beliau mendirikan rumah tangga. Semoga keluarga yang ditinggalkannya diberikan kekuatan oleh Allah untuk mengharungi dugaan yang berat ini. Semoga rohnya dicucuri rahmat oleh Allah.