Masjid Lenggong ini sungguh menarik perhatian apabila sesampai sahaja ke perkarangannya. Laksana baru dibina lantaran catnya yang masih baru dan persekitaran yang bersih.
Saudara Zuraimi sedang berwuduk |
Selesai berwuduk kami segera masuk ke masjid. Di muka pintu berdiri seorang kanak kanak dengan Surah Yasin di tangan. Aku tengok buku tersebut sudah mulai koyak. Kamera yang masih di tangan tadi terus merakamkan wajah budak tersebut. Aku biarkan beliau sebab kami telah tertinggal 1 rakaat.
Anak siapa agaknya? Bagus membawa kanak kanak ke masjid untuk menanam perasaan cinta masjid dalam jiwa mereka. Apalah sangat nilai surat yasin yang koyak itu berbanding dengan sebuah kecintaan terhadap masjid yang dapat ditanam dalam jiwa kanak kanak itu bagi melahirkan satu genarasi yang mengagungkan dan memartabatkan fungsi rumah Allah suatu hari nanti.
Sudah sampai masanya para jemaah dewasa bijak bertindak menghadapi kerenah kanak kanak di masjid. Di samping menggalakkan kanak kanak ke masjid, mereka perlu diasuh adab adab ketika berada di masjid. bagaimana menghormati masjid dan para jemaah ketika beribadat di masjid. Buangkan segala sikap bertegas tidak bertempat dengan kanak kanak. Itu boleh membuatkan mereka rasa bosan untuk ke masjid. Bagaikata pepatah yang tua disantuni dan yang muda disayangi.
Pernah dibaling dengan sejadah kerana bersembang ketika kuliah. Pernah disuruh berulangkali solat semula kerana ketawa ketika solat. Pernah dimarahi kerana bergaduh berebut pemukul kerantong. Berebut azan ketika surau menerima pembesar suara. Pernah menangis ketika dimarahi kerana bermain ketika belajar Al-Quran. Berbagai bagai kenakalan dilakukan kerana ingin mencari keseronokan di masjid atau surau.
Antara perkara yang terukir di kotak ingatan hingga kini ialah suasana suasana di masjid atau surau ketika kanak kanak dahulu. Walaupun ada kaum bapa yang bersikap tegas terhadap kanak kanak tetapi ketegasannya tidak sehingga menimbulkan rasa marah dan benci terhadap surau dan masjid. Seharusnya kita yang mengambil alih zaman generasi bapa itu harus bersikap rasional terhadap kanak kanak demi melahirkan generasi cinta masjid atau surau.Berbalik kepada masjid yang aku singgah ini, daripada setiap sudut aku lihat semua teratur dan terjaga. Aku sedikit terharu apabila melihat kerusi kerusi simen yang tersusun dibawah pondok ini. Kerusi tersebut didermakan oleh persatuan persatuan yang bukan berasaskan agama islam. Di sinilah terpancarnya semangat setia kaum yang terjalin bagi komuniti daerah ini.
Tahniah kepada jawatankuasa masjid yang menampakkan kerja dan usaha telah dilakukan dengan terserlahnya keceriaan masjid Lenggong ini.