Anda bertemu satu perhimpunan di satu kawasan lapang. Orang sungguh ramai menumpukan kepada sesuatu. Apakah yang berlaku? Demi ingin mengetahui anda mengisut ngisut sambil memerhatikan ke arah tumpuan semua orang. Anda sudah mula nampak sesuatu tetapi masih belum jelas.
Untuk mendapatkan sudut yang baik anda teruskan usaha meloloskan diri hingga kehadapan. Sedikit demi sedikit sudah dapat mengagak sesuatu. Hinggalah anda berada betul betul hampir dengan dan anda sudah tahu rupanya ada satu acara pertunjukan menembak.
Seorang penembak tepat telah diundang untuk membuat satu pertunjukan aksi menembak sebiji epal di atas kepala orang. Bagi memulakan acara, penembak tepat itu meletakkan sebiji epal di atas kepala kawannya. Para hadirin mula berasa cemas, ada yang berundur, ada yang menutup muka dan ada yang terus lari dari tempat acara tersebut.
Apabila beliau telah bersedia, tembakan pertama dilepaskan. Serta merta epal tersebut hancur berderai tanpa meninggalkan sebarang kesan kecederaan pada kawannya.
Untuk percubaan ke dua, penembak tepat memanggil salah seorang penonton berhampiran anda untuk menggantikan tempat kawannya tadi. Dengan beraninya penonton itu kehadapan dan diletakkan epal atas kepalanya. Melihat kepada gaya tembakannya, menampakkan beliau seorang yang pakar menembak . Pada masa itu juga anda percaya penembak tepat itu pasti berjaya melakukannya sekali lagi. Memang benar sebiji epal lagi berderai.
Untuk meneruskan pertunujukannya, penembak tepat itu mula mencongak siapakah penonton pilihan seterusnya. Mungkin kerana beliau melihat kesungguhan ada di riak wajah anda sejak mula lagi tadi, maka anda telah dipilihnya untuk kehadapan. Kali ini sebiji epal akan diletakkan diatas kepala anda dan penembak tepat akan menembak dari arah belakang pula.
Apakah keputusan anda? Adakah anda setuju? Sekarang anda sudah tahu dia penembak tepat. Anda juga telah percaya dia mempu melakukannya. Tetapi anda mula terbayang anak isteri di rumah. Kereta mewah yang anda pandu tadi. Syarikat yang anda uruskan. Gaji yang anda terima setiap bulan dan berbagai yang terfikir sebelum membuat keputusan. Anda enggan. Rupanya anda masih tidak yakin lagi kepadanya.
Begitulah keadaannya kita dengan Allah. Kita tahu Allah ada. Kita percaya kepada Allah dengan sifatnya malah percaya dengan kitab serta Rasulnya. Tetapi amat sukar untuk kita yakin dengan janji Allah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan